Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Jumaat, 31 Disember 2010

HAK ITU


Aku 
tidak akan mati  
aku akan terus hidup 
walau seribu tahun lagi 
kerana masih jua pada bahu ini 
tergalas banyak kerja perlu dihadapi 
demi masa depan anak cucu ku
demi terus berdiri mu di situ
pada tonggak satu kuasa
di atas satu hajat
pulang selamat
ke alam akhirat

Namun jika  pun aku 
tiba tiba menjadi tiada jua
usahlah engkau nanti mencari 
dimana batu batu penanda pusara ku 
aku pasti berharap tidak akan semadi disitu
aku pasti akan berhajat kembali untuk bersama mu 
selagi engkau masi yakin meneruskan perjuangan hak itu
.

Jumaat, 24 Disember 2010

DIPONEGORO

Sebuah sajak dari angkatan 40 di Indonesia = Sajak ini hamba kutip dari paparan seorang sahabat di wall Nadi Rakyat di fb. (http://www.facebook.com/home.php?sk=group_152998448076438&ap=1) Hamba tertarik dan kagum melihatkan betapa semangat perjuangan dan gigihnya keberanian masyarakat zaman Perang Dunia ke 2 itu. Dan kerana itu ingin berkongsi dengan sahabat sahabat dilaman ini. Silakanlah siapa yang sudi :

DIPONEGORO

Di masa pembangunan ini
tuan hidup kembali
Dan bara kagum menjadi api

Di depan sekali tuan menanti
Tak gentar. Lawan banyaknya seratus kali.
Pedang di kanan, keris di kiri
Berselempang semangat yang tak bisa mati.

MAJU

Ini barisan tak bergenderang-berpalu
Kepercayaan tanda menyerbu.

Sekali berarti
Sudah itu mati.

MAJU

Bagimu Negeri
Menyediakan api.

Punah di atas menghamba
Binasa di atas ditindas
Sesungguhnya jalan ajal baru tercapai
Jika hidup harus merasai

Maju
Serbu
Serang
Terjang

(Februari 1943)
Budaya,
Th III, No. 8
Agustus 1954

Selasa, 21 Disember 2010

Terjemahlah Alam Ini Menjadi Pengajaran.

mentari petang
yang sudah hampir
keparas horizon rimba 
terselam sejuk di tenang air
masih mampu ia memancarkan
sinaran kemilau menyilau mata ku
kerana nyata masih perkasa gagahnya
mencelah diranting dan daun daun bambu 
masih mampu ia menikam kanta mata ku
kerana masih jua perkasa gagahnya ia 
dilangit petang yang cerah gemilang
tanpa gangguan selaput awan
demikian juga barangkali 
dalam hal pengurusan kehidupan 
terjeli berdiri dalam sesebuah kerajaan
kalau benar bebas dari gangguan dan halangan 
serta bebas dari gelojoh perebutan dan pertuduhan
kalau sebenar tegap terdiri takhta sebuah kedaulatan
Ya Allah bilakah akan jelma nekmat begitu di bumi kami.
.

Ahad, 19 Disember 2010

Padamkan api benci membakar sengketa itu

(buat seorang teman 
sedang tersepit panggang 
tersedai diatas bara membakar)

Ulangkan doa doa mu itu
sampai menjadi wirid tetap
melekat pada bibir segar mu
semuga jarak membezakan
tidak lagi mencari kelainan
semuga beza pencipta percanggahan
tidak lagi pandai menyalai panggang
meningkat haba menghangatkan kemarahan

Ulangkan doa doa dari ikhlas yang ada
menyirami salji menyaman sejuk rasa
hati suci berbudi menjadi resam budaya
semuga tiada lagi perbezaan dan kelainan
mencari jarak membuka ruang sengketa
sampai marak marah membakar kebencian
bacalah surat surat ikhlas itu berulangan
sehingga ia menjadi wirid menyamankan budi
mendamaikan hati menghapus beza lainan
semuga tiada lagi jarak antara perasaan
memberi ruang berhimpun lalang dan resang
menggaring kering mudah membakar

ulangilah surat surat ikhlas itu
menjadi doa diwirid berulang ulang
semuga segar hati dan budi rasa 
digembur subur membaja cambah
rasa kasih membawa hangat mesra sayang
memadamkan segala umpan menggamit kebencian
semuga tercipta sebuah budaya agung dijulang pujakan
Inshaallah ...... dengan izin restu hidayah dari mu Tuhan.

Jumaat, 10 Disember 2010

Pesanan Buat Seorang Pejuang.

(khusus buat seorang pencari 
yang baru ku temui di maya 
yang luas terbentang)

Seorang pejuang 
tidak akan dihalang 
jijik cemoh ukuran dari luaran
kerana gigih seorang pejuang
adalah sebuah kepastian 

ukuran bukan dari dalam 
tidak akan mengalih sasaran
kalau esok mu jelas dihadapan
gambarnya pasti terang terakam 
sebagai sasaran sah akan diterkam
nilai harganya jelas nyata disukatan
setelah benar jelmanya digenggaman
bukan ia digambar pilihan orang 

Sabtu, 4 Disember 2010

AKUKAH ITU


Akukah itu 
sedang kelam dalam kabus 
teraba raba mencari diri
dalam sepi yang sunyi 
sendirian disebuah pulau 
dalam suhu sejuk dingin 
merenung kelan dikejauhan 
mencari hari semalam yang hilang 
mencari hari esok yang entah bagaimana 
akukah itu yang pandai kelumpuhan 
terlantar diperbaringan tanpa daya 
akukah itu yang sedang meronta 
mencari upaya untuk terus melangkah 
mengatur tapak dalam licik kerikil gelanggang 
dimanalah aku bagaimanalah aku siapalah aku 
dalam angin sedang berlalu dalam ribut sedang mabuk  

Isnin, 15 November 2010

Apabila seorang seniman diam berdiam.


Setelah lama memerhati seorang teman seniman meronta rasa dan diam termangu
aku menjadi keliru kerana tidak mengerti pergolakan dan perasaan hatinya
setelah berkali memerhati keadaan begitu dan apa berlaku seterusnya
baru jelas tahu ku apa makna apabila seorang seniman diam terdiam
bukan ngelamun bukan juga bermenung tetapi mengumpul tenaga
membina tapak ditari rasa mengolah indah pelangi menyeri rupa
diam seorang seniman mengatur wirid kata disulaman bahasa
menanggam impian meratibkan hajat semuga kesampaian
nyata diakhir wirid diam itu ada hidayah mendatang
membawa harapan sekian dinanti sekian dicari
mesra membelai dendam dan geram
sekian membekam dihati 
lembut melamar kasih 
sekian dipendam
sukar barangkali 
memahami bagaimana 
rahsia tersirat begitu mudah terjadi
bagaimana berhikmah mudah  terbina ia
melainkan sendiri terlibat hati yang merasa 
datangnya siap lengkap seperti sebuah kurnia
terhidang di paha beralas baldu berendakan manik
Al Rahman Al Rahim siapalah tahu hajat dan mahunya
akan siapa terpilih serta jadi laksana kerjanya bagaimana

Demikian rupa lohor hati seorang seniman penoh iman di dada
dalam pasrah dengan keyakinan tegap terpacak mencari karyanya
bersematkan hajat bersulamkan tekad membawa kebaikan bagi insan
bukan lumrah ia seperti sedang keliru mencari diri dalam kelam tertekan
maka mengertilah aku akan lain bezanya seniman paksa dengan asli jadian
yang mengalir bicaranya terus langsung dari gedung ilmu rahmat dari Tuhan

Ahad, 19 September 2010

Akhir Harapan.


Aduhai
 betapalah
dimuka bumi
mewah makmor ini
rupanya masih seni bersemi
 manusia celaka membawa derita 
mencipta sengsara mengisi kehidupan
sedangkan kita yang masih lagi bertuah 
dalam limpahan rahmat selamat berdaulat
bercurahan makmur berkat dibumi keramat
masih jua rela hanyut lalai dan khufur nikmat
alpa didalam rezki mudah masih melimpah ruah
menabur kebencian dendam berasak rasa megah
gagal memberi nilai harga kepada nikmat sedia ada
semarak menyala permusuhan rasa benci sesama kita
menggulung bantah sanggah terancang terhadap segala
 seperti lupa kita tujuan hidup akan pulang cukup bekalan 
untuk dihitung timbangan neraca sukat bagi segala amalan
 Semuga akan tiba jua hidayah harapan membina kesedaran
 membawa kita semua kembali mencari laluan sempurna iman
agar bersama menuju hari pasti hadapi muktamad perhitongan

Sabtu, 4 September 2010

Tamaddun Perkasa Ini.



kekadang 
ucapnya sama
maksudnya tak serupa
kekadang ucapnya tak sama
hujungnya tetap juga serupa ia
demikian seninya bahasa sastra 

resam tari dirongga budi hati rasa
persamaan tersirat dalam kelainan
menyembunyi beza dalam persamaan
namun semua terpulang pada diri jua
terpulang kepada bagaimana nilaian kita
bergantung pada apa sebenarnya cuba kita teroka

itulah sesungguhnya yang pasti akan kita jumpa
maka hujungnya tetaplah tanggongan kita jua
tidak akan layak kita berpaling kepada sesiapa
untuk menuding jari menunjukkan kearahnya
sambil meluahkan kata menyalahkan akan dia
fahamku begitu kerana engkau yang berkata 
namun jika ada kefahaman yang kita jelas nyata
tidak disampaikan kepada yang harus mendengarnya 
kita jualah kelak yang akan kena disoal tanya kenapa 
tidak engkau perjelas kepada saudara mu yang ada
sehingga begitu jadi gelincir kefahamannya
tidaklah juga akan terlepas kita rupanya
kerana tahu yang ada adalah amanah 
untuk nikmat dikongsi bersama 
maka dengan bijaksana berseni di hati rasa
nyatakanlah dengan nada dan irama lunak rupa 
halusikan cara tidak mengguris hati mengusik deria 
biarlah kelainan yang disampai dan beza yang dinyata 
tidak menghapuskan senyum memadamkan tawa yang ada
demikian indahnya budaya yang terbit dari ajaran para aulia 
memperkasakan tamaddun yang hak dan benar para anbia

Khamis, 2 September 2010

Sehari Berhanyut Di Sungai Perak.


http://3.bp.blogspot.com/_eA-KOthxkeI/SYgLkwMR7dI/AAAAAAAAAXU/XdGngw751Lw/s400/1.bmp
Sehari berhanyut di sungai perak
menuruti lenggok arus aliran riak airnya
melintasi Bukit Chandan yang tersergam di atasnya
sebuah istana indah, gagah dan berdaulat
terpacak pada lereng menebing sungainya
sebuah balai permai menggarap ceritera sendiri
dimana tidak lengkap pertabalan Baginda Sultan
sebelum ditabalkan semula menjadi raja juga
bagi masyarakat jin
selain bagi manusianya.
Sehari berhanyut di sungai perak
menuruti lenggok arus aliran riak airnya
membawa kenengan seribu pengertian
menyingkap rahsia seribu cerita
membuka sedar seribu makna.
Sungai ini pernah menyaksikan api 1875
marak menjulang ditebingnya
membakar hangus istana Dato Mahraja Lela
menggarap satu permulaan sejarah
menitipkan tanda mula surutan kuasa
Istana Istana Kedaulatan raja raja Melayu.
Air disungai ini pernah mengusung
darah J W W Birch
buat dihunus buang kelaut selat
Namun barangkali merahnya
masih meninggalkan kesan
pada pasir dan batu batu terbiar
dilupakan dilubuk dan pantainya
malah tanah liat yang sudah dikamir
dan dibakar menjadi pasu pasu hiasan
di Sayong pun barangkali masih menanggungi kesan
akibat laluan merah darah Birch itu.
(semuga Bush itu bukan ejaan baru bagi Birch)
Api 1875 rupanya dalam diam telah menanda aras
runtuhnya benteng bersejarah
keutuhan kedaulatan kerajaan kerajaan Melayu
di bumi bertuah tanah keramat semenanjung emas ini.
Maka satu satu Istana Istana Melayu mula dimasuki penjajah
yang tampil dalam bentuk halus dengan lunak lembutnya
memakai nama penasihat.
Datang ia membawa sengketa
antara kita sesame kita buat
mengiring adat sengketa diimpot
dari benua benua seberang lautan
yang rupanya membina amalan teradat
dalam resam budaya sehingga kehari ini
menyesatkan kita dalam sengketa berterusan.

Selasa, 31 Ogos 2010

Mencari Erti Kemerdekaan (diterkinikan)


Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuah
Merdeka yang kita terima terlalu mudah
Tiada darah yang tumpah
Tiada badan yang rebah
Tiada anak kehilangan ayah
Tiada ibu kehilangan anak

Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuah
Merdeka yang kita terima terlalu mudah
Namun suatu ketika yang sudah hampir terlupakan
tatkala mempertahankan bumi ini dari dijajah
tiada siapa pun sempat menghitung
berapa sukatan darah yang tumpah
berapa banyak badan yang rebah
berapa ramai anak kehilangan ayah
berapa ramai ibu kehilangan anak
berapa ramai isteri kehilangan suami

Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuah
Merdeka yang kita terima terlalu mudah
sehingga membuatkan kita semua sukar untuk mengerti
erti sebenar kemerdekaan kita miliki
Kita tidak pernah nampak untuk dapat melihat
betapa payahnya
betapa peritnya dan
betapa sukarnya
kemerdekaan itu diperolehi
Maka kita kadang kadang sukar 
memberi penghargaan sewajarnya
kepada nikmat yang kita ada
Kita pun tidak pernah diceritakan 
betapa susah payaknya
orang orang dahulu kala
dengan segala yang cuma sedikit yang ada
berusaha untuk mendapatkan 
sebuah kemerdekaan
Chincin dijari, 
gelang di tangan, 
rantai di leher 
dan kalung di dada
dilolos semua
buat membiaya
usaha mulia
mendapatkan
sebuah kemerdekaan
yang kini menjadi milik kita
yang kini kita lena dalam nikmatnya
yang kini kita lupa akan nilai harganya.
sehingga kini kita pun sudah pandai 
mencabar kemerdekaan yang masih ada 
dengan mencipta sengketa tanpa batas ukur 
menabur relongan api menjarak sesama kita

Padahal kita pun lupa bahawa
dalam usaha mempertahankan kemerdekaan 
yang kini masih ada 
pernahlah juga kita merasai 
darah darah menyimbah tumpah 
Masih mahukah kita mengulangi rasa
perit getir mengerikan begitu berulang semula ?

Ahad, 29 Ogos 2010

Mencari Diri

Seperti dilukis seorang teman
dimaya ini tersirat sebuah alam
bergelar akan dia alam karyawan  
membuat aku jadi membuak keinginan
mahu sekali mencari dan mengenali akan dia
dari sekadar merasai pernah hadhir kesitu
namun masih tidak ku faham jua 
rupa dan sifatnya bagaimana
cuma dapat ku terlah agak
tidak tergambar pada kanta tampak
tidak mampu dilukis pada rentang kanvas
namun tetap ingin mencari dan mengenali
kerana teringat akan pesan Al Fansuri
kenali diri mu baru akan kenali Allah
maka mencarilah aku dimana alam
yang mensemadikan diri ini
bagaimana sebenar rupanya
bagaimana sebenar bentuknya
bagaimana sebenar sifatnya
bagaimana sebenar feelnya
bagaimana urus jadinya
dan betapa pula zatnya.

Demikian barangkali kembara ini
mengalami dan mengharungi
payah digelap pekat
namun tetap kena dilajakkan jua
kerana dihujung sana ada manis yang nikmat
tidak tersifat tidak terungkap

Semuga siratan rahsianya
tidaklah serumit siratatan jala pukat
akan tetap jua membawa unjur kita
ketakhta barakah yang hak
dengan hidayahnya jua
inshaallah.

Khamis, 26 Ogos 2010

Pencarian Itu Membina Karyawan Mu

Aku 
memang 
suka mengembara 
ziarah laman ke laman 
di maya yang luas terbentang 
mengintai cari anak anak yang aku suka 
berbuat kawan kerana bakat dan minatnya 
mencari sendiri olah corak kelohoran budi hati 
melukiskan jiwa pada olah bingkai potret bahasanya 
kerana hasrat berhajat ku untuk membina tinggalan budaya 
pesaka ninda yang indah menawan mudah memadah penghayatan 
maka ketemulah hati dan jiwa berbagai rupa mengulum anika rasa 
mencubalah aku menghayati untuk faham dan kenal wajah wajah
dalam anika persekitaran gambaran rupa berwajah
mencari rumus hati budi manusia berjiwa
bergulungan membentuk dendangan bahasa 
menjalin anyaman kata melukiskan karya pujangga
namun ketemu juga dengan hati dan jiwa yang berdarah luka 
mendulangkan kepangkuan sehidang tanggung jawab untuk digalas pikul
manisnya nikmat menyaring faham hanyir nanah dari calar luka dihati jiwa sayu pilu
sekali gus mengajar aku melalui proses mencari kematangan dari perit menanggung kepahitan
namun apalah yang dapat ku pelajari dari tajuk sebuah lukisan kehidupan yang ada rangka tanpa isi
demikian rupanya pengembara dipasaran kini yang pandai menyemak sidaian pamir tanpa simpulan pasti 
apa buah yang bakal dituai kutip dari junjung dan para sedang ditegoh bina dengan silang serandangnya
maka kaburlah pilihan akan benih dan biji yang bagaimana akan dikutip untuk ditabur ketapak semaian
bagaimana pula akan diputuskan adun baja dan lumat tanah pada batas berpayung jaringan ranting 
parahnya kerja memimpin anak anak terasuh oleh terlalu sempurna lampin dan sukatan susunya 
sehingga bila dewasa segala yang sampai kehadapannya wajib sempurna dan jelas sukatnya
lantaran tidak terasuh kebiasaan mengolah reka mencari corak dan rupa bentuk sendiri 
terus dihujungnya berpesanlah aku kepada bakal bakal karyawan dalam pembikinan
binalah diri mengikut acuan dan ukuran selera sendiri tanpa gangguan luaran

Rabu, 25 Ogos 2010

Selembar Surat Terbuka.

Surat terbuka selalunya digunakan orang
untuk menyampaikan rasa hati
dari bawah kepada pihak pihak atasan
yang tidak terjangkaukan capaian kata tulisnya.
Tetapi kali ini hamba tergerak
untuk menulis selembar surat terbuka
kepada anak anak yang ramai
tersebar merata bumi tanah air tercinta
kerana harapan yang terlalu amat besarnya
terhadap kejayaan mereka menghirup nikmat harimuka.
Semuga mereka mampu selesa membina mempersiapkan hati
untuk kemudian menunggu giliran menyambut tanggung jawab
memimpin negara di atas landasan lohornya kebenaran suci
dan hak kemanusiaan mengikut sukatan acuan murni sendiri.

Maka demikian suratnya ku tuliskan:
Hai anak anak;
setelah berhari hari
bermalam malaman
minggu berganti bulan
53 tahun menjadi hitungan
Kita harungi pengalaman bersama
melambung gelombang rasa
menterjemahkan maknanya
mengikut bijak fahaman sendiri
kita temui saring dan kutip berbagai pengertian
terhimpun teradun susun mematangi pengalaman
untuk bekalan meneruskan kembara yang panjang
menempoh kehidupan sebenar sebagai satu perjuangan
Sesungguhnya dalam tempoh tempoh singkat kita bersama
mengalami berbagai cetusan dan pergolakan perasaan
kita telah sama sama menemui berbagai persamaan dan perbezaan
yang menuntut kita lebih mahir mengasah timbang rasa dalam bijaksana
mencari dan membina faktur pengimbang sehingga kita semua terhimpun
menjadi satu pasukan sekata sefahaman tak mungkin diretakkan
kerana sesungguhnya kita tidak ada pilihan
melainkan bermula dari seadanya dari apa yang ada
menerusbina kehidupan dalam sebuah kelangsungan
namun untuk berterusan ada ia sedamai adanya kini
miliklah bersama dan janganlah cuba jadikan ia milik sendirian
pesaka ini diwariskan melalui wasiat keramat
tertanggam bina dari jujur ikhlas maufakat sekata
untuk dikongsikan bersama mengikut saksamanya
agih bahagilah seadilnya mengikut keperluan nyata.

Khamis, 19 Ogos 2010

mengetok sebuah jeriji berkunci

penat 
mengatur 
tapak longlai 
aku pun mengetuk 
pintu besi sebuah jeriji 
memagari lorongan laluan 
ketaman asuh sebuah mahligai
rapat berkunci rupanya dikala itu
keliling mencari rekahan tembok 
untuk cuba melolos masuk 
membina rasa keciwa 
terduduk dicelah banir 
sudah lama tiada pokoknya 
namun tunggulnya masih jua gagah 
kerana ia adalah tunggul merbau darah 
maka bertanyalah aku pada diri sendiri 
mampukah aku terus gagah bertahan 
seperti tunggul merbau darah itu 
masih mengalir cecair merah 
bila kulitnya dilukai 
sedangkan sudah sekian lamanya 
aku mengistiharkan diri ini putih darahnya 
dan tetiba ada lambaian menggamit dari jendela 
sebuah mahligai mengejut bangun dari sebuah mimpi 
terkapai aku mencari diri melunjur kaki mencari tapak
mahu cuba berdiri mengatur langkah mencari arah tuju
akan melurukah aku untuk menggapai jendela tingkap itu

Sabtu, 14 Ogos 2010

Antara Carian Mu dan Perjuangannya.


Bawalah diri itu
dalam kembara mencari Tuhan mu
biarkan dia dengan kembaranya sendiri
dalam perjuangan mencari Tuhannya jua
kelak ketemulah kalian dipeterakna hakiki
kerana Tuhan sebenarnya sesungguhnya esa
tidaklah dua tidaklah tiga melainkan esa jua
Tuhan yang engkau cari dalam kembara mu
Tuhan yang dia kejar dalam perjuangannya
sebenarnya adalah Tuhan yang esa itu jua
Dialah yang akan menemukan kalian
di atas peterakna yang satu itu.
Inshaallah.

Khamis, 12 Ogos 2010

Dalam mencari peranan diri

Kekadang 
aku juga kebingongan
dalam usaha mencari tenteram diri 
dalam percubaan untuk membawa ketenteraman 
aku cuma tahu hidup ini cuma satu tujuan terang
menaburkan bakti memberi dan meriangkan 
namun itu cuma aku yang mungkin perasan 
kerana hakikatnya yang terjadi 
ialah ukuran orang lain 
dan aku seperti juga siapa sahaja 
selalu gagal dalam meletak paras ukur 
dari kacamata selain paras ukur diri sendiri 
aku cuma sedar apabila ada yang dekat tetiba menjadi jauh 
menegur aku supaya mencari dimana silap dan salah diri ku 
dan demikianlah juga kerja ku jadi terraba raba 
dalam kegelapan yang tidak pernah pasti 
keliru dalam seribu andaian 
salahnya itu dan ini 
semuanya tidak pasti 
sendirian kebingongan
dan bersendirianlah terbaik 
untuk aku meneruskan pencarian ini 
seperti Muhammad yang bersendirian di gua 
akhirnya dia menemui iqrak yang mengajarkan 
dan aku dalam sunyi sunyi sendiri sendiri 
menemui pasrah dan redha mengamankan 
kerana hasil sesungguhnya buat diri ku 
ialah niat terpasang dihajat hati sendiri 
itulah barangkali sesungguhnya 
ukuran nilai hakikat yang hakiki 
maka tersimpullah nekad 
merumuskan ajar 
buat diri yang teraba raba mencari 
ketuklah pintu yang masih ada cahaya disebaliknya 
usahlah didekati sebarang pintu bermangga kunci 
selagi niat itu masih suci 
barakah pahala barangkali 
masih tetap pasti 
inshaallah.

Sabtu, 7 Ogos 2010

DIANCAM BIMBANG



Rupanya rumus dari segala 
perit tertanggung
bila pun masa 
apa jua suasana
bisa diukir 
dalam gemulung 
awan berjela
tersimpul jelas
terkurang pasti 
menggarap paras 
masih kebawah daripada 
peri azabnya ibu melahirkan jua 
nyata rupanya pada hitungan sedar
pasti mengerti akan betapa derita
ibu dengan sejuta harapan
meneran kelahiran itu

Dan bagaimana pula
perihal perit diancam bimbang
ibu pertiwi mengaturkan masa depan  
tetap jadi pasti selamat sejahtera
buat seluruh warga
bakal menyusul
usia ke usia
membilang zuriat
zaman ke zaman.

Isnin, 2 Ogos 2010

Menyambung Baka Penerus Zuriat


Tunggul tua itu 
sudah lama ia menjadi tunggul 
teras sahaja masih bertahan kerasnya 
bubalnya sudah lama mereput dan runtuh 
menjadi debu membajai tanaman dan tumbuhan
namun tetap jua setia ia tegak berdiri pada tapaknya
disitulah tempat ia menugal akar menegakkan batang 
mendirikan pokok bercabang berdahan 
mengembang cabang memecah ranting 
menyubur dedaun menghulur pucuk 
mengembang kelopak bunga 
mengeram beneh
mematang biji buah
buat menyambung zuriat
masih tetap setia begitu jua ia 
kerana demikian adalah amanah 
tidak mungkin dibiarkan lalai alpa 
menyambung baka penerus zuriat
tetap jua ia tegap tegak begitu di situ
sidik memikul amanah tabligh fatonah

Ahad, 25 Julai 2010

Kehidupan di hujung hayat ini.

Alam dan kehidupan adalah lautan
luas terbentang menjadi cabaran
bagi insan sedang berenang berkolek
gigih ikhlas mengharunginya
dengan sekadar kadar yang ada.
Siapa pun tidak mungkin terlepas
dari melalui dan mengalami.
Neraca pengukur jatidiri
menyukat tahap kendiri sejati
mengesan kepekatan pegangan
pada kepercayaan dan kejituan iman.
Demikian jua hamba dalam lautan serupa
adalah yang kurang adalah tak terupaya
Namun hati tetap menegap atas ikhlas
dilurus laras lurah diliku berkelok
timbang imbang dilarik larat
kepastian iman tenang mengaman
Maka berpesanlah hamba pada teman teman
usah bersusah memikirkan bagaimana
hati dan perasaan bergolak digelora
kerana jikapun ada serupa dikata
ia cuma adalah lumrah kehidupan
namun ditapi ayak di badang saring
akan terisihlah segala sekam atahan
terungkailah segala kusut talian
terlerailah segala buku bekuan
Diri ini pun masih tetap bertahan
hidup berkelok disimpang liku laluan
masih bertumpu cuma untuk satu tujuan
membina memberi kebahagian senang aman
kepada insan terdesak terhimpit dan memerlukan
kerana akan diri ini cukuplah sudah
dengan segala limpah hidayah anugerah
tenang aman puas dan cukuplah sudah
seadanya sekadar kadar yang ada
Kurang dan tidak memadai kini
cuma masa dan kesempatan menyumbang
memberi membina membangun menjamin
apa yang ada pada umat sakalian
akan tetap selamat berterusan
dengan kadar bertambahan
lumayan berpadanan
untuk terus menjadi nikmat
anak cucu generasi akan datang
menjamin membela mempertahankan
selamat berkembang tanpa sebarang gangguan
sebarang musuh dan segala rupa petualang
luaran mahupun dalaman
INSHAALLAH.

Sabtu, 24 Julai 2010

Semulajadi wajah seorang seniman dalam pembikinan

Nyatanya ketulusan hati itu
jelasnya pertimbangan rasa
betapa terangnya ukur saring
tentunya lahir dari ikhlas yang jelas
pastilah terbit dari saksamanya budi
hebatnya penghayatan sinar ilmu
perakuan diri jadi jitu begitu
pencariannya tentu bertitik digaris pasti
walau sukar dicari pengukur bersukat
walau payah diungkap bahasa berbudi
namun demikianlah nilaian diri
kemulian yang sukar dicari
demikianlah kagumnya hati ini
Namun tetap jua ingin digagahi
menyemai kata nasihat suci
bahawa tanpa desak paksa menyedari
paras letak pada hak karya diri sendiri
pada ukur sukat hati budi murni suci
perlu jua dilihat sebagai olak penghalang
hakikat potret sebuah perjuangan seorang insan
yang mencari pastinya dalam proses menghasilkan
sebuah arca sebagai tugu sebuah kemenangan
tak mungkin lagi sesiapa mampu persoalkan
maka kagumnya aku dapat menumpang
merasakan hebatnya keyakinan seorang pejuang
serlah sudah wajah seorang seniman
pada usia masih lagi pada tahap permulaan.
Engkaulah wajah asli seorang seniman dalam pembikinan

Selasa, 20 Julai 2010

Ku Nampak Setia Kasih Jua Pada Gelembong Buih Itu.

Buih buih digeledak ombak
mengembong mengilau warna pelangi
bersinar tanpa ketentuan satu warna
pandanglah pada cahaya pilihan hati
seperti Maimun yang patuh menanti
dalam setia menyimpan perawannya
hanya untuk Rosli Dobinya
sampai ke ujung usia.
Demikian rupanya makna
terpahat rapat dalam kata kata
sebuah kasih berbebat setia.
Maka demikianlah ku berikan makna
pada setia kasih akan pertiwi ini
betapa pun rapuh ia dibuih ombak
dilambungan ganas gelombang
tetap juga ku jaga ia
seperti Maimun
menjaga daranya

Khamis, 8 Julai 2010

Kitarkan segala gundah menjadi riang

Teman yang sedang terbakar dihangat rasa 
bagaimana kalau lahar dari ledakan merapi 
mematang masak hati membuakkan santan 
meresapkan lemak melazatkan kecap rasa 
mengharumkan bau ramuan rerempahan
menjadi hidangan resipi istimewa 
tidakkah akan berubah pandangan rasa 
menerbitkan poterit baru yang menawan 
nilai sebuah kehidupan seperti diimpikan
indah dicari tidak akan bergolek datang 
namun akan datang juga ia 
jika diolah cipta digubah hias
gundah yang usang tentulah bisa dikitar semula 
menjadi manik hiasan bunga bunga dijambangan ria 
kiaskan lambangnya menjadi lawak menghias gelak tawaan
semuga keriangan jua menyudahi hujungan pengalaman
dan dipeti peti simpanan gundah gemercing sorak kepuasan
kitar gunakanlah segala gundah mencengkam menjadi riang
kitarkan segala gundah menjadi riang.

Sabtu, 3 Julai 2010

WAJAHNYA dan KANVAS KINI.


Selalulah aku melihat wajahnya mengimbas di angin lalu 
berbalam dalam kabus kata mengolah daya budi berbahasa 
wajah tanpa potret berfoto tidak pernah terlukis warna dikanvas 
namun dengus nafasnya mendesis genderang telinga mengalun rasa hati 
sepi resahnyanya mengundang renangan gelora pusaran ombak tak berolak 
berus memang sudah ditangan namun akrilik pewarna masih perlu diadun bancuh 
sementara kanvas masih kering tetap perlukan emulsi dan seimbang direntang regang 
dihujung terowong sana barulah akan bertanya getaran rasa mahu sebenarnya bagaimana
maka lukislah semahu mahunya akan senyum yang dicari serta jeling yang diharapkan 
kalau sudah sampai masa ketika potret itu akan dilukis membentuk gambaran 
lukislah semahu hati pilihan rasa selamanya dipendam simpan 
kelak bagaimana hasilnya kenalah rela dan redha terima 
janganlah dirintih tangis mengulum kesal yang walang 
kerana jadi yang terjadi bukan percuma mendatang 
menggolek atau melayang semuanya terancang 
antara sedar yang awas dengan mimpi yang alpa 
sebenarnya pilihan insan mengolah akalnya bagaimana 
dihujung sebarang kembara tiada siapa akan menanggong beban 
melainkan dirilah yang sesungguhnya memang merancang menerima tanggongan.

Jumaat, 2 Julai 2010

Mengolah tari dilaman budi.

Laman redup dibayangan pokok
memanglah tempat aku mengatur tapak
membina kekuda mengalun tari
mengatur pola berbunga
menitih kata memupuk budi
disemaian bahasa
mencari murni diri
dalam keindahan
manisan rasa

Tidaklah pandai aku mengolah pencak
mengipas angin melambai ribut
menggoyang reranting pokok
mengoyak cabang dahan
Namun kalau condong batang pepohon
menggegar akar menggoyang tunjang
kaburlah aku dari mengerti
temali kesah turutan hikayat
Kalau tumbangnya menimpa laman
didesir angin ngauman ribut
barangkali sempat bertabah aku 
menyambut sanggah menahan sagang
Kalau tumbangnya tanpa angin berselang ribut
terpakulah aku diashik mengalun tari
mengolah kata mencari budi.

Jumaat, 25 Jun 2010

Dari Puncak Sebuah Menara Tinjau.

Dari puncak sebuah menara tinjau
kejat bersauh memaut sila berbingkai 
awas memerhati rona liku kehidupan
terlintas dengar tanya seorang anak pada ibunya
peri perit derita pada bait bait puisi kehidupan
sehingga menimbulkan risau keterlaluan
betapa hidup ini penoh sembilu menyayat rasa 
akan nanar bagaimanakah insan pemburu damai 
sesat tersasul dalam kembara mencari harapan
membina sebuah masa depan yang gemilang

Pantas seorang ibu yang pintar mengais jawapan
dari bait bait kata terpahat dicelah celah rangkap puisi
menterjemahkan tulus perjuangan yang mengalir 
bersama cucuran air mata penyairnya
berserta garis tercoret dalam lipat kedutan sebuah potret
memberi makna kepada gigih tabahnya seorang nelayan 
menghadapi gelora dilaut yang diharungnya memburu rezki
memberi erti kepada kental semangat seorang petani
bermandi keringat membanting tulang diterik mentari
dengan niat hajat cuma cukup makan sekenayang buat keluarganya.

Segalanya membawa seribu nostalgia kedalam igauan ku
sehingga teringat kepada Amron yang selalu menggambarkan perkasa  
ahli pencak tegap kekuda serta gagah dalam tangkas menangkis elak
betapa otot otot pejal menghayun limbai mengolah tari masih lunak lembutnya
segalanya mendorong aku pada bertanya sambil mengintai cari
masih ada lagikah watak demikian kini, esok dan seterusnya.

Maka terkenang juga aku akan betapa gigihnya Samjiz melukis potret neneknya
digambarkan segala derita dilalui bersama gigih menghadapi cabaran 
dalam kedut lipat kulit tuanya bersama setiap helai ruma berbalam warna 
betapa seorang cucu memberi bertahun tumpuan cuma untuk menghasilkan sebuah poteret 
buat merakamkan penghargaan terhadap seorang penyambung zuriat 
sehingga menghasilkan dirinya sendiri yang seteliti itu.
maka bertanyalah aku betapakah akan lahir lagi seniman sedemikian dizaman cyber kelak
sedang aku kehulu kehilir keutara keselatan timor dan barat menjaja air mata 
merintihkan malangnya nasib anak anak kini dengan tanggung jawab tergalas 
untuk membina masa depan berdepan cabaran dan ancaman parah merentang
Kalaulah rintihan Mohammad Hj. Salleh merakamkan tentang betapa kehidupan bobrok 
sebagai faktor meruntuhkan Kota Melaka telah terobat dengan terdirinya Peterajaya.
Rintihan Tongkat Waran mengenai rakusnya manusia gila perang 
telah membunuh segala mesra sampai kehari ini masih lagi bertambah parah 
dengan kargo membawa makanan dan ubat ubatan pun diserang 
dan konvoi para doktor juga ikut dibom tanpa pembelaan dari yang berkuasa
apalah agaknya kesan dari kerja ku menggalas air mata dan keringat tanpa lelah 
kehulu kehilir keutara keselatan timor dan barah seluruh pelusuk kota desa 
cuba menyebar penawar menabur sajian budi buat santapan jiwa jiwa masih muda muda 
mengharapkan kedamaian menjadi roh membina masa depan yang aman selesa
mengharapkan keutuhan jatidiri memantapkan kendiri buat bekalan saingan
menghadapi perlumbaan seimbang (kalau ia seimbang) 
dalam zaman dunia tanpa sempadan kelak
Akan adakah kesan dari kegigihan ini.
atau percuma sahaja keringat membasah
atau tidak bermakna air mata bercucuran.
WALLAHUAKLLAM.

Khamis, 10 Jun 2010

KEBENARAN.

Mencari kebenaran dalam hati pemburu mewah
samalah mencari sebutir pasir dari dalam sebungkah batu pejal.
Mencari kebenaran dalam kehidupan insan akhir zaman
samalah mencari sebutir mutiara diparoh seekor haruan.
Parahnya tidak terhetongkan
namun tetap haram bagi khalifah menyerah dan mengalah;
wajib jua bagi setiap yang bergelar khalifah meneruskan
perjuangan tanpa henti tanpa hujungnya jua.

Sedangkan setiap yang terdetik dalam hati
walau tidak disedari badan yang punya diri 
tetap jua ia dirakam dalam pita akaun 
yang pasti akan menayang semula
 apabila masanya kelak akan tiba.

Jumaat, 7 Mei 2010

ISLAM IS THE SOLUTION.

Islam is no doubt the best solution
But the way in Islam is undoubtedly wisdom
Though wisdom in minds are luminous
But revolutions never holds control of wisdom
For the very reason of ...
the process of revolution
does only come true to happen
when people are burnt with emotions
and emotions seldom control actions.
Thus revolution lays bariers to wisdom
So please all friends I pleads:
Come back to Islam;



Thou friends me pleads upon thee
Lay not into enemy's traps of 
Islamic slogans to destroy Islam
For really they are
using Islam to destroy Islam.
..........................................................



.

Maaflah kawan kawan.....
kalau puisi ini berbentuk "poetry"
kerana ia bermula dari sebuah
slogan dalam bahasa inggeris
"Islam is the solution"
yang telah diseret kepada
saranan kearah "revolution"

terhadap kerajaan Islam.
Mashaallah...............

Rabu, 24 Mac 2010

Tiada Halangan.

(mengembangkan slogan dimulakan oleh DS Idris Jusoh:
Tiada halangan melainkan peluang)

Tiada lagi sebarang halangan 
melainkan tembok itu
Tembok yang kita bina sendiri
Tembok yang kita rela izinkan
mengurung mengongkong minda kita
Runtuhkan tembok itu
kerana di belakangnya
ada deretan peluang
Pilihlah yang mana sahaja
mengukut selera pilihan hati
Pilihlah yang mana sahaja
mengukut ukuran layak diri
Pilihan ikhlas dari hati suci
adalah sebenarnya hak bagi diri
Maka pikul galaslah akan dia 
dengan tanggung jawab abadi
Tanggonglah ia penoh ikhlas hati
kerana hak itu sebenarnya tiada
melainkan tanggong jawabnya 
sejati suci.