Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Ahad, 26 Ogos 2012

DI DATARAN INI.

Dataran ini adalah lapangan utama
dalam kenangan bersama sabangsa
kerana disinilah terhimpun segala
unjuran rasa yang sebenar dibangga
akan betapa perkasa merdeka kita 
berdaulat dan utuh padu bertakhta
bulat padat membaji pasak kenang ingat
masa ketika tarikhnya kembali berulang
tetap kembali menerpa dalam kenangan
mengingatkan betapa gah riang seluruh perasaan
tak mungkin dapat menerima sebarang cabar halang

Maka wahai siapa siapa jua
yang mengerti erti pekerti berbudi
memahami sirat kata bicara bahasa
kalau sebenar engkau bukan merancang sengketa
janganlah sakali kali cuba cuba mengacu cuba
mengacah acara selongkar takluk guna
sekitaran dataran ternama
kerana disana sudah terpahat
acara tetap pada masa ketika
tidak mungkin berubah anjak
tidak mungkin beralih tempat

Melainkan diam diam dalam sekam
berkobar membakar jiwa pendekar
mengatur tapak memacak kekuda
menarik nafas mengasak siaga
menanti gerak sebarang tanda
kelak akan berterbangan segala
yang barangkali tidak pernah dapat disangka sangka
yang barangkali tidak diketahui dari mana datangnya
kerana sang saka purba itu biasalah ia
tidak pernah menunjuk rupa
tidak jua ia mendengus kata bicara
melainkan sudah sebak terdesak terasak
akan bicara yang tiada hitungan bahasa  
akan selamba mendada berbudi tidak
akan siapa siapa yang memandang
menggunakan cuma satu matanya

Jumaat, 10 Ogos 2012

MENCARI SAHABAT YANG HILANG.

Engkaukah itu sahabat ? 
Membawa tertib dan watak 
seperti sudah hilang cerdik 
seperti sudah hilang warak
menghumban membuang bijak. 
Masih engkaukah itu sahabat
membiarkan musuh bergayutanan 
bergantungan pada janggut didagu. 
berlimbai berhayun diparas jantung 
mengawal dengup menjadual nadi
merelakan budi dan sopan bahasa 
ditapis misai berjela melepas paras
membelat mulut menyaring kata. 
Masih engkaukah itu sahabat ? 
dengan rela mengizinkan diri 
menjadi alat gerak gelap 
dibebat dibelat pengelat.
Masih engkaukah itu sahabat ??
Dan aku seperti masih tidak percaya.

Rabu, 8 Ogos 2012

NEGERI PARA AULIA.

Sementara aku tidak lagi mampu berpuisi.     
Sementara aku tidak lagi mampu bermimpi.     
Segala suara sudah mendesis gusi tanpa gigi.     
Tak mungkin bisa mengguris kata memahat dihati.     
Tak mungkin bisa menggarap bahasa membawa erti.     
Maka layaklah aku mencari pusara untuk lena menyendiri.     

Berpestalah kalian sementara anak anak pribumi menggigit jari.     
Mungkinlah jadi demikian suara beta kalau sudah dihujung hari.
Mungkinlah demikian bicara rasa sesudah melampau mengulum sepi.       
Namun janganlah engkau berkata apa apa pada siapa siapa jua nanti.     
Kalau esok dari tanah perkuburan sana tetiba berguling melenting    
batu batu pipis bulat melayang melompat lincah mencari sasaran.     
Kerana itulah kelak tandanya aku dan sahabat sahabat sedang meronta.     
tidak mahu selesa lena diulit mimpi dalam peraduan dipusara sana.

Maka wahai siapa siapa dimana jua engkau berada jika merasa.     
Hanyutkanlah suara ini dipusaran olak dikucah riak arus sungai.    
Semuga ada aur tempat ia akan tersangkut berpaut.    
Barangkali ada tebing beting tempat ia akan tersadai.    
Mudah mudahan ada tanah sempat ia tompang meresap.    
Mengadun membakar mengeras memejal menjadi batu.      
Mengunjang akar menegakkan tugu penanda rupa wadah ninda.    
Semuga esok menjadi tapak kebangkitan semula jiwa purba.    
Meneruskan langsungan kembara mencari pintu syurga.       
Memancang tegaj tiang melunjur jalan membina semula     
sebuah negeri sebuah negara persada bangsa
berajakan darah usul keturunan para ambia
kelak daulatnya memasak tanggam tegap takhta 
tak mungkin lagi ada siapa siapa berani cuba mencuba 
INSHAALLAH.