Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Selasa, 22 September 2009

PUSARA TUA ITU

Belinang cengal pusara tua itu sudah lama menjadi reput
Nisannya sudah lama bergolek kebawah cerun lurah
ditolak disendel disendol kerbau laga sedang mengamok
ganas naik minyak marahkan anak anak berbaju merah
enak seronok merayakan lumayan makmornya negeri

Nisan usang di bawah lurah itu sudah lama hanyut dipunggah arus
kerana lurah tempat ia terbuang dihumban sudah menjadi sungai
dari jeram di hulu yang tidak lagi berdaya menakung air
setelah sekian lama membekam menjeruk pilu dan malu
terhina dihina anak mukim yang mabuk berebut kuasa
sambil tamu tamu terhormat yang mulia dimuliakan 
enak enak merobah usul asal mula bermula ceritra
untuk cipta peluang mendapat untung lebih banyak 

Pusara tua itu sudah lama lupa dikenang hilang tanda tak daya dikesan cari
kerana sekitarannya sudah menjadi semak tempat bersarang biawak
pencuri telur dalam sangkak bawah rumah
tempat beradu musang pemburu ayam yang sudah lama dipotong tajinya
tempat merayap melingkar jerat sawa bunga sawa lekir tunggu peluang telan mangsa

Pusara tua itu sudah lama lenyap
hilang dari ingatan dari kenangan
tanah berlereng tempat bertapak
bermegah ia sudah dipunggah
buat menyediakan tapak
untuk mendirikan sebuah gedung istana
tempat berpesta mencipta riang
bagi para pendekar licik
lincah bicara menuturkan helah
melukiskan gambaran menggiorkan selera sukar dinapikan

Tulang temulang di pusara tua yang sudah lama dilupakan itu
adalah aku yang kini sedang rimas diusung punggah
kesana kemari oleh anai anai sedang mencari peluang
membina busut busut sementara buat dipanggil
SEBUAH KEDIAMAN.

Ahad, 20 September 2009

Dalam Sepi.

Dalam sepi sesunyi ini
Aku mudik ke hulu sungai
Sendirian mencari damai sendiri
Bersama lata yang nyaman
Berguru pada jeram di hujung alur
Di mana air belum pandai melimpah
Dimana burung unggas menyanyi puas
Di mana alam belum berhadapan ancaman

Dlam sepi sesunyi ini
Air di hujung alor adalah guru ku
Alir di hujubg alor:
Engkau adalah guru ku
Engkau mengajar aku:
           dengan lembut mu
           dengan sejuk mu
Namun gerak mu:
           alir mu
           selamanya pasti
Halatuju mu tidak pernah keliru
Demikian barangkali sebuah perjuangan
           yang terbit dari kepastian
           kerana tegap di atas hak.

Dalam cair, dalam sejuk, dalam lembut
Engkau tetep pasti pada arah mu
          berhimpun bercantum
          kuala demi kuala
          hingga ke sungai yang lebar
          mengalir terus kelaut dan lautan
Tiada sukatan terlebih terkurang
Tiada istilah berpatah balik
Tiada mengenal erti mengalah
Walau mengelah cari jalan lebih mudah
Demikian barangkali sebuah perjuangan
          yang terbit dari kepastian
          tegap terpacak di atas hak

Dalam cair, dalam sejuk, dalam lembut
Engkau tetap pasti pada olah kerja mu
Di mana ada lurah di situ laluan mu
Di mana ada rendah di situ tempat mu
           lembah dipenohi
           paya diresapi
           batas dilimpahi
Dengan lembut mu
           dengan sejuk mu
           dengan cair mu
Mudah engkau berhimpun menjadi satu
           meneroka segala liku
           tanpa ada ganggu goda
           tanpa mengata tanpa dikata 
           untuk menang dan pasti menang
Demikian rupanya sebuah perjuangan
           kalau mahu pasti menang
(menghindar ganggu goda berhimpun menjadi satu)

Lata di hujung alur ini adalah guru ku
Cairnya mengalir dalam kepastian teradat,
Lembutnya mengusap membelai mesra,
Sejuknya nyaman mengaman tenteram
Segala sampah di isih di sisih ke tepi
           yang enggan ditolak kehadapan
           disangkut jua diranting dahan
           terhimpun menjadi penyaring geladak
           sambil dijeruk reput dan larut jua ia
Tanah yang padu lekok dihakis guris
Gerigis kerikil licin bergolek digolek
Batu yang berat dihimpun disimpan dijeram
          namun bila tiba waktunya (banyak bersatu)
          diusung junjung digolek punggah jua
Betapa besar pun batu kalau menghalang laluan
          dilingkung dibelai
          tanah kelilingnya dipunggah
          tergolek bergolek jua sudahnya
Akar dan ranting membelat
         disisip diresap dijeruk
         patah dan reput jua ia
         namun sisanya masih berguna
         buat menimbus paya dan lembah
Begitu rupanya sebuah perjuangan
        yang pasti halatujunya
        menuju kepastian kemenangan

Kerana sejuk mu,
Kerana lembut mu,
Kerana cair mu
Berarus berolak berombak
Masih ada ikan dan udang
       aman tumpang berenang
Masih ada kera dan luntung
       selesa tumpang membuang dahaga
Masih ada kerbau seladang
       tumpang berendam
Rupanya masih juga engkau
       menjadi sumber kehidupan

Kerana engkau tiada napsu
      tiadalah takut akan kegagalan
      tiadalah bimbang akan kehilangan
      nak cemburu cemburulah
      nak halang halanglah
Engkau tetap jelas dengan kerja mu
Engkau tetap jelas dengan perjalanan mu
Pasti dengan halatuju mu
Jelas pada tingkat napsu mu
Hak pada niat dan matlamat mu
Tak mungkin engkau boleh berubah arah
Tak mungkin engkau boleh tergoda kalah
Rupanya perjalanan sebuah perjuangan
Yang sah niat dan matlamatnya
Tak mungkin boleh berubah arah
Tak mungkin boleh rebah kalah.

Khamis, 17 September 2009

SAJAK MELAYU.

Oleh kerana soal Melayu itu banyak sangat dipertikaikan hamba terasa untuk membentangkan sebuah sajak karya Sastrawan Negara Dato Osman Awang yang telah membawa beliau memenangi anugerah "Asian Write Award". Sajak ini selalu dibacakan oleh beberapa sahabat hamba dalam himpunan yang sesuai. Hamba pun selalu juga membacanya apabila berhadapan dengan khalayak yang dirasakan perlu mendengarnya.
 .
Di Malaysia, Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu dan Bajau itu Melayu
Minangkabau memang Melayu, Aceh dan Siak adalah Melayu
Jakun dan Sakai lebih Melayu
Arab dan Turki pekat Melayu
Mamak dan Malbari jadi Melayu
Malah Mualaf bertaraf Melayu


Melayu itu maknanya bijaksana
Jika menipu pun bersopan
Kurang ajarnya tetap santun
Dajalnya cukup selamba
Budi bahasa jangan dikira
Beraninya cukup benar
Tunduk bila bersalah
Lembutnya cukup jantan
Setia sampai kekubur
Biar mati adat jangan mati sahabat


Anak Melayu itu:
Luka di Tanjung Puteri
Parutnya di Parit Raja
Muka biar berseri
Mulut biar berbahasa


Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dalam senyum
Marahnya dalam tertawa
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak


Watak Melayu menolak permusuhan
Jika Melayu Mengangkat persahabatan
Kasih sayang kekeluargaan
Ringan tulang saling bertolongan
Jujur memaafkan ikhlas memberikan


Berdamailah cara Melayu
Silatur rahim yang murni
Dimulut sama dihati
Maaf sentiasa bersahut
Tangan dihulur bersambut
Luka pun tidak lagi berparut


Melayu itu saudaraku yang dikasihi
Dalam kekeruhan carilah perdamaian
Sifat terpuji setiap insan
Bermaufakat supaya berkat
Bersaudara dunia akhirat
Berikhtiar dengan tabah
Kepada Allah kita berserah.

Karya: Osman Awang.

Dipasir pantai tetulang moyang adalah sampah.

Semenjak kecilnya dia adalah kanak kanak yang disukai kerana pantas dan lincahnya
membesar sebagai teruna menjadi rebutan perawan kerana segak rupa petah bicara
sebagai anak muda dia selalu digeruni kerana tangkas dan licik gerak pencaknya
matang menjadi guru dialah harapan tempat menumpang bicara mengolah bentuk laluan fikir
sepatah selidah yang tumpah menyimbah di dada dialah pemancar yang menyinar menyuluh
selimbai selenggok tari sebunga sepecah tapak selangkah sekilas pencak dialah pengasuh
ada khianat mendatang ada musuh menyerang dialah mendada menjadi benteng hadapan
tuju arah setianya yang sedemikian adalah pada nusa bukan sekadar untuk raja seorang

apabila tiba masa dan ketika musuh sudah bebas berlari dalam kota melangkah masuk istana
dialah pemimpin nusa mengejatkan tanjak mengemaskan bengkung menyinsingkan kain
bingkas bangkit menghimpun semangat mengatur baris menyusun langkah memulih daulat
demikian dia menuju hujung usianya tersingkir terpulau dan mati dalam penyamaran
namun dia tetap jua berada dalam ingatan dan disebut sebut orang dari zaman ke zaman
cuma dari zaman ke zaman nama itu duletakkan pada paras meyusut makin bawah menuju kehinaan
akhirnya tercatatlah dalam sejarah dipelajari oleh anak anak muda mengenal dia seorang penderhaka.

Penderhaka itu kuburnya ditebing sebatang anak sungai
nesannya batu sungai sudah diambil orang buat alas membasuh kaki ditangga lambur
tebing anak sungai itu sudah runtuh diterjah air musim ke musim
tulang temulang dari tanah merekah dikubur itu sudah dipunggah kelaut
diperam luka dan nanahnya dalam gulung lipat ombak berolak masin air laut
tergores luka dihiris kerikil dan karang sebelum duhumban dipasir pantai
terkuis tergoleh terpijak disepak dan tidak diendahkan orang lalu lalang
dipasir pantai itu tulang temulang moyang para pejuang nusa adalah sampah.

Isnin, 14 September 2009

SESAYAP DI CELAH CELAH JEJARI

Dalam
enak bersayap
dihujung jari jemari
belaikan keras jejari itu
awas timbal lembut liutnya
hisab kira alunan gerak limbai
ukur sukat olak alun hayun gemulai
jangan terlepas pandang lalai timbang
jangan terlupa jaga menyatakan sayang
semaklah hujung melurut urut ke pangkal
jauhkan lalai alpa mengunjur anjur keakal
takut sendiri sehari terkejut melihat sayap
bercambahan tumbuh celahan jari jemari
bersayap sayap mengolah limbai sendiri
mencipta olak olah menyipi nyipi lari
menyiong menjauh tanpa disedari
nanti rusak dikemudian hari
punca awal mula jadi
sukar dufahami
payah dicari

Jemari Bersayap

Apabila jejari sudah mula bersayap
bersayapkan sayap sayap bebas mengebas
anak anak bebas bebas berjari
jari jari berjari jemari 
bersayap sayap mengebas
mengebas ngebas sayap
berterbangan terbang
menyusuri muka bumi
merentasi denai ke landai
melangkahi jeram ke sungai
berjangkit dari bukit ke bukit
melayang dari puncak ke puncak
memeriksa serba janji dan kata kata
berterbangan seperti ababil 
menaburkan cerita berita
mengumpul maklumat fakta
menyuapkan ubat dan penawar
menyinarkan gelap kembalikan terang
semuga umat tidak lagi bergelap disamaran
segala samar disuluh tukar kejelas terang
nas yang ada tetap jua dibaca diulang
kerana asalnya dari nabi dari Tuhan
cuma terjemah tafsir ulas olahan
tetap kembali keijmak ulamak 
bersilangan berujukan
tambah dekat dekatan
dengan kepastian jman
Inshaallah bertepatan

Sabtu, 12 September 2009

Penyair Dari Gunung.

Akulah penyair yang turun dari gunung
Beribu tahun aku duduk di situ
Beribu ribu ribu ribu tahun begitu
Duduk bertapa mencari diri ku
Kini ku turun ke pamah dan lata
Menjelajah pelusuk desa dan kota
Meninjau lurah dan pamah serata
Ziarah lihat anak cucu masih muda muda

Akulah penyair yang turun dari gunung
Beribu tahun aku duduk di situ
Beribu ribu ribu ribu tahun begitu
Duduk bertapa mencari diri ku
Hutan yang gelap belentara yang pekat
Lautan bergelora ribut memecut
Desa mengulit lena kota gamat menggawat
Habis ku harung bertekad ku redah nekad

Akulah penyair yang turun dari gunung
Beribu tahun aku duduk di situ
Beribu ribu ribu ribu tahun
Duduk bertapa mencari diri ku
Desa dan kota lurah dan lata
Sudah ku lalui ku redahi rata
Hutan belentara ribut bergelora
Sudah ku harung ku rasai semua

Akulah penyair yang turun dari gunung
Beribu tahun aku duduk di situ
Beribu ribu ribu ribu tahun
Duduk bertapa mencari diri ku
Kini ku turun ke pamah yang rata
Hutan belentara ku kenali serupa
Desa dan kota ku langkahi merata
Ribut gelora sudah ku hadapi semua
Lali diuji hajat jadi penyair matang usia
Menghimpun ubat penawar diniat hajat
Mengangkat diri jadi penyair matang bicara

Kini masih jua ada persoalan tidak menemu rupa
Masih jua ada makna entah bila akan ku jumpa
Masih ada pengertian dalam carian masih teraba jua
Kini ku temui jawapan pasti menjelas semua
Akan terhimpun jua segala kepastian
Bila diri jadi semadi di pusara fana.

Jumaat, 11 September 2009

Berumah di tepi hutan dikaki gunung.

Beruman dipinggir hutan dikaki gunung
menyalur air dari denai dilereng bukit
sejuknya membasuh tangan beriring doa
semuga terjaga berkat segala disentuh belai
pada yang suci, baik dan halal cuma
berkumur membersih rongga mulut
buat laluan makanan bersih suci
hidung dicuci sampai ke bibir lubangnya
semuga hidunya yang baik dan halal belaka
lurut basuh seluruh muka pemanis senyum
mengiring harap mata padanya
memandang yang hak
sambil mengelak yang batil
tangan lengan dilurut rata sejuk airnya
menjaga capai genggam pada hak dan sah milik
rambut di ubun ikut dibelai basah sama
sejuk dari denai bukit meresap masuk ke minda
menambat fikir pada restu Illahi cuma
diakhir urusan kaki dibasah jelas rata
menjurus langkah ke arah kebaikan sahaja
dimana ada ancaman dosa dijauhi jua
berulangan laku setiap hari berulang kali
melurus jalan dilaluan suci menuju syurga
berumah dipinggir hutan dikaki gunung
disalur air dari denai di lereng bukit
sejuknya tegap gagah membina hidup
pasti hala tujuan kehujung yang satu.

Selasa, 8 September 2009

Bersenjatakan Sayap Di Hujung Jari.

Hari ini aku rupanya hampir dengan satu penemuan
mendorong aku membina rasa kagum tidak terhingga
terhadap anak anak serta sahabat handai sedang jihad berjuang
gigih bergalah dicelah celah bongkah batuan
dengan bekalan senjatanya cuma sentuhan jari
merayap menerobos angkasa menabur maklumat
mengolah kupas kelarai jurai segala cerita peristiwa
membawa warga dahaga mengenal rahsia tersurat tersirat
sehingga umat mampu membina ilmu ilmiah dan bijak mencari hakikat
meneruskan kebijaksanaan memikul amanah tabligh berterusan.

Tahniah kalian.

Ahad, 6 September 2009

Bersayap Di hujung Jari

Zaman Gatotkaca sudah berlalu pergi
Hulubalang tidak lagi perlu terbang
Kerana manusia musuh tidak lagi perlu dibunuh
Layari mindanya ubah persepsinya kuasai fikirannya
Manusia musuh akan menyalin seragam menjadi seldadu mu

Zaman Gatotkaca yang silam itu sudah jauh berlalu pergi
Pendekar bertulang besi beruratkan dawai tidak lagi digeruni
Pencak lincah licik menggelek sendeng tidak lagi
bertapak pada tegapnya memacak pasangan kekuda
Kemenangan bijak mudah cari dilioktari berjeriji lidah petah
pantas terkirim dilaman pelbagaian media menakluk rasa memenangi hati

Zaman Gatotkaca yang berselang silam itu sudah sekian berlalu pergi
Penjurit yang bijak menitih mentera mengirai rahsia maujud memecah adat zat
sehingga lesap hilang dari tampak mata zahir lenyap menjadi ghaib
tidak lagi bisa menyorok dari kanta optik yang tidak lalai
menangkap dan menterjemahkan segala gelombang serta haba
segala tenaga jadi jadian ujud maujud sebarang benda
tetap dapat dirakam, disimpan dan diolahtayang waktu perlu

Zaman Gatotkaca yang berselang silam itu sudah semakin kelam hilang dari ingatan
Kehebatan mampu terbang menyerang lawan seperti bersayap
mengharung awan tidak lagi digeruni
kerana kelajuan jet tanpa pemandu
sudah bisa meranapkan menara tertinggi dalam sekelip mata
mencipta sebab bagi mengirim peluru peluru terbang
tanpa pemandu dengan kawalan hujung jari
dari kamar rahsia keserata dunia

Sabtu, 5 September 2009

Fatwa Orang Cari Makan

Semalam aku bermimpi
bertemu Sang Sapurba
yang turun dari Puncak Mahamiru
menyampaikan pesan kepada sakalian
anak cucu dibumi bertuah Tanah Melayu
tentang fatwa pandu kepada orang cari makan
dengan kata kata jelas nyata dan terang

Wahai anak cucu di bumi bertuah Tanah Melayu
dengarkan dan panjangkan sebuah pesanan
panduan untuk kalian dalam mencari makan
berkolek berbedar harungi riak laut berjala, pancing dan pukat
bawalah belat dan pukat kealor, sungai dan tasik tangkap ikan
bawalah golok dan parang redah hutan cari rotan
bawalah bajak dan tajak harungi tanamlah padi
bawalah keri dan cangkul berpanas dikebun berjagung bersawi
bawalah galah dan segai berdenai didusun jaga rezki dari tupai keluang
sediakan akar, kayu dan buluh berpagar bersagang jaga hasil bebun
tebang kayu tebas pokok berpadangkan rumput untuk kambing dan lembu
himpun sisa sisa makanan terbuang buat makanan ayam dan itek
gunakan lembut jari tajan penglihatan halus pandangan bijak akal reka cipta
Tuhan maha penyayang telah menyediakan segalanya sebagai bekalan
Tuhan maha pengasih telah menyediakan segalanya sebagai cabaran
untuk menguji kalian dalam amanah untuk berusaha memakmorkan

Maka berusahalah kalian dengan segala kelebihan dan kehebatan anugerah Tuhan
lepasilah tahap ujian amanah tanggongan menabur kemakmuran
bantu dan sokonglah yang daif dan memerlukan
dan elak serta jauhi dari menagih sokongan untuk cari makan
kerana benar, salah, hak atau batil itu mutlak milik TUHAN.

Suatu Ketika.

Suatu ketika
tatkala hari masih pagi
embun masih membasahi dedaun hijau
burung burung bebas berkichau
tanpa jaring tampa jebak tanpa pukat
kita memang serupa
kerana kita adalah kekacang
sedang merayap di para yang sama

Namun mentari tetap mencari harinya
kerana demikian adalah adab kerjanya
kita pun mendapat nekmat bahang habanya
pada sisi dan suhu yang berbeza
kita pun mencari rimbun berlainan
hasil pilihan sendiri sendiri
kerana pilihan kita tentunya
paling langsung ketingkap cahaya
yang lebih dekat dengan tingkap
persepsi yang sendiri sendiri
maka berbezalah para tempat kita merayap
membina tapak dan membiak rasa
maka berbezalah jadinya kita

Namun selagi kita tidak lupa pada umbi
yang tumbuh dari akar yang kejat di bumi
kita masih tetap satu pokok kekacang yang satu
buah dan biji benih yang nantinya terhasil
akan masih tetap kekacang yang dahulu

Tetapi apabila sambil merayap dirimbun
yang sendiri sendiri kita pilih begitu
kita menjadi selesa lalu taksub
kepada nyaman serta sejuknya rimbun
tempat kita sendiri merayap menjalarkan sulur
lantas mengeluarkan akar menjalar menyisip
pada harap berkat mendapat zat lumayan
dari reputan bebatang rimbun penampong tumpang
terpisahlah diri kita pada kecenderungan
pepohon yang palsu dan sementara itu.

Pun begitu kita tetap masih sama
selagi niat dan matlamat hajat
tetap masih padu pada asas usulan
umbi yang tumbuh dari akar
masih kejat menebat di bumi
selagi bumi itu masih kukuh
menjadi tempat terpacak
tapak madrasah yang asal
selagi Bank Pusat Al Mahshar
masih tetap matlamat akhir kita.
Kita tetap masih sebenarnya satu jua

Khamis, 3 September 2009

Tunggul Tua (1)

Tunggul tua itu
sudah lama menjadi tunggul
sudah repot dan bercendawan
menjadi tunggul ia kerana
pokoknya sudah ditebang
kayunya diperlukan
buat membina sebuah istana
untuk pendekar perkasa
yang licik berpencak
berlapis bunga tarinya.
Akar tunjangnya
Akar dahannya juga
akan ikut merepot
dam lumat menjadi tanah
namun tetap meresap ia
menjadi baja
menyuburkan
merimbunkan

Rabu, 2 September 2009

Semangat Merdeka.

Seperti biasa apabila Ogos merangkak ke hujungnya
semangat kemerdekaan terus membakar sampai ke puncaknya
tahun demi tahun ulangan tetap berulang demikian
seorang demi seorang para pendekar pembela pejuang bangsa
berderet datang menghangat ingat menyegarkan kenangan
betapa gigih betapa jerih langkah langkah suci perjuangan
betapa yang rebah dengan darah menyimbah membasah tanah
betapa yang hilang dalam pelarian kerana diburu sebagai penderhaka
betapa yang rela hidup merana dalam penyamaran sebagai orang terbuang
betapa yang kering zat dalam badan hidup tertekan olih kemiskinan berterusan

dan ....... dan .... ..... ...... dan ..... ........ ...........
betapa ......................................................................
betapa kita ................. ..................... ................................
betapa kita kini begitu selesa dalam alpa leka lupa pada jasa jasa mereka
?
?
?
akukah itu yang lumayan dengan istana indah
terpacak tiang tiangnya diatas selerak
tulang temulang nenek moyang yang parah seksa
sedangkan tidak pernah terfikir pun kita
betapa kita ini tanpa pengorbanan mereka
sedangkan jarang terlintas pun untuk kita
ucapkan terima kasih kepada mereka
sedangkan tiada fatihah pun
kita baca sebagai hadiah
terkirim buat mereka

sebaliknya kita lebih enak bersengketa sesama kita
kerana inginkan bahagian yang lebih dan lebih lagi
sebaliknya kita lebih enak berpangkasan sesama kita
tampa menyedari betapa pilunya mereka di kuburan sana
sebaliknya kita sanggup bersekongkol dengan musuh musuh
yang tidak mungkin akan rela mereka beri muka
yang kita ini sebenarnya berupa
serupa pengkhianat kepada mereka.
Relakah kita .. ... .... ? ?? ???

Selasa, 1 September 2009

Kemerdekaan Dijihad ini.

Setiap datangnya, perginya ogos
dadarasa ini tetap menyala
dengan bahang semangat merdeka
menyinar pancar dari dada ke dada
pewaris zuriat penerus tekad
menghimpun baurkan harum darah
yang sudah tumpah dan membeku keras
dengan wangi darah yang masih cair mengalir
dalam pembuluh di tubuh para penerus nekad
perjuangan pembebasan bumi keramat
menghimpun tuah pertahanan
menerus usung baki berkat
menerus sambung nekmat
menerus julang aman gemilang
buat anak cucu akan datang.

Nikmat perjuangan suci ini rupanya
bukan terlekat semat pada kata ucap
Manis nikmat ikhlas pengabdian suci rupanya
bukan dalam mencari syahid pada kematian
kerana kematian menamatkan kemanisan jihad
dalam pengabdian suci terusan perjuangan.

Semuga hidup ini akan bertunjangan beribu tahun lagi
Semuga hidup yang beribu tahun lagi berpanjangan
akan terus sebati menjalin dalam sulam anyam
liok lintok tari dan pencak perjuangan suci
mencari tapak tempat letak diri dengan peranan
pencarian gemilang cahaya memancar sinar terpuji
membawa diri mengharungi pentas uji
hangat bahang dipadang mahshar