Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Rabu, 28 Oktober 2009

Nekad Terpahat Dihati Pertiwi

Teman
Tanah sedang engkau sukat itu 
adalah tapak berlapis pusara 
dalam bumi itu bergalangan tulang temulang 
berdarangan dimamah usia 
namun reputnya membahang haba 
membakar dadarasa anak bangsa
Sukatlah teman 
tanah itu milik mu 
engkau punya hak ke atasnya 
kerana ia pusaka tinggalan moyang mu 
namun jangan sekali engkau lupa 
dalam bumi itu bergalangan tulang temulang
berdarangan dimamah usia 
namun reputnya masih membahang haba 
membakar dadarasa anak bangsa
Dirikanlah istana idaman mu 
di atas tanah pusaka itu 
sebesar mana mahu hati mu
seindah mana dituntut napsu mu 
kerana kini engkau ada hak atasnya 
tetapi jangan engkau lupa tanggong jawab 
keatas bumi itu bersama warganya jua 
merentas keatas daripada hak yang ada 
asalkan sahaja tidak sekali kali engkau lupa 
dalam bumi itu bergalangan tulang temulang 
sedang berdarangan mereput dimamah usia 
namun reputnya masih membahang haba 
membakar dadarasa anak bangsa
yang setiap masa rela bersedia
menebus pesaka moyangnya jua 
menegakkan nekad terpahat dihati pertiwi




Selasa, 20 Oktober 2009

Dalam Carian Itu.



Dalam carian itu engkau akan lalui segalanya
dalam carian itu engkau akan mengecap segala rasa
dalam carian itu engkau akan menempoh segala getirnya
dalam carian itu engkau akan menghadapi segala peritnya
segalanya akan melukis gambaran wajah sendiri
segalanya akan mengukir pengalaman sendiri
segalanya akan menjilid kitabnya sendiri
segalanya akan mencceritakan hikayatnya sendiri
namun segalanya adalah modal buat bekalan hari depan
namun segalanya adalah petunjuk buat membina bijaksana
namun segalanya adalah panduan buat mudah mengenal jalan
namun segalanya adalah pengajaran buat menghurai segala kusut
asal sahaja engkau tetap terbuka hatiminda kepada segala yang berbeza
asala sahaja engkau tetap bersedia untuk rela melihat dari sudut berbeza
asal sahaja engkau tetap tidak terikat pada penunggul penambat matahati
asal sahaja engkau tetap tidak menambat arah pandu pada satu guru
kerana engkau dan alam ini adalah khazanah tak habis diteroka
kerana engkau dan alam ini adalah kejadian berlapis rahsia
kerana engkau dan alam ini adalah kejadian paling mulia
kerana engkau dan alam ini adalah rahsia dalam rahsia
maka teruskanlah carian itu walau apa pun tekanan
maka teruskanlah carian itu walau apa pun cabaran
maka teruskanlah carian itu walau apa pun rintangan
maka teruskanlah carian itu walau apa pun halangan
engkau tetap akan ketemu jalan benar kerana jelas halatujumu
engkau tetap akan sampai kematlamat kerana kenal akan diri mu
engkau tetap akan mendarat dipengkalan hak kerana bulat imanmu
engkau tetap akan menakluk puncak kerana puncak itu dihatimu.

Khamis, 15 Oktober 2009

Kembara ini dan pelayaran itu.



Kembara ini dan pelayaran itu
dari suluk tapa yang sama
dari hajat yang serupa
dari puncak yang satu

Kenapa berbeza
kenapa tak sama
kenapa tak serupa
kenapa tak sepakat
kenapa bersilang hala
kenapa bertingkah kata
kenapa bercanggah bicara

Bukan ada yang tersirat dalam hasrat
bukan ada yang tersembunyi dalam hajat
bukan ada yang terlindung di belakang niat
bukan ada rahsia tersorok di sebalik ucap kata

Keliru tentu curiga pada barangkali terselit sirat rahsia
membawa makna kembara ini pelayaran itu berbeza rupa berlain warna
membawa lalai membina alpa sehingga tampaknya berbeza kecapnya berlainan.
Padahal kembara ini pelayaran itu sebenarnya ikhlas dan murni suci
Maka barangkali sudah jelma semua pengalaman mencorak fahaman
dari kitab dibaca gambar dilihat dan ajar seru didengar
Maka jelas nyatalah sudah rupanya
pengembara ini serta juga
pelayar itu perlu
sama sama melalui proses semak
muhasabah ikhlas terokai lohor sendiri

Sesungguhnya tidak mungkin yang satu itu
menjadi berbeza rupa berlainan bentuk kerana walau betapa
berlainan pun sejarah dalam proses pembentukan pembinaan minda
Dia sebenarnya sedia hadhir tanpa rupa tanpa bentuk berbagai nama
di atas segala rupa segala bentuk tanpa zahir di lendir mata
namun jelas jua tampak ia pada hati pada rasa
apabila hidayahnya sudah tiba bawa nikmat
Demikian rupanya gambaran illuminasi tersendiri
pada berbilang lapis corak fahaman terhadap hakikat zat
diungkap baca dengan berbilang asma'

Sesungguhnya pencari murni tidak akan menempah beza melanggan sengketa
 Pencari murni akan sentiasa redha dan rela merempoh beza melonggar sengketa
pandai ia melihat dari berbagai sudut mata
mengecap nikmat dari berbagai lunak bunyi
menghurup lazat dari berbagai saringan lidah
memahami dari berbagai ragaman lenggok bahasa
tanpa melekat terikat pada sebarang suluh kilauan luaran
kerana otak fikirnya jelas pasti padu pada matlamat tujuan
kerana dada rasanya ceraca benderang dek padunya iman.

Selasa, 13 Oktober 2009

Pencarian dan perburuan

Hamba cuma menurunkan catatan
dari otakfikir dan dadarasa hamba.
Fahaman, pandangan dan nilaian
bagaimana pun adalah hak pembaca.
Silakan dengan diri dan fahaman sendiri.

Catatan hamba adalah tabligh hamba
yang merasakan ia berguna untuk kebaikan
silalah kitip dan sebarkan ia
juka merasakan ada kebaikan padanya.
Semuga ia menjadi jariah kita bersama.

Kalian adalah bijak pada hamba
jika melihat dari sudut sudut berbeza
sehingga pandai mengulas dari sudut berlainan.
Pencari kebenaran akan sentiasa mencari sudut yang benar
sehingga sentiasa mendapat nikmat keindahan
kerana menemui keindahan di mana sahaja 

Kalian punya minda terbuka pada hamba
kalau pandai menemui apa sebenarnya
maksud tersirat disebalik surat yang nyata.
Semuga ia menjadi jariah kita bersama.
Inshaallah.
Dalam IlmuNyalah muktamadnya
kerana Cahaya Ilmu itu adalah HidayahNya.