Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Ahad, 27 Disember 2009

AJANGAN SEBUAH KEHIDUPAN



Maya kehidupan adalah sebuah ajang
dimana raja diulit rebab tunjuk lagak
sedang peran melagak lakun membawa watak
dilenggang langkah dilenggok jalanan
liut mengolah tari mengatur langkah
lenggang sendeng menggelek pencak
mencernakan diri watak dibawa
jelma jua hati dipancaran rasa
menayang gambaran iman didada

Maka jelaslah wajah diri pelaku diajang
hati didada rasa jadi jelas terbentang
betapa perit ngilu menanggong tekanan
betapa gagah ia menghadapi dugaan
serlah sudah siapa pelaku diajang
Kenallah kita tokoh dan wibawanya
melonjak julang kekaguman didada
menggilap puji pada hormat rasa

Tahniah cuma ungkap terucap
kerana jarak tetap tegap terpacak
Doa cuma dapat mengiring hasrat
semuga nyata esok lusa mu
tetap mendapat berkat
memacakkan tegap tiang empat
menanggam pasang ajang berpasak
tempat mengatur lakun yang baru
membina esok yang masih menunggu
menghias soleh masa depan masih penjang.
buat generasi penerus masih penoh harapan.

Khamis, 24 Disember 2009

Panduan Menjadi Penulis Sajak (siri 3)

 Dua hari yang lalu hamba telah menyambung catatan mengenai panduan untuk menjadi penulis sajak. Baru hari ini hamba mendapat kesempatan untuk menyambung lagi catatan itu. Catatan terdahulu menumpu kepada penguasaan bahasa yang cukup kuat. Catatan kali ini ada hubungkait yang rapat dengan catatan terdahulu dalam (siri 2) itu. Kali ini hamba memberi tumpuan kepada :




* Menguasai Perpustakaan Kata Yang Cukup Kaya.

Kekuatan menguasai bahasa masih tidak cukup untuk membina seorang penyajak menjadi penulis yang anjal dan lepas bebas dalam kerja penyampaiannya melalui tulisan berbentuk puisi bernama sajak. Ini adalah kerana sajak itu walau betapa bebas pun, ia adalah masih tetap satu bentuk puisi. 


Ia tetap terbentang dalam bentuk berbait bait. Baris baris dalam bait bait itu kena agak agak seragam alun bahasa bunyi dan panjang pendeknya. Kalau boleh diujudkan rima rima; apa lagi kalau faktur rima itu tersusun dalam kelok gelombang untuk sesuai diberi tekanan tersendiri waktu dibaca. 

Untuk itu semua seorang penulis sajak kenalah mempunyai perbendaharaan kata yang cukup kaya. Ia perlu berupaya memilih perkataan paling sesuai bukan sahaja untuk menyampaikan messagenya dengan tepat dan mendalam. Ia juga kena beri perhatian kepada bentuk rima dan lenggok iramanya sekali. 

Syarat tergaris disini nampak terlalu menakutkan ? Tidak. 

Ada cara yang tidak memerlukan tumpuan masa yang membebankan untuk melatih diri dan minda menakluk penguasaan itu. Anda cuma memerlukan perhatian bertubi pada setiap masa dan keadaan. Cubalah berriadah dengan cara yang mudah ini. Apabila membaca, mendengar dan bercakap cuba beri perhatian kepada setiap patah perkataan yang terdapat dalam ayat ayatnya. 

Pilih perkataan perkataan tertentu dan cuba dalami maksudnya. Cuba sarankan perkataan perkataan lain yang mungkin lebih sesuai atau sama sesuai atau layak menggantikan perkataan itu atau menokok kepada perkataan sedia ada itu bagi menambahkan kekuatan maksudnya. Tekanan itu juga adalah satu bentuk kekuatan yang cukup menarik. Amalkan selalu sehingga ia menjadi tabiat. 

Bila kita sudah mencapai tahap perubahan hasil dari tubi latih begini kita akan merasainya. Bila kita menulis atau bercakap kita akan terpengaruh dengan amalan itu. Kalau kita sudah sampai ketahap itu kita  akan mula merasakan keseronokannya. Seronok menggunakan ungkapan yang padat padu dan mampat. 

Selalu selalulah menulis, walau pun cuma dibuang sahaja selepas itu. Cuma selepas menulis itu berilah pengamatan mendalam. Cubalah perbaiki dan tambahkan kekuatannya. Tambahkan nilainya. Kadang kadang sambil melaksanakan proses mengukuhkan nilai itu kita akan ketemu akalan baharu lagi. 

Kadang kadang akalan baharu itu adalah satu penerokaan yang tidak pernah terfikirkan. Maknanya minda kita sedang berlatih mengkayakan kriativitinya.



Jangan takut menggunakan perkataan tersendiri atau perkataan daerah yang digunakan dalam daerah budaya yang terpisah daripada kebiasaan amalan Bahasa Malaysia yang resmi. Kalau anda buat begitu anda telah memainkan peranan untuk menambahkan perbendaharaan kata kepada Bahasa Malaysia. Gunakanlah selalu sehingga orang lain juga ikut menggunakannya dan akhirnya ia akan dikutip untuk dimasukkan dalam kamus dewan. 

Penulis sendiri pun biasa juga berbuat begitu. Berilah kesempatan kepada bahasa daerah untuk menyumbang kepada proses mengkayakan Bahasa Malaysia. Sekurangnya anda memainkan peranan mengurangkan tekanan untuk meminjam istilah dari bahasa lain untuk melengkapkan keupayaan penyampaian Bahasa Malaysia. 

Malangnya satu finomina belum berlaku di Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum ini. Alangkah mudahnya Bahasa Malaysia itu menjadi bertambah kaya kalau istilah istilah dari bahasa bahasa sukuan itu diambil untuk menambahkan perbendaharaan kata kita. Tetapi hendaklah ia berlaku melalui amalan penulisan biasa supaya prosesnya menjadi lunak dan azali. Bukan satu proses yang dipaksakan. Takut dirasai sebagai janggal dan memunah. Biarkan proses yang asli itu berlaku dengan sendirinya dalam amalan penulisan biasa yang sungguh sungguh (serius).

Akan disambung lagi dalam (siri 4)

Rabu, 23 Disember 2009

Keluarga Burung Di Hutan Di Padang.

 
Anak burung 
di sarangnya itu 
masih belum mengerti ia.
Berterbangan di awan itu bagaimana.
Ia cuma terasak keinginan mahu ikut terbang begitu jua.
Namun bebulu di badan dan disayap masih liut berambut
jarang dan lembut untuk mampu mengapung badan di udara
Tahulah anak burung disarang itu lazatnya ulat dan belalang.
Ingin sekali ia berterbangan dicelah daun, ranting dan dahan.
Betapa enak rasanya memagut ulat sedang merayap didaun,
menangkap belalang di padang sambil meluncur terbangan.
Namun sayap belum gagah terangkat dan gah berkembang.
Betapa mendesaknya keinginan mahu meloncat di didahan.
Dan pelbagai keinginan yang diri sendiri belum kemampuan.
Maka para ibu bapa dan juga paman serta jiran taulan.
Tafakur berterusan memikirkan betapa persediaan.
Anak sedang membesar melayan beribu ribu keinginan.
Bagaimana agar dewasanya kelak bisa membawa harapan.
Menyambung zuriat berkat dan mengembang terusan kehidupan.
Yakin mesra dan berkembang menyumbang pada membina alam.
Terus tenang dan aman jelas mengenal lawan dan kawan.
Menanggong kehidupan sebagai amanah berterusan.
Membesarkan badan menyuburkan perkembangan
rupanya baru asas tanggung jawab terbeban.
Bagaimanalah kebiasaan budayanya dilumrahkan.
Bagaimanalah matang mindanya maju memuliakan
Maka berkongsilah ibu bapa paman teman dan kawan
Ramai bersama terajak mencipta kaedah bagaimana cara.
Kerana cara semalam, kini dan esok ada jarak beza kelainan.
Alangkah mudah dan selamatnya kalau kalian cara sendirian
Pandai mencari kekuatan sendiri dalam membina kematangan.
Bagaimanalah kekuatan kendiri jatidiri diri sejati mudah mematangi

Selasa, 22 Disember 2009

Panduan Menulis Sajak (siri 2)

Panduan untuk menjadi penulis sajak yang telah hamba catatkan beberapa hari lalu mencatatkan beberapa syarat yang belum hamba huraikan. Kesempatan ini hamba gunakan untuk menghurai atau lebih tepat memanjangkan maksud salah satu syarat yang telah digariskan itu. Syarat syarat lain akan di panjangkan dalam posting lain pula selepas ini.

    * Penguasaan Bahasa Yang Cukup Kuat.

Penguasaan bahasa kenalah cukup kuat untuk berjaya menerbitkah ungkapan ungkapan yang menusuk kelubuk hati. Ayat ayat yang dihasilkan kenalah gagah menepati apirasi message. Kalau marah biar sebolehnya pembaca atau pendengar ikut merasakan marah sama.Begitulah juga kalau sedih, rindu, kasih, benci, kagum, bersemangat, bangga dan sebagainya.

Ayat ayat dalam sebuah sajak tidak semestinya terikat dengan peraturan bahasa yang biasa diguna pakai dalam penulisan prosa. Ingatlah sajak itu bentuknya syair yang bebas bentuknya. Bentuknya lahir dari gerakan untuk membebaskan diri penulis dari ikatan ikatan yang mengekang. 


Ayat ayatnya ringkas dan padat. Kekadang ayat tergantung pun. Malahan ayat tergantung itu juga boleh menjadi satu strategi yang menarik kerana ia memberi kesempatan kepada pembaca untuk mengenbangkan fikirannya sendiri berdasar kepada pengetahuan dan kesan dirasainya dari pengalamannya sendiri. 

Penjelasan yang disampaikan tidak semestinya diteliti rapikan. Penyajak yang hebat pun cuma membuat cetusan cetusan sahaja terhadap sesuatu isu yang hendak disampaikan. Penyajak sentiasa menghormati minda pembaca yang seharusnya diberi hak untuk meneroka dan mendalami permasaalahan yang di bangkitkan dengan kebijaksanaan dan pengalaman serta pengetahuannya sendiri. Itulah kelainan bentuk sajak sebagai satu genre sastera yang disasarkan kepada golongan orang bijaksana. Orang yang membacanya juga ikut terusan membina kebijaksanaan sendiri.



Sabtu, 19 Disember 2009

Dari Menara Itu



Dari menara itu
aku terpacak melihat
dada dada habis rabak terburai
minda manusia ligat dihayun buai
dirobek peluru anika ceritera
diledak bom hikayat berhajat
mengoleng segala maklumat
mengadun olah segala berita
mencipta anika rupa peristiwa
mengolak suhu membahang emosi
mendidih haba marah hati hati sepi
rindunya jiwa ini mencari betapa indahnya
rahsia manusia yang terpilih dari seluruh kejadian
tingginya harapan untuk menemui kebenaran
yang semakin hari semakin jauh hilang
semakin hari semakin jauh ia hilang
janji dahulu masih terpikul didada iman
kena dipikul sampai kehujung hayat zaman
kerana sebidang bumi dihuni hidup manusia
ada kerajaan bertakhta tegak pepanji Islam 
bernamalah ia sebuah negara milik orang Islam
jelas hukum jadi wajib kedaulatannya dipertahan
terabai amanah dipertanggong jawabkan demikian
cicir terbiar dan lalai dari dibela dipertahan berterusan
bagaimana neraca hari esok akan menemui imbangan
sukarnya urusan kerja menghadapi ancaman cabaran
serangan maklumat terolah mengolak emosi perasaan
namun tetap perlu didamai tenang dijelas terang
begini rupanya perang dihadapi dihujung zaman
begini rupanya jihad bertekad kehujung usia
tanpa menghitung kesan dan akibatnya betapa
tanpa menghitung bilangan dan sumbernya berapa



Jumaat, 18 Disember 2009

MAHU MENULIS SAJAK ? sedikit panduan disini ......... (siri 1)

Syukur Alhamdullillah hari ini hamba teringat kembali kepada satu janji yang belum terlaksana. Hamba berjanji dengan seseorang untuk menurunkan sedikit panduan untuk latihan menulis sajak. Hamba menyanggupi janji itu kerana diri hamba ini memang terasuh dengan sikap yang seboleh bolehnya jangan mengecewakan harapan orang.

Setelah membuat janji itu kira kira sebulan yang lalu telah banyak kali hamba cuba memulakan catatan. Tetapi rupanya hamba tidak mampu membohongi diri sendiri. Hamba sentiasa ditekan oleh kesedaran bahawa hamba bukan orangnya untuk menjadi guru dalam membimbing penulisan sajak. Hamba tidak pernah melalui sebarang latihan formal; tidak pula pernah hamba terasuh oleh seorang guru. Maka tidaklah pernah hamba menerima sebarang fatwa dalam usaha menulis sajak. 

Jadi bagaimanalah dapat hamba membentangkan satu panduan untuk tujuan itu; apa lagi menerbitkan fatwa fatwa tertentu untuk menjadi panduan. Menong punya menong; fikir punya fikir; maka berbagai pendekatan telah terlintas dalam fikiran hamba. Namun bila difikir secara terperinci hamba menjadi tidak cukup kuat untuk yakin sebagai membentangkan satu panduan berstruktur.

Akhirnya biarlah hamba mula dengan mencatat sejarah bagaimana sajak sebagai salah satu bentuk sastera terjadi. Sastera muncul dalam bentuk prosa dan puisi. Dalam budaya Melayu terdapat berbagai bentuk puisi yang terikat dengan desiplin tersendiri. Ada sakatan atau hukum mensyaratkan baris, bait, suku kata, sanjak dan rimanya.

Dalam tahun tahun 1940an ada sekumpulan pejuang sastera yang menamakan kumpulan mereka sebagai angkatan 40 yang tidak senang dengan ikatan ikatan itu. Di Malaysia gerakan itu bermula dengan angkatan 45 yang bermula selepas 1945. Atas maksud mahu menulis bentuk puisi yang bebas tanpa ikatan yang ketat maka lahirlah bentuk sajak.

Walau bagaimana pun gener sastra yang dipanggil sajak itu tetap ringkas, padat, simbolis, melangkolik dan melodius. Ia adalah hasil dari himpunan perkataan perkataan yang teratur dan tersusun dalam irama rasa yang menarik dan boleh menusuk kalbu. Pemilihan istilah dan susunan katanya padat dan kadang kala diasak tekankan dengan ulangan yang menubi terhadap maksud yang difokuskan. 

Namun kadang kala ia juga dibentang dalam terhadap sesuatu isu yang dibicarakan. Sajak selalunya bahasa yang mudah dengan sindiran yang cukup mendalam dalam mengupas sesuatu isu secara ringkas dan padat dari sudut yang tersendiri dengan cara yang tersendiri. 

Apa pun gambaran tergarap di atas ini satu perkara yang patut diambil sebagai kekunci berhikmah ialah: Bahawa sajak itu adalah bebas. Setiap seorang penulis adalah bebas mencari kaedahnya sendiri asal sahaja difikirkan menarik serta berkesan dalam menyampaikan apa yang hendak disampaikan.

Seterusnya sebagai panduan ringkas kepada sesiapa yang ingin menulis sajak yang menarik dan mengkagumkan? Secara spontan hamba ingin meletakkan syarat syarat berikut:
  • Penguasaan Bahasa Yang Cukup Kuat.
  • Menguasai Perpustakaan Kata Yang Cukup Kaya.
  • Pandai Melihat Permasaalahan Dari Sudut Dan Sensasi Yang Tersendiri.
  • Pintar Dengan Bahasa Kias Dan Sindiran.
  • Bijak Mencipta Dan Mengolah Lambang Lambang.
Melihatkan syarat syarat yang kabur ini hendaknya seseorang tidak seharusnya merasa takut dan gerun sehingga mudah mangalah dan dengan lemahnya terus menarik diri. Dalam posting yang berikut hamba akan hurai satu persatu lima perkara ini. Barangkali dalam huraian itu akan terbit juga sedikit penjelasan dan panduan untuk diriadahkan. Setakat ini hamba mohon untuk menangguhkan dahulu catatan ini. Maaf.

Akan bersambung di siri 2.

Jumaat, 4 Disember 2009

Menabur Benih Menuai Buahnya.

Menabur benih kebencian
menangguk sengketa dan perbalahan.
Menyemai api kemarahan
menanggong badai memusnah.
Menabur kasih sayang
memikat hati dan hangat kecintaan.
Menyemai ilmu beriman
semarak jana pembangunan insan.
Semuga ugama benar
tetap gagah didokong
keakhir zaman.
Inshaallah.