Setelah membuat janji itu kira kira sebulan yang lalu telah banyak kali hamba cuba memulakan catatan. Tetapi rupanya hamba tidak mampu membohongi diri sendiri. Hamba sentiasa ditekan oleh kesedaran bahawa hamba bukan orangnya untuk menjadi guru dalam membimbing penulisan sajak. Hamba tidak pernah melalui sebarang latihan formal; tidak pula pernah hamba terasuh oleh seorang guru. Maka tidaklah pernah hamba menerima sebarang fatwa dalam usaha menulis sajak.
Jadi bagaimanalah dapat hamba membentangkan satu panduan untuk tujuan itu; apa lagi menerbitkan fatwa fatwa tertentu untuk menjadi panduan. Menong punya menong; fikir punya fikir; maka berbagai pendekatan telah terlintas dalam fikiran hamba. Namun bila difikir secara terperinci hamba menjadi tidak cukup kuat untuk yakin sebagai membentangkan satu panduan berstruktur.
Akhirnya biarlah hamba mula dengan mencatat sejarah bagaimana sajak sebagai salah satu bentuk sastera terjadi. Sastera muncul dalam bentuk prosa dan puisi. Dalam budaya Melayu terdapat berbagai bentuk puisi yang terikat dengan desiplin tersendiri. Ada sakatan atau hukum mensyaratkan baris, bait, suku kata, sanjak dan rimanya.
Dalam tahun tahun 1940an ada sekumpulan pejuang sastera yang menamakan kumpulan mereka sebagai angkatan 40 yang tidak senang dengan ikatan ikatan itu. Di Malaysia gerakan itu bermula dengan angkatan 45 yang bermula selepas 1945. Atas maksud mahu menulis bentuk puisi yang bebas tanpa ikatan yang ketat maka lahirlah bentuk sajak.
Walau bagaimana pun gener sastra yang dipanggil sajak itu tetap ringkas, padat, simbolis, melangkolik dan melodius. Ia adalah hasil dari himpunan perkataan perkataan yang teratur dan tersusun dalam irama rasa yang menarik dan boleh menusuk kalbu. Pemilihan istilah dan susunan katanya padat dan kadang kala diasak tekankan dengan ulangan yang menubi terhadap maksud yang difokuskan.
Namun kadang kala ia juga dibentang dalam terhadap sesuatu isu yang dibicarakan. Sajak selalunya bahasa yang mudah dengan sindiran yang cukup mendalam dalam mengupas sesuatu isu secara ringkas dan padat dari sudut yang tersendiri dengan cara yang tersendiri.
Apa pun gambaran tergarap di atas ini satu perkara yang patut diambil sebagai kekunci berhikmah ialah: Bahawa sajak itu adalah bebas. Setiap seorang penulis adalah bebas mencari kaedahnya sendiri asal sahaja difikirkan menarik serta berkesan dalam menyampaikan apa yang hendak disampaikan.
Seterusnya sebagai panduan ringkas kepada sesiapa yang ingin menulis sajak yang menarik dan mengkagumkan? Secara spontan hamba ingin meletakkan syarat syarat berikut:
- Penguasaan Bahasa Yang Cukup Kuat.
- Menguasai Perpustakaan Kata Yang Cukup Kaya.
- Pandai Melihat Permasaalahan Dari Sudut Dan Sensasi Yang Tersendiri.
- Pintar Dengan Bahasa Kias Dan Sindiran.
- Bijak Mencipta Dan Mengolah Lambang Lambang.
Akan bersambung di siri 2.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan