Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Khamis, 26 November 2009

ODOR SETANGI DIGEBUAN LEVENDER

Garis itu cuma satu titik
jika dilihat dari hujungnya
Garis tetap cuma satu titik jua
jika garis itu masih tegang lurusnya
Cuba kalau larasnya diusik diganggu;
sehingga tergugat jelujur alur jalurnya:
sehingga berlegar kelok geleding bengkok
mengalih ubahlah rupa dan bentuk
Maka tidak pastilah kita apa gambaran
yang masih jua akan dapat bertahan
dan apabila garis itu sudah berubah;
bentuk dan rupa titik titik bertaliannya
sudahlah jadi tetali yang tidak lagi pasti
Maka cubalah jangan tertambat kita
pada gambaran terikat dilaras ceritera semasa
kerana esok belum pasti kesah hikayat tertera
masih tetap akan jua kekal sebegitu rupa
seperti semalam yang tidak pernah menggambarkan
rupa dan bentuk potretnya seperti kini.
Maka cuba cubalah mengelak kita
dari cuba cuba mengacau ganggu
garis indah yang masih tulus lurus.
Semuga odor stangi gebuan lavender itu
tetap memalit warna pelangi pada dadarasa
sehingga bisa biasa terbawa kemana mana.

Rabu, 25 November 2009

Mahligai Impian Di Atas Pusara Tua.



Dalam kembara 
mengharung pekat belentara berkabus 
tiba tiba terpandang mahligai permai 
memancar dengan deretan istana 
berkilau memancarkan gemilang cahaya 
penuh kesungguhan pada megahnya capaian keagungan  
penghuninya gagah melangkah dengan keris pada selempang
tanpa menyadari persekitaran sekelilingnya yang tandus gersang
sedang hangus dimakan api kebencian dan kemarahan berpanjangan

asapnya membuakkan bau bahan bakar menyatakan menyerlah asal datang
maka kenallah aku tentang kelahiran susunan hikayat berlapis lapisan
punca sesungguhnya didatangkan dari perancangan hasad berabad
dari kesah sesungguhnya sudah direntet berderet dalam al quraan
maka cemarlah watak watak di singgahsana kedaulatan bangsa
yang cuba diretakkan demi semarak hasrat sebuah agenda
diatas hasrat tujuan terancang sejak belum lahirnya isa
bertekad untuk tujuan akhirnya memerintah dunia
namun betapa pun rapi teliti rancangan mereka
rancangan Allah jua yang pasti jadi pada akhirnya
yang demikian kita bangsa pendokong ugama benar
tetap kekal gagah dalam nekad jihad perjuangan fatinah
tanpa soal akan ada atau tidak kesan dari sebarang tindakan
yakin percaya pada kerja tanggung jawab cuma perlu dilaksanakan
jaya tidak atau betapa kadar capai bukan sedikit pun menjadi persoalan 


Berkilau sebuah istana gemilang diatas pusara tua.

Putera Mahamiru ketika memulakan face booknya mencatatkan:
"Berkilau sebuah istana diatas pusara tua."
Catatan itu mencuit dadarasa dan otakfikir hamba maka izinkan hamba membuat ulasan hamba mengenai catatan yang ringkas itu mengikut kefahaman hamba sendiri:

Berkilau membawa maksud gemerlapan sinar memancar kemerata rata. Istana membawa  maksud sebuah kediaman yang gah. Dikagumi dan di banggakan. Pusara tua bermaksud sudah lama ia. Mungkin sudah dilupakan dan tidak terurus dan tidak lagi dapat dikesan.

Betapa kehidupan kini begitu gagah bangganya terhadap hebat pencapaian perjuangan memburu kemewah dan keghairahan terhadap gemerlap kilau pencapaian kebendaan. Lupa kita bahawa segala kesempatan dan peluang yang masih ada menjadi milik dan hak bagi kita itu adalah hasil dari pengorbanan pejuangan orang dahulu kala yang sudah kita lupakan dan kadangkala kita perlekeh dan perburukkan.

Maaf hamba ada urusan keluarga yang mendesak kini. Hamba akan kembali untuk membuat posting yang lain dalam bentuk sebuah sajak bermula dari ungkapan menarik itu. Ini barangkali menarik untuk seorang anak yang memohon untuk belajar untuk mencapai kemahiran menulis puisi. Silakan.

Ahad, 22 November 2009

TABAH BERDIRI (Buat seorang teman)

Wahai teman
walau engkau berjalan
dalam sunyi malam tanpa sepatu
masih sempat aku mengesan dan menyedari.
Lalu mengekori mu sampai kelaman teratak itu.
Kerana ada haruman bau wangi dari kemuliaan hati
mengajak aku menuruti gerak sepi tergalas dibahu mu.
Kagum aku melihat watak hebat mengharung cabaran gelora
menguji ketabahan iman mendayung waktu dikabus dingin
dengan tampak yang kabur, badan menggil kesejukan
meneruskan kembara tanpa bintang penunjuk arah
melintasi titi demi titi dengan yakin memilih

labuhan pantai sesuai tempat singgah
membajai sendiri tabah dengan
darah dari luka bernanah.
Maka wahai teman
ketahuilah anda
bahawa sesungguhnya
pada teropong mata ku
laluan hidup berliku mu itu
adalah sebuah epik contoh
wajar dibaca generasi muka
semuga mengerti mereka
betapa gigih itu dibina
oleh keyakinan diri
diri sendiri

Jumaat, 20 November 2009

SEBUAH PESANAN


Terjaga hamba
dari sebuah mimpi
setelah nyenyak lena
selepas parah kepenatan
menjalani kembara panjang
mengharungi riak gelombang
dalam lautan kemelut hati hati manusia
anika corak berbagai rupa berkelopak ragam
berbangkitlah aku dengan hasrat kencang
membina azam meninggalkan pesan
dibina hasrat berhajat pada
keamanan lumayan
anak cucu masa depan
beratur baris pesanan berlainan
untuk paras lapis takok berlainan
pada paras lapis mula takok bawahan
jadilah pengikut setia patuh pada arah rancangan
hindari ragu curiga serta sebarang bentuk kesangsian
kerana sebarang rancangan tidak mungkin jelas kelihatan
sebelum lancar terlaksana ia tanpa sebarang ralat gangguan
bantah engkar sah menjadi hak kalian jika arahan bertentangan
kehendak islam dan jelas akan menjerumus kamu kepada yang haram
pada paras lapis ditakok seterusnya lain pula garis pesan terbentang
jadilah penyokong yang setia ikhlas membantu memudah atasan
hindari saingan songsang dan jahat menyekat halang laluan hak
kerana nyata berkebolehan dari ukuran tulus ia benar layak
selalulah tinjau kaji dan pandang keliling serta kebawah
himpun segala gambar sebenar dari kutipan sebenar
olah segalah masaalah kaji segala potensi dilokasi
jangan cedok tiru kerana tiada cahaya akalan
diri mu bukan kerja mu untuk rancang diperjuang
kerana yakinlah bahawa bahagian mu sudah disediakan
apabila segala amanah sudah ikhlas gigih terusan diusahakan
pada paras atasan sesungguhnya mudah dan ringkas rumus pesanan
diri mu bukan lagi hak peribadi setelah menerima amanah kerusi atasan
segala yang datang dan terbentang adalah cabaran untuk sempurna diuruskan
tiada lagi sebarang alasan jahil atau tiada maklumat diangkat lapurkan berkewajipan
kerana semua terbuka kepada pantauan dan patuh menanggung amanah sebarang arahan
tiada lagi sebarang alasan mengizin sebarang masaalah untuk berterusan berulang ulangan
jika tumpuan hati tetap bertubi mengambil berat memberi perhatian pada arah rancangan
jangan ada kesempatan lalai menguasai diri kerana diri tidak pernah lepas dari perhatian
sentiasalah ingatkan diri itu tidak akan pernah lepas dari penjaga akaun dikiri dan kanan
demikian janji telah terlafaz sejak azali ketika menerima amanah memakmorkan alam
ukur dan sukatlah sendiri segala laksana sebenar ditahap ukur sukat pencapaian
jangan lupa pandang keliling pada segala sumber insan dan potensi gantian
bersedialah untuk rela hati mengambil kesempatan melepaskan tanggungan
kerana hakikatnya kedudukan itu bukan nikmat tetapi adalah amanah hak Tuhan

Jumaat, 6 November 2009

Teman Yang Bersembunyi.

Teman
engkaukah itu
yang mengetok pintu hati ku
dan menghilang ketika pintu itu terbuka
bicara dari diri kamukah wahai teman
yang ku dengar dari belakang tabir
namun dimana engkau ghaib hilang
ketika tabir itu ku selak buka
engkau bicara tentang usia dan kematian
seperti tidak menyedari bahawa mati itu
bukan berpilah atas ukuran usia
engkaukah itu wahai teman
yang lantang berbicara pada ku
dengan lidah bertatahkan sembilu
tanpa menyedari ada nanah menyimbah
dari lidah yang punah dek gambar yang sebelah

Teman
tatkala terhidu bau dari nanah
tersembur dari lidah mu itu
sedarlah aku betapa
penyakit memalit
dihati mu yang punah
dek enak memuja seranah

Maka wahai teman
inginlah aku tulus berkunjung
kelaman bicara mu
supaya dapat kita sama berbicara
mencari benar yang hak
kerana demikian kita diajarkan
dalam menghapus segala perbezaan
dalam mencari pasti dari ketidakpastian
bongkak dan keangkuhan, keras ditegah larang
dalam perjalan membina harapan keredhaan Tuhan

Kecewanya aku wahai teman
bila meraba pintu berkunci laman tari mu
panggil tidak bersahut salam tidak berjawab
sehingga bertanyalah aku pada angin menderu
tabligh apalah demikian rupa
berbicara sambil menutup telinga
sehingga cuba aku menjengah tanya
suci ikhlas hati itu peti simpanannya dimana.

Teman
berakhir kalam bicara ku
dengan doa semuga menemui kebenaran
biar pun pada jalan yang tak pernah kita sama sama
kenal serupa sewadah seadun seanyam bicara
sementara aku masih kena percaya dan yakin jua
dijalan ku ini tetap juga ada hakikat keyakinan sendiri
membina balang cahaya menyinar kebenaran berasingan.
kerana kita tidak ada peluang untuk bertompangan
membina harapan untuk berpimpinan tangan
melintasi jembatan halus itu sepantas kilat.
bertuluslah kita pada jalan berasingan.