Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Ahad, 31 Januari 2010

Hak Yang Berhak.


Hai 
anak anak;
setelah berhari hari
bermalam malaman kita
mengharungi pengalaman bersama
melambung gelombang rasa dan
menterjemahkan maknanya
mengikut fahaman sendiri. 
Telah belajarlah kita berbagai pengertian
untuk bekalan meneruskan kembara yang panjang
menempoh kehidupan sebenar dalam arus satu perjuangan.
Sesungguhnya dalam tempoh singkat kita berada bersama
mengalami berbagai cetusan dan pergolakan perasaan
telah sama sama menemui berbagai persamaan 
dan perbezaan yang menuntut kita 
mengasah toleransi dan kebijaksanaan
mencari dan membina faktur pengimbang 
sehingga kita semua terhimpun menjadi 
satu pasukan yang sekata sefahaman.
kerana sesungguhnya kita tidak ada pilihan
kerana kehidupan adalah sebuah kelangsungan
seadanya dari apa jua yang sedia terbentang
namun untuk berterusan adanya ia 
milikan itu jangan cuma sendirian
kerana pesaka ini diwasiatkan 
untuk dikongsikan bersama
diagih bahagikan seadilnya mengikut keperluan nyata.
selebihnya baharulah ditebar menjadi terbuka kepada rebutan
janganlah rakus memalsu bersaing untuk mendapat lebih sendiri
kerana demikian itu adalah merampas hak daripada yang berhak.

Kehidupan Sudah Di Akhiran Zaman

Aku tidak pernah ada waktu terluang
kerana setiap masa yang ada tetap terjadual
sebagai tempoh untuk aku melayang terbang
dilangit biru maya pada meredah awan gemawan
mencari tajuk bicara mengesan teman menyulam kata
biasalah digelap pekat memandu sesat
biasalah disilau sinar disula cahaya
biasalah dihangat bahang dibakaran suria
biasalah terbabas dicelahan sepah sarap
jarang ketemu haruman setangi
kerana tempatnya cuma di bumi
jaranglah ketemu wangian melati
kerana wilayahnya cuma dipekat hutan
jarang ketemu merduan kicauan
kerana tempatnya cuma didataran
jarang ketemu azan tulus melaung seruan
kerana kehidupan sudah diakhiran zaman.

Khamis, 21 Januari 2010

Apabila seorang seniman diam berdiam.


Setelah lama memerhati seorang teman seniman meronta rasa dan diam termangu
aku menjadi keliru kerana tidak mengerti pergolakan dan perasaan hatinya
setelah berkali memerhati keadaan begitu dan apa berlaku seterusnya
baru jelas tahu ku maknanya apabila seorang seniman diam terdiam
bukan ngelamun bukan juga bermenung tetapi mengumpul tenaga
membina tapak ditari rasa mengolah indah pelangi menyeri rupa
diam seorang seniman mengatur wirid kata disulaman bahasa
menanggam harapan impian mewiridkan hajat kesampaian
nyata diakhir wirid diam itu
ada hidayah mendatang
membawa harapan
sekian dinanti sekian dicari
mesra membelai dendam geram
sekian membekam dihati 
lembut melamar kasih 
sekian dipendam
sukar barangkali 
memahami rahsia tersirat
bagaimana begitu mudah terjadi
bagaimana hikmahnya begitu terbina
melainkan sendiri terlibat hati merasa

datangnya lengkap seperti sebuah kurnia
siap terhidang di paha beralas baldu berenda
Al Rahman Al Rahim siapalah tahu kerjanya bagaimana
Demikian kelohoran hati seorang seniman mencari karyanya
bersematkan hajat menyulam tekad membawa kebaikan berguna
buat manusia sedang keliru mencari diri dalam kelam tertekan


Rabu, 20 Januari 2010

Kerinduan itu tetap ku tinggalkan dilaman seni - tak kira di mana.

Teman
janganlah engkau
tersalah menterjemahkan
kerinduan terpendam oleh
jarak masa bertingkat waktu
engkau penyimpan pustaka ilmu
engkaulah penyulam kesepian seni
engkaulah pengolah wajah wajah silam
dizaman aku masih sedang menari ditaman
kini taman itu sudah kering berpasir berbatu
dan aku tidak lagi akan selalu berkunjung kesitu
kerana olah tari kini menyilatkan pola yang berbeza
aku tidak lagi menghasilkan arca untuk tontonan visual
kerana rasa tanggung jawab tercipta sendiri difikir sendiri
namun aku masih jua tetap insan bergelar manusia berjiwa
masih rundukan kelok kelarai anyaman sulam awan berpola
demikian singgah rinduku dipagar berkunci yang jelas kenal ku
namun salam rindu tetap jua ku titipkan sebagai salam pada ilmu
buat kenalan pernah berkongsi kasih pada indahnya pesaka bonda
maka diatas keyakinan kepada keikhlasan yang lohor jujurnya
aku menjadi spontan dan selamba mengungkapkan buah rasa
diberikan nama rindu terukir pada jejala diatas jendela bahasa
janganlah engkau menjadi keliru terhadap ikhlas hati ku seperti dulu
semuga kita semua bebas dari segala persangkaan dan pertuduhan
untuk teruskan kehidupan dengan tanggung jawab masih kena dipikul
kerana kita semua adalah penanggong pesaka ini sementara hayat masih dikandung badan
sebelum diserahkan kepada generasi pelapis yang bakal bersedia untuk menerima tanggungan.

Inshaallah.

Ahad, 17 Januari 2010

Kawan dan Kekasih



Ada 
barangkali
orang berbicara
tentang makna
kawan dan kekasih
sedang aku penoh tawadhok
khusuk menilai kawan yang gagal
menyerahkan hati kasihnya
kepada seorang kawan.
Lalu ingin ku lontarkan soalan
kekasihkah itu yang tidak bersedia
merelakan keikhlasan menyerahkan
sebahagian ghairah pada hajat sendiri

demi sayang pada kekasih dikasihinya.
Maka berbalam dihadapan ku
ada teman yang selalu ku perhatikan
alun gelombang emosi dan perasaannya
sedang keliru tentang pengertian bermakna

betapa beza lainan antara kawan dan kekasih.
Lalu apalah lagi yang dapat ku katakan padanya
selain bersenyumkan bisikan pada telinganya.
Memupukkan ketenangan dan keyakinan
pada kendiri serta jatidirinya sendiri.
Kerana mana mungkin bicara hati
dada rasa seorang insan berpendirian
mepaut sandarkan pendapat pandangan
seseorang yang bukanlah dirinya sendiri.
Demikianlah bicara dapat ku ungkapkan
kepada teman sedang menggali carian
kerana gubahan kata tulus pernah datang
dan lesap menghilang dalam mencari laman

rupanya sudah sebenarnya pergi menghilang
namun wahai teman relalah mengambil pengalaman
menjadi pengajaran buat digarapkan suatu pengertian

bahawa sekali sesuatu bukan rezki menjadi hak seseorang
tetap mudah mencari laluan beralas apa pun sebab pasti jua hilang
namun insan beriman tidak perlu merintih kesalkan peritnya berpanjangan
kerana janji Tuhan bagi setiap yang dilahirkan menghirup udara bernafas dialam
sesungguhnya sudah ditentukan apa apa yang akan menjadi hak dimiliknya
maka rela dan redhalah menerima gantian bila ada ia menjelma datang
cuma gunakanlah ilmu pengajian diamalkan buat menyaring tapisan
kerana pasti kelak merasakan untung ruginya adalah diri sendirian
betapa pun ada teman yang mampu mencurahkan simpati ihsan
masih jua diri sendiri yang kena tanggong pikulkan bebanan
padahal ada lagi zuriat lapisan kemudian masih berhak
kepada kehidupan aman tenteram dan lumayan

Selasa, 12 Januari 2010

Untuk kelak diaudit di PADANG MAHSYAR.

Dibumi subur ini apa pun disemai
pasti tumbuh dan lebat berbuah
Apa pun ditugal pasti galak membuah hasil
Getah dari Brazil jadi rezki lumayan
Kelapa sawit dari Afrika membuat kita jadi kaya rara
Kerana kita ini bangsa bertuah;
kitalah yang jadi peladang di Afrika
kitalah yang jadi peladang di Agentina
Kerana bumi ini dianugerahkan kesuburan melimpah
untuk kita bina tamadun terpuji mengikut acuan kita sendiri
Maka disinilah kita pacakkan hasrat berhajat
dengan tunggak 1 MALAYSIA
membina jagat rupa nilai manusianya
menerapkan teras teras perpaduan
menjadi aspirasi bersama

Kerana dibumi ini apa pun kita tanam senang berbuah
apa pun kita tugal menjadi subur dan lumayan hasilnya
kita pun menjadi pandai menyemai benih api
sebagai tanda nyata kitalah perakus merebut kuasa
kita pun menjadi bertambah pandai menugal kebencian
agar segala hasil mencurah kebakul sendiri cuma
padahal sebenarnya kitalah yang memadah musibah
kita pun menjadi bertambah bijak menanggam cerita
agar tiada yang masih tetap menjadi milik orang lain
padahal kita sebenarnya mengundang kemusnahan
untuk mudah datang menghancurkan kita semua

Dalam selesa menghirup kemakmuran lumayan begini
kadangkala boleh buat kita jadi lupa untuk bersyukur
Enak diulit kesenangan yang senang dipermudahkan
kadangkala boleh buat kita jadi lupa mengusul diri azali
Maka lupalah kita akan dosa yang boleh melupus segala pahala

Maka di sini dibumi ini pada hari ini kami berhimpun
di atas satu gagasan luhur dihasratkan
akan berpadu sepadu
tegap aman 1 MALAYSIA.
mengolah perinsip perinsip mulia
sedia termaktub kendong pada Perlembagaan Persekutuan
serta bersama menghayati RUKUN NEGARA rukun bersama
mempastikan keadilan sosial dikongsi bina secara bersama

Semuga disini
di bumi
1 MALAYSIA ini
bersama kita hidup saling hormat menghormati
tawadhuk tunduk di atas puas rasa rendah diri semadi dihati
rela dan redha dengan segala kesederhanaannya begini
demikianlah rupa budi bahasa menyerlah pekerti
syumulan budaya bijaksana dan inivatif meninggi prestasi
mengulum sifat dan sikap sentiasa mahu yang tepat padat
mengamalkan ilmu yang syumul mengukuh diri berintergriti
sentiasa setia dipertahan diperjuang
dengan segala ketabahan tak mungkin padam

Semuga terhimpun menjadi ibadah
untuk kelak diaudit
di Padang Mahsyar.

Sabtu, 9 Januari 2010

Wajah Wajah Ancaman Bersulam.




Serlah lagi sebuah warkah sejarah
serlah menyatakan amaran dari Allah
mendedah perangai laku manusia punah
menyalahguna kelebihan istimewa anugerah
ALLAH

Mudah berbicara mencari untung kedudukan 
untuk dengan mudah mencari kemenangan
mengalahkan lawan dengan sokongan
orang orang yang mudah jadi ikutan
tanpa menghitung mengolah cari
sah dan benar hasil dan kesan
dalam lurus laras proses yang panjang
dalam teropong hari hari kemudian mendatang
bakal dipusakai anak anak pewaris akan datang

Maka ayat ayat Allah pun ikut didagangkan
malahan nama ALLAH yang tersimpul
pada rahsia suci kelohoran hati
ikut dibenar izin ditaja jaja kelongkang
serta lorong lorong gelap tidak tergambarka
Namun sudah serlah timbul gambar kesah
berduyun bondonglah tercuit hati umah

gelora parah terbakar perasaannya.
berselewang tindan meluah kata
pendirian tegas terang nyata.
Ketika itu:
ada pihak baru tiba tiba tersedar dari lena leka lama
dikejutkan keinsafan telah terlalu jauh silap 

langkah songsangan menyimpang.
terdiam mereka tidak terkata
Namun parah terkelar oleh selaran
berulang silang tak upaya tertanggongkan
rugi kehilangan pegangan pengaruh ramai ikutan.
lantas tersimpullah rumus faham mendatang 

sesuatu harus kena bijak rapi dirancang.
Khalayak sedang semarak berang dan
garang kena dipindah alihkan pandangan.
MAKA DEMIKIANLAH HASILNYA

ANGKARA MENGEJUTKAN DITANGGAM
UNTUK MEMBAWA KESAN MENGALIH PERHATIAN

RUPANYA BERTUKAR MENJADI ANCAMAN BERLAINAN
YANG PARAH KITA SEMUA KENA CERMAT BERI PERHATIAN.
demikian rupanya kerenah manusia diakhir zaman menangani perebutan kuasa 
menanggam ancaman menjadi alat memacu nama menghimpun sokongan untuk menang