Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Ahad, 17 Januari 2010

Kawan dan Kekasih



Ada 
barangkali
orang berbicara
tentang makna
kawan dan kekasih
sedang aku penoh tawadhok
khusuk menilai kawan yang gagal
menyerahkan hati kasihnya
kepada seorang kawan.
Lalu ingin ku lontarkan soalan
kekasihkah itu yang tidak bersedia
merelakan keikhlasan menyerahkan
sebahagian ghairah pada hajat sendiri

demi sayang pada kekasih dikasihinya.
Maka berbalam dihadapan ku
ada teman yang selalu ku perhatikan
alun gelombang emosi dan perasaannya
sedang keliru tentang pengertian bermakna

betapa beza lainan antara kawan dan kekasih.
Lalu apalah lagi yang dapat ku katakan padanya
selain bersenyumkan bisikan pada telinganya.
Memupukkan ketenangan dan keyakinan
pada kendiri serta jatidirinya sendiri.
Kerana mana mungkin bicara hati
dada rasa seorang insan berpendirian
mepaut sandarkan pendapat pandangan
seseorang yang bukanlah dirinya sendiri.
Demikianlah bicara dapat ku ungkapkan
kepada teman sedang menggali carian
kerana gubahan kata tulus pernah datang
dan lesap menghilang dalam mencari laman

rupanya sudah sebenarnya pergi menghilang
namun wahai teman relalah mengambil pengalaman
menjadi pengajaran buat digarapkan suatu pengertian

bahawa sekali sesuatu bukan rezki menjadi hak seseorang
tetap mudah mencari laluan beralas apa pun sebab pasti jua hilang
namun insan beriman tidak perlu merintih kesalkan peritnya berpanjangan
kerana janji Tuhan bagi setiap yang dilahirkan menghirup udara bernafas dialam
sesungguhnya sudah ditentukan apa apa yang akan menjadi hak dimiliknya
maka rela dan redhalah menerima gantian bila ada ia menjelma datang
cuma gunakanlah ilmu pengajian diamalkan buat menyaring tapisan
kerana pasti kelak merasakan untung ruginya adalah diri sendirian
betapa pun ada teman yang mampu mencurahkan simpati ihsan
masih jua diri sendiri yang kena tanggong pikulkan bebanan
padahal ada lagi zuriat lapisan kemudian masih berhak
kepada kehidupan aman tenteram dan lumayan

2 ulasan:

CCZ berkata...

Terkedu kala hamba membaca tiap bait
Adakah hamba yang masih kesedihan?
Bicara melalui jejari
Mengikut luahan hati
Sedang pembawaan diri
Lebih gagah dan tidak secarik sedih di hati
Ingin jua hamba berpuisi
Mengatakan hati hamba turut tercarik
Kerana buatan sejarah yang tak pernah ikhlas melepaskan
Lalu yang tinggal pada hamba
Adalah sebuah tangisan
Tiada harapan..

Tetapi itu cuma sementara
Sesaat menderita sesaat bertenaga
Kerana itu memang sifat hamba
Tak mengalah kepada keadaan
Jangan biarkan diri
Terus-terusan mengikut emosi
Kerana kekuatan yang sebenar
Ada pada diri sendiri

Sejarah itu terus-terusan menyiksa
Mengharapkan harapan bertukar dirinya
Sedangkan dia patut tahu
Kehidupan itu sudah berlalu
Bagaimana lagi hamba ingin jelaskan padanya wahai teman yang mengerti?

C L J berkata...

Belum pernah aku terduduk tanpa kata
tika menyaksikan gigih seorang insan
gagah dengan kekuatan daya tahan
handal meniti liku kehidupan
tangkas menangkis halangan
licik liat menghadapi cubaan
bijak berhelah menyaingi godaan
jenoh parah melayan emosi perasaan
seperti berenang digelombang lautan
Namun dilarut malam sepi begini
terhayun antara kagum dan pilu di hati
terduduk jua aku tanpa sepatah kata
terdiam sehingga beberapa ketika
memikirkan betapa dapat ku bantu ia
Sesungguhnya insan segagah itu
rupanya bila tercalar hatinya
oleh sebuah kehidupan yang musnah
tidak lepas dari parah berendam
di pusaran olak gulungan gelombang
sampai berterusan berpanjangan
Bagaimanalah dapat kusampaikan
lemak berminyak pelembut urutan
melenyap segala ingatan kenangan
terusan memerit luka dipahit kecapan
Kalaulah dapat ku ajarkan cara panduan
mengolah adun ramu ramuan
menukarkan pahit kecapan menjadi manisan
membalikkan panas haba menjadi sejuk menyaman
Bagaimanalah akan dapat ku sampaikan