Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Isnin, 7 November 2011

Antara yang hilang dan yang dicari


Kalau hilang ia menjadi kesamaran
tentu sekali ada tabir yang menyekat
membuatkan pandangan menjadi terhalang
atau jalan dikabori simpang cabang 
Namun selagi hujung masih tunggal satu 
garis tempat kelak ditiba datangi kembara
pasti jua akan tetap sama
kerana azali janji
tidak akan mungkir gelincir.

Maka akan berulanglah pesanan purba
mendesiskan dengung kepada siapa sahaja
yang masih sudi mahu merasa ada kena mengena: 
Kembalilah berkejat kejat kenekad hajat diniat
mencari jalan azali yang masih tetap pasti satu
menuju pintu yang masih tetap kekal jitu satu
semuga kelak kita semua akan jumpa jua
dipintu yang pasti tetap sama
INSHAALLAH.

Jumaat, 4 November 2011

Lt Adnan:


Lt Adnan

Bersama semangat yang waja
Engkau pergi meninggalkan kami
Membawa bersama jatidiri mu
Membawa bersama wajadiri mu
Engkau pergi meninggalkan kami

Kapan telah disempurnakan
Talkin telah pun dibacakan
Namun engkau masih belum mati
Namun bumi ini masih di sini
Namun kami masih juga begini
Meneruskan jihad tidak bertepi

Lt. Adnan
Wajadiri mu
Jatidiri mu
Kemana hilangnya
Atau telah terkubur ia bersama keranda mu di pusara
Kemanakah perginya anak yang engkau tinggalkan bersama isteri mu
Tidakkah padanya ada wajadiri mu ada jatidiri mu
Atau segalanya telah musnah terhimpit oleh tekanan yatimnya
(Berdosakah kami yang tidak mencarinya ?)
Kalau anak mu entah kemana
Kalau cucu cucumu pun entah bagaimana
Bagaimana dapat kami bawa semangat jatidiri mu
Bagaimana dapat kami terus gah berjuang dengan wajadiri mu
Bagaimana dapat kami terus hidup bersama kehadhiran mu

Lt. Adnan
Demikian adalah zaman mu
Demikian adalah cara juang mu
Demikian adalah utuh senjata diri mu
Demikian engkau telah hilang
Demikian engkau telah berjuang
Demikian pula adalah hasilnya
Dan kerja mu masih juga tidak selesai
Siapakah yang harus meneruskan
Bagaimana pula harus kami laksanakan.

Lt. Adnan
Kerja mu rupanya belum selesai
Ia tidak selesai dengan terkorbannya diri mu
Ia juga mungkin tidak akan selesai ditangan kami
Bagaimana agaknya murni perjuangan mu dapat berterusan
Sedangkan kami punya zaman yang berbeza
Sedangkan kami perlukan cara yang berbeza
Sedangkan kami perlukan alat yang berbeza
Namun wajadiri mu masih kami perlukan
Namun jatidiri mu masih kami perlukan

Lt Adnan
Maafkan kejahilan kami
Maafkan buta hati kami
Maafkan pekak telinga kami
Maafkan bebalnya hati kami
Muga muga Tuhan juga akan menerima taubat kami

Lt Adnan
Katakanlah di mana
Katakanlah bagaimana
Dapat kami cari wajadiri mu
Dapat kami cari jatidiri mu
Untuk kami panjangkan kepada generasi selepas kami
Atau kamu sebenarnya kini memang ada dikalangan kami
Atau kamu sebenarnya kini sedang mengiringi gerakan kami
Atau kamu sebenarnya kini sedang memimpin ketahanan kami
Atau kamu sebenarnya akan terus berada dikalangan anak cucu kami
Atau kamu sebenarnya akan terus mengeringi gerakan anak cucu kami
Atau kamu sebenarnya akan terus memimpin ketahanan semangat anak cucu kami.