Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Jumaat, 25 Mei 2012

POTRET SEORANG TEMAN


Sekian 
potret wajah mu 
dibelai angkat julang 
semuga kekal memancar sinar 
menggilap himpun pesaka di puncak menara
menyinari lapisan jilid jilid berhias hidangan dipaha 
dan aku juga tompang merasa bangga gah serta teruja 
sehingga pada anak cucu pun sudah ku tinggalkan pesan
agar memerhati segenap rumah dan perpustakaan
buka mata beri perhatian pada segala olah kajian
akan betapa kayanya pandangan dan pemikiran 
seorang teman tokoh contoh sazaman 
 betapa erat tersirat jelujur beralur 
lurah laras gubahan adunan 
alir jalin anyam sulam 
dari dekad kedekad 
tetap kekal indah terpuji
hingga kerumus usia 
dihujung hayat
Malangnya 
harapan terjulang 
terpacak dipuncak menara 
tersiram air bercuka mengepingkan karat 
mereputkan tulangan menggoyah menggoyang 
bangunan wadah yang gagah menojah hamparan awan 
oleh terdedahnya pada pelbagaian godaan sekitaran
yang gagal disaring tapis ikut pandangan akal terbanyak 
sehingga terancam potret seorang teman dihujung usianya

Khamis, 17 Mei 2012

Penebat Rasa Dimogok Sastera.


Kalau musimnya sudah banjir
dengan lontaran kesah mudah
dan kita bersama dipestanya
tidak mungkinlah kita akan bebas
dari sama berkuyup dibasahnya.
Maka wahai teman
janganlah engkau
tangisi kesejukan itu.
Cuma kalau engkau tidak lagi
mampu bertahan mengigil dikuyupnya
pilihlah lorong yang sebenar aman 
dan keluarlah dari daerah banjir itu
mencari haba diungun setia.
Sedang engkau pun tidak lagi
perlukan penebat rasa
dimogok sastera.

Selasa, 15 Mei 2012

JERAT KHUFUR NEKMAT.


(Khusus buat seorang teman yang sekian lamanya tidak bersuaan dek berbezanya kita)


Syukurlah kalau nama mu tidak digembur
suasana sekitar laman itu hapak baunya
syukurlah mereka tidak menjeling ke tingkap mu
sinar cahaya dari mata menjeling itu
panas habanya oleh membakar marah melata
namun kenapa pula engkau seperti tidak mengerti
masih bertatih ditepian jalan merungut kata
seperti memikat perhatian nanah sedang membara
seperti mahu bersama disental ragut
hingga bersepai daging tulangnya

cukuplah teman
cukuplah dengan nekmat sedia tersemat 
maha pengasih Allah murah menganugerah
hingga tersedia segala yang sudah menjadi ada 
demikian kodor dan kodar atas sekian kerja kita
 
dipengkalan ini kita cuba bersinggahan
sambil menyatakan syukur atas segala seadanya 
semuga terlepas kita dari jerat khufur nikmat
kita yang sudah terlajak meleretkan usia
kembalilah menyerikan mihrab sendiri
dengan lunak bunyi irama ratib wirid
menanti hari kelak kita dijemput pergi



Khamis, 10 Mei 2012

Fitnah, seranah dan sumpah cacian.

Belayar dimaya lepas aku menjadi keliru 
tiada panduan sah tiada petunjuk arah 
tiada parit longkang menggaris sempadan
segalanya bebas tanpa halang sakatan 
malahan kawat berduri menggulung legar
masih senang dirempoh bugar
kerana erti sempadan sakatan
tiada dalam hati dan perasaan 
Maka aku pun jadi sepi sendirian 
tiada saudara tiada teman berkawan 
Dalam keliru keliru begitu 
terpandang aku disebuah taman berlaman 
terpahat pada sebongkah batu berlumut 
ayat purba meninggalkan pesan kata  
"Melayu itu tidaklah ia pandai derhaka" 
Bingkas mengurut dada membina harap 
mengagau raba mencari teman mencari saudara
padahal semuanya sudah tiada dan aku sendirian cuma 
menoleh keliling masih mengintai cari masih berharap jua 
namun yang terjumpa adalah gumpalan api panas membakar
yang tumbuhnya dari benih kebencian dan kemarahan 
disemai tugal berbajakan organan fitnah bersulam seranah 
dan aku punya pilihan untuk bersunyian sendirian
atau ikut menyuburkan kebencian dan kemarahan 
dengan fitnah, seranah dan sumpah cacian.

Khamis, 3 Mei 2012

BERSIH yang engkau cari.


Engkaukah itu teman
sedang meronta dijalan jalan
melaungkan hak untuk kebebasan
tanpa menyedari aku sedang bersenang
aman tenteram dalam taman impian
menghirup udara nyaman
bebas dari sengketa nista
berang dan kebencian

Sedarkah engkau teman
geger laung mu
berkumandang membelah nyaman
bergegar menghambat tenteram
dan aku rupanya tinggal dilupakan
dengan hidup yang terganggu
dengan segalah yang indah indah milik ku
sekaligus disentak buang
oleh rakus napsu mu.

Itukah teman BERSIH
yang engkau cari
buat diri mu
seorang ???