Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Selasa, 27 September 2011

DOAHARAP.

BERSALAM BERSELAWAT
BERSAMA ILLAHI DIDADA RASA 
BILA SEBENAR MENEMUI IA
BERLAIN DAN BERBEZA 
SUDAH MENJADI VERITI (kelainan)
UNTUK KITA MENGAYAM JALIN,
MENYUSUP SULAM,
MENGIRAI TENUN,
MENDANDAN JALIN,
MENYIRAT PINTAL,
MENYATU SEGALA SERI,
YANG INDAH MENARIK
NYAMAN MENAWAN MENGAMAN
DALAM PROSES SEPADU MENYATU
YANG SEBENAR SAHDU MEMADU KALBU.
AMIN YRA. 
INSHAALLAH.

Ahad, 18 September 2011

BENIH DAN BUAHNYA


Kalau benih yang ditanam itu 
datangnya dari buah amarah 
yang disuburkan bebaja cerca 
bersiramkan air caci bercela  
bagaimanalah agak rupanyanya 
hasil yang bakal dikutip tuai ??

Jumaat, 16 September 2011

NEGERI PARA AULIA.


Sementara aku tidak lagi mampu berpuisi.     Sementara aku tidak lagi mampu bermimpi.    Segala suara sudah mendesis gusi tanpa gigi.    Tak mungkin bisa mengguris kata memahat dihati.     Tak mungkin bisa menggarap bagasa membawa erti.    Maka layaklah aku mencari pusara untuk lena menyendiri.    Berpestalah kalian sementara anak anak pribumi menggigit jari.     Mungkinkah jadi demikian suara beta kalau sudah dihujung hari.
Mungkinkah demikian bicara rasa kalau sudah melampau mengulum sepi.      Namun janganlah engkau berkata apa apa pada siapa jua nanti.    Kalau esok dari tanah pusara sana berguling guling melenting lenting.    Batu batu pipis dan bulat melayang melompat lincah mencari sasaran.    Kerana itulah kelak tandanya aku dan sahabat sahabat sedang meronta.    tidak mahu selesa lena diulit mimpi dalam peraduan dipusara sana.
Maka wahai siapa siapa dimana mana.    Hanyutkanlah suara ini diarus sungai.    Semuga ada aur tempat ia akan tersangkut.    Barangkali ada tebing tempat ia akan tersadai.    Mudah mudahan ada tanah sempat ia tompang meresap.    Mengadun membakar mengeras memejal menjadi batu.     Memancang bumi menjadi tugu penanda jiwa purba.    Manalah tahu esok menjadi tapak untuk bangkit jua.    Meneruskan kembara mencari pintu syurga.      Buat memancang batu asas mendirikan semula.     Sebuah negeri sebuah negara bangsa beraja

Isnin, 12 September 2011

SEHARI BERHANYUT DI SUNGAI PERAK.

Sehari Berhanyut Di Sungai Perak.
http://3.bp.blogspot.com/_eA-KOthxkeI/SYgLkwMR7dI/AAAAAAAAAXU/XdGngw751Lw/s400/1.bmp
Sehari berhanyut di sungai perak
menuruti lenggok arus aliran riak airnya
melintasi Bukit Chandan yang tersergam di atasnya
sebuah istana indah, gagah dan berdaulat
terpacak pada lereng menebing sungainya
sebuah balai permai menggarap ceritera sendiri
dimana tidak lengkap pertabalan Baginda Sultan
sebelum ditabalkan semula menjadi raja juga
bagi masyarakat jin
selain bagi manusianya.

Sehari berhanyut di sungai perak
menuruti lenggok arus aliran riak airnya
membawa kenengan seribu pengertian
menyingkap rahsia seribu cerita
membuka sedar seribu makna.
Sungai ini pernah menyaksikan api 1875
marak menjulang ditebingnya
membakar hangus istana Dato Mahraja Lela
menggarap satu permulaan sejarah
menitipkan tanda mula surutan kuasa
Istana Istana Kedaulatan raja raja Melayu.

Air disungai ini pernah mengusung
darah J W W Birch
buat dihunus buang kelaut selat
Namun barangkali merahnya
masih meninggalkan kesan
pada pasir dan batu batu terbiar
dilupakan dilubuk dan pantainya
malah tanah liat yang sudah dikamir
dan dibakar menjadi pasu pasu hiasan
di Sayong pun barangkali masih menanggungi kesan
akibat laluan merah darah Birch itu.
(semuga Bush itu bukan ejaan baru bagi Birch)
Api 1875 rupanya dalam diam 
telah menanda aras
runtuhnya benteng bersejarah
keutuhan kedaulatan kerajaan kerajaan Melayu
di bumi bertuah tanah keramat semenanjung emas ini.
Maka satu satu Istana Istana Melayu mula dimasuki penjajah
yang tampil dalam bentuk halus dengan lunak lembutnya
memakai nama penasihat.
Datang ia membawa sengketa
antara kita sesame kita buat
mengiring adat sengketa diimpot
dari benua benua seberang lautan
yang rupanya membina amalan teradat
dalam resam budaya sehingga kehari ini.

Khamis, 8 September 2011

KEKOSONGAN


Sekian 
lamanya aku tidak berkarya.
Apakah aku sebenarnya sudah mati 
dengan minda tidak lagi meronta 
dengan rasa tidak lagi meneroka 
demikiankan insan berlena di pusara 
tersendiri menyendiri membawa diri 
sudah terhenti diri dari mencari cari
Tuhan itu dimana 
Tuhan itu bagaimana
sisinya itu dimana
bagaimana