Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Khamis, 17 September 2009

SAJAK MELAYU.

Oleh kerana soal Melayu itu banyak sangat dipertikaikan hamba terasa untuk membentangkan sebuah sajak karya Sastrawan Negara Dato Osman Awang yang telah membawa beliau memenangi anugerah "Asian Write Award". Sajak ini selalu dibacakan oleh beberapa sahabat hamba dalam himpunan yang sesuai. Hamba pun selalu juga membacanya apabila berhadapan dengan khalayak yang dirasakan perlu mendengarnya.
 .
Di Malaysia, Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu dan Bajau itu Melayu
Minangkabau memang Melayu, Aceh dan Siak adalah Melayu
Jakun dan Sakai lebih Melayu
Arab dan Turki pekat Melayu
Mamak dan Malbari jadi Melayu
Malah Mualaf bertaraf Melayu


Melayu itu maknanya bijaksana
Jika menipu pun bersopan
Kurang ajarnya tetap santun
Dajalnya cukup selamba
Budi bahasa jangan dikira
Beraninya cukup benar
Tunduk bila bersalah
Lembutnya cukup jantan
Setia sampai kekubur
Biar mati adat jangan mati sahabat


Anak Melayu itu:
Luka di Tanjung Puteri
Parutnya di Parit Raja
Muka biar berseri
Mulut biar berbahasa


Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dalam senyum
Marahnya dalam tertawa
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak


Watak Melayu menolak permusuhan
Jika Melayu Mengangkat persahabatan
Kasih sayang kekeluargaan
Ringan tulang saling bertolongan
Jujur memaafkan ikhlas memberikan


Berdamailah cara Melayu
Silatur rahim yang murni
Dimulut sama dihati
Maaf sentiasa bersahut
Tangan dihulur bersambut
Luka pun tidak lagi berparut


Melayu itu saudaraku yang dikasihi
Dalam kekeruhan carilah perdamaian
Sifat terpuji setiap insan
Bermaufakat supaya berkat
Bersaudara dunia akhirat
Berikhtiar dengan tabah
Kepada Allah kita berserah.

Karya: Osman Awang.

Tiada ulasan: