Belinang cengal pusara tua itu sudah lama menjadi reput
Nisannya sudah lama bergolek kebawah cerun lurah
ditolak disendel disendol kerbau laga sedang mengamok
ganas naik minyak marahkan anak anak berbaju merah
enak seronok merayakan lumayan makmornya negeri
Nisan usang di bawah lurah itu sudah lama hanyut dipunggah arus
kerana lurah tempat ia terbuang dihumban sudah menjadi sungai
dari jeram di hulu yang tidak lagi berdaya menakung air
setelah sekian lama membekam menjeruk pilu dan malu
terhina dihina anak mukim yang mabuk berebut kuasa
sambil tamu tamu terhormat yang mulia dimuliakan
enak enak merobah usul asal mula bermula ceritra
untuk cipta peluang mendapat untung lebih banyak
Pusara tua itu sudah lama lupa dikenang hilang tanda tak daya dikesan cari
kerana sekitarannya sudah menjadi semak tempat bersarang biawak
pencuri telur dalam sangkak bawah rumah
tempat beradu musang pemburu ayam yang sudah lama dipotong tajinya
tempat merayap melingkar jerat sawa bunga sawa lekir tunggu peluang telan mangsa
Pusara tua itu sudah lama lenyap
hilang dari ingatan dari kenangan
tanah berlereng tempat bertapak
bermegah ia sudah dipunggah
buat menyediakan tapak
untuk mendirikan sebuah gedung istana
tempat berpesta mencipta riang
bagi para pendekar licik
lincah bicara menuturkan helah
melukiskan gambaran menggiorkan selera sukar dinapikan
Tulang temulang di pusara tua yang sudah lama dilupakan itu
adalah aku yang kini sedang rimas diusung punggah
kesana kemari oleh anai anai sedang mencari peluang
membina busut busut sementara buat dipanggil
SEBUAH KEDIAMAN.
Dua tahun kerajaan Madani menguak ke depan
-
*SUSUPAN MALAM*
ALHAMDULILAH kerajaan Madani yang dibentuk atas semangat perpaduan dan
keinsafan politik semua kaum yang ditunggaki PH - BN bersama GRS ...
2 jam yang lalu
4 ulasan:
saya ambil ini untuk simpanan preribadi saya. tq
Ambillah.
Bawalah ia ke guan purba sana
Barangkali ia akan ditemui
dalam pencarian pertapaan
generasi kemudian
yang terkilan
setelah merasakan
betapa roda sejarah
berulang pulang.
zaman berganti zaman...
bertukar-tukar manusia...
berbeza-beza rupa kulitnya...
namun hampa semua lupa...
ini terjadi kerana dunia...
mencari dunia akhirnya ke tanah...
mengapa tidak dibaling ke langit...
jika diri tinggi mencecahnya...
batu nisan lebih tinggi...
apabila engkau dibaringkan dibawahnya...
kerana itu sembahlah Dia...
Dia sahaja perlu kau sembah...
hanya Dia Allah...
Bercakap mengenai menyembah Allah hamba selalu tercengkam rasa bimbang takut2 tak kesampaian. Ilmu betapa pun ditimba tak pernah sempurna rasanya.
Catat Ulasan