Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Sabtu, 12 September 2009

Penyair Dari Gunung.

Akulah penyair yang turun dari gunung
Beribu tahun aku duduk di situ
Beribu ribu ribu ribu tahun begitu
Duduk bertapa mencari diri ku
Kini ku turun ke pamah dan lata
Menjelajah pelusuk desa dan kota
Meninjau lurah dan pamah serata
Ziarah lihat anak cucu masih muda muda

Akulah penyair yang turun dari gunung
Beribu tahun aku duduk di situ
Beribu ribu ribu ribu tahun begitu
Duduk bertapa mencari diri ku
Hutan yang gelap belentara yang pekat
Lautan bergelora ribut memecut
Desa mengulit lena kota gamat menggawat
Habis ku harung bertekad ku redah nekad

Akulah penyair yang turun dari gunung
Beribu tahun aku duduk di situ
Beribu ribu ribu ribu tahun
Duduk bertapa mencari diri ku
Desa dan kota lurah dan lata
Sudah ku lalui ku redahi rata
Hutan belentara ribut bergelora
Sudah ku harung ku rasai semua

Akulah penyair yang turun dari gunung
Beribu tahun aku duduk di situ
Beribu ribu ribu ribu tahun
Duduk bertapa mencari diri ku
Kini ku turun ke pamah yang rata
Hutan belentara ku kenali serupa
Desa dan kota ku langkahi merata
Ribut gelora sudah ku hadapi semua
Lali diuji hajat jadi penyair matang usia
Menghimpun ubat penawar diniat hajat
Mengangkat diri jadi penyair matang bicara

Kini masih jua ada persoalan tidak menemu rupa
Masih jua ada makna entah bila akan ku jumpa
Masih ada pengertian dalam carian masih teraba jua
Kini ku temui jawapan pasti menjelas semua
Akan terhimpun jua segala kepastian
Bila diri jadi semadi di pusara fana.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ayoo ... tidak faham woo~

C L J berkata...

Memang seseorang itu tidak faham selagi kita nak fahami apa pun dengan cara fahaman orang lain. Kitalah melihat makna setiap sesuati itu dari perspektif kita sendiri. Itu hak kita. Kalau kita jadi berbeza, kita banding dan kaji dan kita pun belajar lagi. Itulah seni. Itulah kekayaan dan kehebatan minda manusia.

Arif Omar berkata...

mengapa tak dibukukan buatkan antologi sajak-sajak ni. saya bacanya berulangkali. semuanya bagus. cuba hantar ke percetakkan, rasanya mereka akan cetak. atau edar dan siarkan diakhbar. saya nak tulis juga sajak tapi tak berapa pandai. pantun dua kerat boleh le " kura-kura dalam perahu , pura-pura tak tahu"tu je le dari melaka.

Tanpa Nama berkata...

oo .. masih tak faham .. hahaha! :) sy akan cuba faham2 kan ..

Dhamah Syifflah berkata...

belayarlah aku mencari...
wajah-wajah menyelubungi diri...
celik mata hilang semua...
pergi meninggalkan aku lupa...

barulah aku menyedari...
aku manusia sentiasa lupa...
merentas gunung gunung duri...
sentiasa lupa akulah hamba...

barulah aku berani bersuara...
kaulah kalifahNya...
diturunkan dari gunung bercahaya...

C L J berkata...

TK kawan yang cuba memahami,faham dan tak faham. AO ada reaksi panjang dilaman batin itam.

MC nantilah kita cerita kemudian sikit. Sekarang beri peluang semua orang termasuk hamba sendiri meneruskan lagi kembara pencarian ini.

DS, mohon jangan lambong gitu tinggi sangat takut jadi macam:

Wau beremas bersayap sandang
tinggi tujuh gah besar tujuh lejang
ikat di gunung, gunung rebis
ikat di bukit, bikit runtuh
ikat di pokok, pokok tercabut

Maka kalau dah sampai gitu kena lah diikat pada rumput gelang sambai.

= Itu cerita hikayat mengenai Wau Bulan menyindir kepada pengurusan napsu.

Kalau dilambung tinggi sangat tak sempat pula hamba nak ikat tali wau itu pada rumput gelang sambai yang lebih banyak akar daripada daunnya itu.