Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Ahad, 20 September 2009

Dalam Sepi.

Dalam sepi sesunyi ini
Aku mudik ke hulu sungai
Sendirian mencari damai sendiri
Bersama lata yang nyaman
Berguru pada jeram di hujung alur
Di mana air belum pandai melimpah
Dimana burung unggas menyanyi puas
Di mana alam belum berhadapan ancaman

Dlam sepi sesunyi ini
Air di hujung alor adalah guru ku
Alir di hujubg alor:
Engkau adalah guru ku
Engkau mengajar aku:
           dengan lembut mu
           dengan sejuk mu
Namun gerak mu:
           alir mu
           selamanya pasti
Halatuju mu tidak pernah keliru
Demikian barangkali sebuah perjuangan
           yang terbit dari kepastian
           kerana tegap di atas hak.

Dalam cair, dalam sejuk, dalam lembut
Engkau tetep pasti pada arah mu
          berhimpun bercantum
          kuala demi kuala
          hingga ke sungai yang lebar
          mengalir terus kelaut dan lautan
Tiada sukatan terlebih terkurang
Tiada istilah berpatah balik
Tiada mengenal erti mengalah
Walau mengelah cari jalan lebih mudah
Demikian barangkali sebuah perjuangan
          yang terbit dari kepastian
          tegap terpacak di atas hak

Dalam cair, dalam sejuk, dalam lembut
Engkau tetap pasti pada olah kerja mu
Di mana ada lurah di situ laluan mu
Di mana ada rendah di situ tempat mu
           lembah dipenohi
           paya diresapi
           batas dilimpahi
Dengan lembut mu
           dengan sejuk mu
           dengan cair mu
Mudah engkau berhimpun menjadi satu
           meneroka segala liku
           tanpa ada ganggu goda
           tanpa mengata tanpa dikata 
           untuk menang dan pasti menang
Demikian rupanya sebuah perjuangan
           kalau mahu pasti menang
(menghindar ganggu goda berhimpun menjadi satu)

Lata di hujung alur ini adalah guru ku
Cairnya mengalir dalam kepastian teradat,
Lembutnya mengusap membelai mesra,
Sejuknya nyaman mengaman tenteram
Segala sampah di isih di sisih ke tepi
           yang enggan ditolak kehadapan
           disangkut jua diranting dahan
           terhimpun menjadi penyaring geladak
           sambil dijeruk reput dan larut jua ia
Tanah yang padu lekok dihakis guris
Gerigis kerikil licin bergolek digolek
Batu yang berat dihimpun disimpan dijeram
          namun bila tiba waktunya (banyak bersatu)
          diusung junjung digolek punggah jua
Betapa besar pun batu kalau menghalang laluan
          dilingkung dibelai
          tanah kelilingnya dipunggah
          tergolek bergolek jua sudahnya
Akar dan ranting membelat
         disisip diresap dijeruk
         patah dan reput jua ia
         namun sisanya masih berguna
         buat menimbus paya dan lembah
Begitu rupanya sebuah perjuangan
        yang pasti halatujunya
        menuju kepastian kemenangan

Kerana sejuk mu,
Kerana lembut mu,
Kerana cair mu
Berarus berolak berombak
Masih ada ikan dan udang
       aman tumpang berenang
Masih ada kera dan luntung
       selesa tumpang membuang dahaga
Masih ada kerbau seladang
       tumpang berendam
Rupanya masih juga engkau
       menjadi sumber kehidupan

Kerana engkau tiada napsu
      tiadalah takut akan kegagalan
      tiadalah bimbang akan kehilangan
      nak cemburu cemburulah
      nak halang halanglah
Engkau tetap jelas dengan kerja mu
Engkau tetap jelas dengan perjalanan mu
Pasti dengan halatuju mu
Jelas pada tingkat napsu mu
Hak pada niat dan matlamat mu
Tak mungkin engkau boleh berubah arah
Tak mungkin engkau boleh tergoda kalah
Rupanya perjalanan sebuah perjuangan
Yang sah niat dan matlamatnya
Tak mungkin boleh berubah arah
Tak mungkin boleh rebah kalah.

6 ulasan:

Arif Omar berkata...

sajak ini amat saya gemari. amat puitis. saya ambil untuk simpanan. tq. teruskan karya anda yang baik dan penuh makna.

Arif Omar berkata...

sajak ini amat saya gemari. amat puitis. saya ambil untuk simpanan. tq. teruskan karya anda yang baik dan penuh makna.

C L J berkata...

Sdr Arif: Terima atas penghargaan. Hamba menulis untuk orang ramai. Siapa yang rasa ada guna dan berguna silalah. gunalah.

C L J berkata...

Sdr Arif: Terima atas penghargaan. Hamba menulis untuk orang ramai. Siapa yang rasa ada guna dan berguna silalah. gunalah.

PUTERI berkata...

sajak yg indah dan penuh penelitian. Bagai perumpamaan utk pejuang kebenaran.

C L J berkata...

TK Puteri; Kerja hamba cuma tuliskan apa yang hamba rasa nak tulis. Pandangan, fahaman, nilaian adalah hak siapa sahaja yang membaca.