Belayar dimaya lepas aku menjadi keliru
tiada panduan sah tiada petunjuk arah
tiada parit longkang menggaris sempadan
segalanya bebas tanpa halang sakatan
malahan kawat berduri menggulung legar
masih senang dirempoh bugar
kerana erti sempadan sakatan
tiada dalam hati dan perasaan
Maka aku pun jadi sepi sendirian
tiada saudara tiada teman berkawan
Dalam keliru keliru begitu
terpandang aku disebuah taman berlaman
terpahat pada sebongkah batu berlumut
ayat purba meninggalkan pesan kata
"Melayu itu tidaklah ia pandai derhaka"
Bingkas mengurut dada membina harap
mengagau raba mencari teman mencari saudara
padahal semuanya sudah tiada dan aku sendirian cuma
menoleh keliling masih mengintai cari masih berharap jua
namun yang terjumpa adalah gumpalan api panas membakar
yang tumbuhnya dari benih kebencian dan kemarahan
disemai tugal berbajakan organan fitnah bersulam seranah
dan aku punya pilihan untuk bersunyian sendirian
atau ikut menyuburkan kebencian dan kemarahan
dengan fitnah, seranah dan sumpah cacian. 



