Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Ahad, 25 Julai 2010

Kehidupan di hujung hayat ini.

Alam dan kehidupan adalah lautan
luas terbentang menjadi cabaran
bagi insan sedang berenang berkolek
gigih ikhlas mengharunginya
dengan sekadar kadar yang ada.
Siapa pun tidak mungkin terlepas
dari melalui dan mengalami.
Neraca pengukur jatidiri
menyukat tahap kendiri sejati
mengesan kepekatan pegangan
pada kepercayaan dan kejituan iman.
Demikian jua hamba dalam lautan serupa
adalah yang kurang adalah tak terupaya
Namun hati tetap menegap atas ikhlas
dilurus laras lurah diliku berkelok
timbang imbang dilarik larat
kepastian iman tenang mengaman
Maka berpesanlah hamba pada teman teman
usah bersusah memikirkan bagaimana
hati dan perasaan bergolak digelora
kerana jikapun ada serupa dikata
ia cuma adalah lumrah kehidupan
namun ditapi ayak di badang saring
akan terisihlah segala sekam atahan
terungkailah segala kusut talian
terlerailah segala buku bekuan
Diri ini pun masih tetap bertahan
hidup berkelok disimpang liku laluan
masih bertumpu cuma untuk satu tujuan
membina memberi kebahagian senang aman
kepada insan terdesak terhimpit dan memerlukan
kerana akan diri ini cukuplah sudah
dengan segala limpah hidayah anugerah
tenang aman puas dan cukuplah sudah
seadanya sekadar kadar yang ada
Kurang dan tidak memadai kini
cuma masa dan kesempatan menyumbang
memberi membina membangun menjamin
apa yang ada pada umat sakalian
akan tetap selamat berterusan
dengan kadar bertambahan
lumayan berpadanan
untuk terus menjadi nikmat
anak cucu generasi akan datang
menjamin membela mempertahankan
selamat berkembang tanpa sebarang gangguan
sebarang musuh dan segala rupa petualang
luaran mahupun dalaman
INSHAALLAH.

Sabtu, 24 Julai 2010

Semulajadi wajah seorang seniman dalam pembikinan

Nyatanya ketulusan hati itu
jelasnya pertimbangan rasa
betapa terangnya ukur saring
tentunya lahir dari ikhlas yang jelas
pastilah terbit dari saksamanya budi
hebatnya penghayatan sinar ilmu
perakuan diri jadi jitu begitu
pencariannya tentu bertitik digaris pasti
walau sukar dicari pengukur bersukat
walau payah diungkap bahasa berbudi
namun demikianlah nilaian diri
kemulian yang sukar dicari
demikianlah kagumnya hati ini
Namun tetap jua ingin digagahi
menyemai kata nasihat suci
bahawa tanpa desak paksa menyedari
paras letak pada hak karya diri sendiri
pada ukur sukat hati budi murni suci
perlu jua dilihat sebagai olak penghalang
hakikat potret sebuah perjuangan seorang insan
yang mencari pastinya dalam proses menghasilkan
sebuah arca sebagai tugu sebuah kemenangan
tak mungkin lagi sesiapa mampu persoalkan
maka kagumnya aku dapat menumpang
merasakan hebatnya keyakinan seorang pejuang
serlah sudah wajah seorang seniman
pada usia masih lagi pada tahap permulaan.
Engkaulah wajah asli seorang seniman dalam pembikinan

Selasa, 20 Julai 2010

Ku Nampak Setia Kasih Jua Pada Gelembong Buih Itu.

Buih buih digeledak ombak
mengembong mengilau warna pelangi
bersinar tanpa ketentuan satu warna
pandanglah pada cahaya pilihan hati
seperti Maimun yang patuh menanti
dalam setia menyimpan perawannya
hanya untuk Rosli Dobinya
sampai ke ujung usia.
Demikian rupanya makna
terpahat rapat dalam kata kata
sebuah kasih berbebat setia.
Maka demikianlah ku berikan makna
pada setia kasih akan pertiwi ini
betapa pun rapuh ia dibuih ombak
dilambungan ganas gelombang
tetap juga ku jaga ia
seperti Maimun
menjaga daranya

Khamis, 8 Julai 2010

Kitarkan segala gundah menjadi riang

Teman yang sedang terbakar dihangat rasa 
bagaimana kalau lahar dari ledakan merapi 
mematang masak hati membuakkan santan 
meresapkan lemak melazatkan kecap rasa 
mengharumkan bau ramuan rerempahan
menjadi hidangan resipi istimewa 
tidakkah akan berubah pandangan rasa 
menerbitkan poterit baru yang menawan 
nilai sebuah kehidupan seperti diimpikan
indah dicari tidak akan bergolek datang 
namun akan datang juga ia 
jika diolah cipta digubah hias
gundah yang usang tentulah bisa dikitar semula 
menjadi manik hiasan bunga bunga dijambangan ria 
kiaskan lambangnya menjadi lawak menghias gelak tawaan
semuga keriangan jua menyudahi hujungan pengalaman
dan dipeti peti simpanan gundah gemercing sorak kepuasan
kitar gunakanlah segala gundah mencengkam menjadi riang
kitarkan segala gundah menjadi riang.

Sabtu, 3 Julai 2010

WAJAHNYA dan KANVAS KINI.


Selalulah aku melihat wajahnya mengimbas di angin lalu 
berbalam dalam kabus kata mengolah daya budi berbahasa 
wajah tanpa potret berfoto tidak pernah terlukis warna dikanvas 
namun dengus nafasnya mendesis genderang telinga mengalun rasa hati 
sepi resahnyanya mengundang renangan gelora pusaran ombak tak berolak 
berus memang sudah ditangan namun akrilik pewarna masih perlu diadun bancuh 
sementara kanvas masih kering tetap perlukan emulsi dan seimbang direntang regang 
dihujung terowong sana barulah akan bertanya getaran rasa mahu sebenarnya bagaimana
maka lukislah semahu mahunya akan senyum yang dicari serta jeling yang diharapkan 
kalau sudah sampai masa ketika potret itu akan dilukis membentuk gambaran 
lukislah semahu hati pilihan rasa selamanya dipendam simpan 
kelak bagaimana hasilnya kenalah rela dan redha terima 
janganlah dirintih tangis mengulum kesal yang walang 
kerana jadi yang terjadi bukan percuma mendatang 
menggolek atau melayang semuanya terancang 
antara sedar yang awas dengan mimpi yang alpa 
sebenarnya pilihan insan mengolah akalnya bagaimana 
dihujung sebarang kembara tiada siapa akan menanggong beban 
melainkan dirilah yang sesungguhnya memang merancang menerima tanggongan.

Jumaat, 2 Julai 2010

Mengolah tari dilaman budi.

Laman redup dibayangan pokok
memanglah tempat aku mengatur tapak
membina kekuda mengalun tari
mengatur pola berbunga
menitih kata memupuk budi
disemaian bahasa
mencari murni diri
dalam keindahan
manisan rasa

Tidaklah pandai aku mengolah pencak
mengipas angin melambai ribut
menggoyang reranting pokok
mengoyak cabang dahan
Namun kalau condong batang pepohon
menggegar akar menggoyang tunjang
kaburlah aku dari mengerti
temali kesah turutan hikayat
Kalau tumbangnya menimpa laman
didesir angin ngauman ribut
barangkali sempat bertabah aku 
menyambut sanggah menahan sagang
Kalau tumbangnya tanpa angin berselang ribut
terpakulah aku diashik mengalun tari
mengolah kata mencari budi.