Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Rabu, 25 Ogos 2010

Selembar Surat Terbuka.

Surat terbuka selalunya digunakan orang
untuk menyampaikan rasa hati
dari bawah kepada pihak pihak atasan
yang tidak terjangkaukan capaian kata tulisnya.
Tetapi kali ini hamba tergerak
untuk menulis selembar surat terbuka
kepada anak anak yang ramai
tersebar merata bumi tanah air tercinta
kerana harapan yang terlalu amat besarnya
terhadap kejayaan mereka menghirup nikmat harimuka.
Semuga mereka mampu selesa membina mempersiapkan hati
untuk kemudian menunggu giliran menyambut tanggung jawab
memimpin negara di atas landasan lohornya kebenaran suci
dan hak kemanusiaan mengikut sukatan acuan murni sendiri.

Maka demikian suratnya ku tuliskan:
Hai anak anak;
setelah berhari hari
bermalam malaman
minggu berganti bulan
53 tahun menjadi hitungan
Kita harungi pengalaman bersama
melambung gelombang rasa
menterjemahkan maknanya
mengikut bijak fahaman sendiri
kita temui saring dan kutip berbagai pengertian
terhimpun teradun susun mematangi pengalaman
untuk bekalan meneruskan kembara yang panjang
menempoh kehidupan sebenar sebagai satu perjuangan
Sesungguhnya dalam tempoh tempoh singkat kita bersama
mengalami berbagai cetusan dan pergolakan perasaan
kita telah sama sama menemui berbagai persamaan dan perbezaan
yang menuntut kita lebih mahir mengasah timbang rasa dalam bijaksana
mencari dan membina faktur pengimbang sehingga kita semua terhimpun
menjadi satu pasukan sekata sefahaman tak mungkin diretakkan
kerana sesungguhnya kita tidak ada pilihan
melainkan bermula dari seadanya dari apa yang ada
menerusbina kehidupan dalam sebuah kelangsungan
namun untuk berterusan ada ia sedamai adanya kini
miliklah bersama dan janganlah cuba jadikan ia milik sendirian
pesaka ini diwariskan melalui wasiat keramat
tertanggam bina dari jujur ikhlas maufakat sekata
untuk dikongsikan bersama mengikut saksamanya
agih bahagilah seadilnya mengikut keperluan nyata.

3 ulasan:

Gerakan Timur berkata...

Best!!! terkesima GT kerna tidak mampu menukilkan bahasa sebegitu tertibnya...!!!

SEKALUNG BICARA berkata...

salam ,

Bahagianya punya keluarga dan anak2 yang memahami dan mengerti akan kita sebagai ibu bapa. Mentaati dan menghargai kita sebagai kedua orang tua mereka.

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o berkata...

salam ramadan selamat merdeka