* Menguasai Perpustakaan Kata Yang Cukup Kaya.
Kekuatan menguasai bahasa masih tidak cukup untuk membina seorang penyajak menjadi penulis yang anjal dan lepas bebas dalam kerja penyampaiannya melalui tulisan berbentuk puisi bernama sajak. Ini adalah kerana sajak itu walau betapa bebas pun, ia adalah masih tetap satu bentuk puisi.
Ia tetap terbentang dalam bentuk berbait bait. Baris baris dalam bait bait itu kena agak agak seragam alun bahasa bunyi dan panjang pendeknya. Kalau boleh diujudkan rima rima; apa lagi kalau faktur rima itu tersusun dalam kelok gelombang untuk sesuai diberi tekanan tersendiri waktu dibaca.
Untuk itu semua seorang penulis sajak kenalah mempunyai perbendaharaan kata yang cukup kaya. Ia perlu berupaya memilih perkataan paling sesuai bukan sahaja untuk menyampaikan messagenya dengan tepat dan mendalam. Ia juga kena beri perhatian kepada bentuk rima dan lenggok iramanya sekali.
Syarat tergaris disini nampak terlalu menakutkan ? Tidak.
Ada cara yang tidak memerlukan tumpuan masa yang membebankan untuk melatih diri dan minda menakluk penguasaan itu. Anda cuma memerlukan perhatian bertubi pada setiap masa dan keadaan. Cubalah berriadah dengan cara yang mudah ini. Apabila membaca, mendengar dan bercakap cuba beri perhatian kepada setiap patah perkataan yang terdapat dalam ayat ayatnya.
Pilih perkataan perkataan tertentu dan cuba dalami maksudnya. Cuba sarankan perkataan perkataan lain yang mungkin lebih sesuai atau sama sesuai atau layak menggantikan perkataan itu atau menokok kepada perkataan sedia ada itu bagi menambahkan kekuatan maksudnya. Tekanan itu juga adalah satu bentuk kekuatan yang cukup menarik. Amalkan selalu sehingga ia menjadi tabiat.
Bila kita sudah mencapai tahap perubahan hasil dari tubi latih begini kita akan merasainya. Bila kita menulis atau bercakap kita akan terpengaruh dengan amalan itu. Kalau kita sudah sampai ketahap itu kita akan mula merasakan keseronokannya. Seronok menggunakan ungkapan yang padat padu dan mampat.
Selalu selalulah menulis, walau pun cuma dibuang sahaja selepas itu. Cuma selepas menulis itu berilah pengamatan mendalam. Cubalah perbaiki dan tambahkan kekuatannya. Tambahkan nilainya. Kadang kadang sambil melaksanakan proses mengukuhkan nilai itu kita akan ketemu akalan baharu lagi.
Kadang kadang akalan baharu itu adalah satu penerokaan yang tidak pernah terfikirkan. Maknanya minda kita sedang berlatih mengkayakan kriativitinya.
Jangan takut menggunakan perkataan tersendiri atau perkataan daerah yang digunakan dalam daerah budaya yang terpisah daripada kebiasaan amalan Bahasa Malaysia yang resmi. Kalau anda buat begitu anda telah memainkan peranan untuk menambahkan perbendaharaan kata kepada Bahasa Malaysia. Gunakanlah selalu sehingga orang lain juga ikut menggunakannya dan akhirnya ia akan dikutip untuk dimasukkan dalam kamus dewan.
Penulis sendiri pun biasa juga berbuat begitu. Berilah kesempatan kepada bahasa daerah untuk menyumbang kepada proses mengkayakan Bahasa Malaysia. Sekurangnya anda memainkan peranan mengurangkan tekanan untuk meminjam istilah dari bahasa lain untuk melengkapkan keupayaan penyampaian Bahasa Malaysia.
Malangnya satu finomina belum berlaku di Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum ini. Alangkah mudahnya Bahasa Malaysia itu menjadi bertambah kaya kalau istilah istilah dari bahasa bahasa sukuan itu diambil untuk menambahkan perbendaharaan kata kita. Tetapi hendaklah ia berlaku melalui amalan penulisan biasa supaya prosesnya menjadi lunak dan azali. Bukan satu proses yang dipaksakan. Takut dirasai sebagai janggal dan memunah. Biarkan proses yang asli itu berlaku dengan sendirinya dalam amalan penulisan biasa yang sungguh sungguh (serius).
Akan disambung lagi dalam (siri 4)
2 ulasan:
A,kum CLJ..CCZ adalah seorang bekas pelajar sastera. Amat meminati sastera dan penulisan puisi. Mutu penulisan CCZ hanya ditahap yang CCZ pernah belajar iaitu di Tingkatan Lima. Rasanya CCZ perlu lebih banyak belajar dalam bidang ini untuk seiring dengan CLJ. Mohon sebarang teguran dan tunjuk ajar untuk setiap karya hamba..Terima kasih..
Benar CCJ Hamba belajar sastera hanya setakat Tingkatan V. Cuma hamba suka membaca dan sentiasa menulis.
Tetapi hamba tidak pernah mengirim tulisan kemana2 walau pun beberapa tulisan hamba pernah terbit dalam beberapa majalah khususnya Dewan Budaya. Itu kerana kawan kawan mengutip tulisan tulisan itu dari pejabat hamba.
Dari segi sajak; ia adalah minat khusus diri hamba. Pun hamba tidak belajar secara khusus. Hamba belajar melalui percampuran dan berani menonjol diri untuk membacanya. Membaca sajak adalah minat istimewa hamba.
Panduan yang hamba tulis di sini adalah mengikut pandangan sendiri dan fahaman sendiri sahaja. Tiada kutipan dari mana mana pun hamba buat sebagai panduan.
Jadi dalam siri terakhir kelak hamba akan ingatkan pembaca supaya semak dengan guru guru / pensyarah sastera.
Inshallah.
Catat Ulasan