Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Khamis, 10 Jun 2010

KEBENARAN.

Mencari kebenaran dalam hati pemburu mewah
samalah mencari sebutir pasir dari dalam sebungkah batu pejal.
Mencari kebenaran dalam kehidupan insan akhir zaman
samalah mencari sebutir mutiara diparoh seekor haruan.
Parahnya tidak terhetongkan
namun tetap haram bagi khalifah menyerah dan mengalah;
wajib jua bagi setiap yang bergelar khalifah meneruskan
perjuangan tanpa henti tanpa hujungnya jua.

Sedangkan setiap yang terdetik dalam hati
walau tidak disedari badan yang punya diri 
tetap jua ia dirakam dalam pita akaun 
yang pasti akan menayang semula
 apabila masanya kelak akan tiba.

6 ulasan:

kedai buku perintis berkata...

salam clj
kebenaran akan datang jua.itu yg benarnya.

C L J berkata...

Nyata benar akan datang jua ia
namun yang pastinya kena diusahakan
dan usaha itu bukan semudah kata kata
namun kecewa dan berundur adalah terlarang.

kedai buku perintis berkata...

salam jumaat.
sdr seorang penyair yang bersembunyi dalam diri sdr sendiri.setiap ungkapan memberi makna yg dalam,penuh dgn pergertian.saya terpegun dengan sajak2 sdr yang memberi kesan dan boleh memberi idea untuk saya.terima kasih.salah seorang anak saya mengikuti BTNminggu lepas dan dia menceritakan perihal sdr....

C L J berkata...

Diri ini bukan bersembunyi
cuma terikat ia pada nilai
menunjuk nunjuk itu bukan sopan Melayu.
Memanglah berbangga itu kendiri yang menjati;
namun apabila terlajak menjadi lebih
istilahnya sudah bertukar menjadi angkuh
buruklah sudah jadi nilainya
Demikianlah sifat peribadi diri ini.

Menulis puisi adalah kehidupan hamba. Berbicara harian pun kadang menjadi puisi. Cuma hamba tidak pernah mengirim ia kemana mana. Kalau ada beberapa buah yang tersiar itu adalah kerana ia dikutip oleh kawan kawan.

Demikian juga dengan penulisan rencana. 70an sehingga 81 beberapa tulisan yang agak keras ada tersiar terutamanya dalam Dewan Budaya. Itu pun kerana ia dikutip oleh kawan kawan.

Selepas itu hamba sibuk berniaga. Hilanglah masa untuk menumpu kepada usaha memecah fikiran. Baru kini apabila kembali kepada kerja membina minda anak cucu bakal pewaris bumi ini, naluri beremosi diri hamba kembali membelai rasa.

Tahniah kepada puan kerana mempunyai anak yang baik,beradab dan bijak. Pohon sama sama memimpin dia semuga kembalinya kelak ia menjadi pemimpin untuk kebaikan masyarakatnya.

Hamba ini sudah hampir dengan penghujung usia. Namun tetap berharap untuk bertahan dengan harapan akan dapat melihat gerakan generasi pelapis kini menghadapi zaman ultra maju yang penoh cabaran kelak. Wallahuaklam.

Tanpa Nama berkata...

SLM TUAN..CUKUP PUITIS..CUKUP RENCAH...CUKUP MENDALAM >:D

C L J berkata...

TK Jeff atas penghargaan yang merangsang itu.