Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Jumaat, 28 Ogos 2009

Saudara

Kalau benar kita pernah bersama
dalam satu balang rasa yang serupa
di atas hirup hembus nafas yang senada seirama
tak mungkin akan tersakat belat melingkung pisah antara kita

Namun takdir tersurat tak mungkin dapat ditolak
tatkala kita berkampong didesa balang berlainan
lengkongan kaca memburai tampak membezakan pandangan
maka berbeza dan tak serupalah telus tampak antara kita

Udara yang kita sedut
kalau pun larutnya seakan rupa
tetap ditapis saring oleh peparu
yang pastinya bukanlah sama
kerana kita bukanlah kembar siam
yang lekat tercantum pada dada

Maka terimalah segala beza yang akan ada
terimalah dengan redha dan rela

Semuga tiada sengketa
yang mampu menjadi benteng
pemisah jarak antara kita

Demikian barangkali hakikat
yang harus kita bebat ikat
pada teras dada rasa
pada umbi pokok hati
bersauh didasar lubuk budi
dalam mendirikan
menara iman yang kamil
pada urusan salam
antara saudara
dalam sahabat perjuangan

Semuga sumpah terlafaz niat terucap
tetap bertali sampai kehujung hahihat.

Tiada ulasan: