Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Khamis, 27 Ogos 2009

Sajak sajak Sejarah Melayu.

Apabila Sastrawan Negara Dato' Prof. Dr. Mohammed Hj. Salleh membaca buku Sejarah Melayu; ceriera demi ceritera beliau merasai kesan yang mendalam sehingga membuatkan beliau terus menghasilkan sajak sajak tersendiri bagi setiap menggambarkan kesan dirasai setelah membaca ceritera berkenaan. Tersentuh setelah membaca

ceritera yang ketiga puluh empat

"Maka Melaka pun alahlah,
dinaiki oleh feringgi dari ujung balai,
tiba-tiba lalu ke dalam."
.................................................................................................................beliau terus menulis



telah lama alah melaka ini
feringgi hanya pemecah terakhir
pada negeri yang diretakkan
oleh biaperi dan orang besar-besarnya.
bukit istana diusung ke parit oleh zalimnya
yang tak tertebus pada tujuh keturunan.

musuh kita ialah kita sendiri.
undang-undang dilenturkan untuk pilihan raja,
itulah peraturannya.
tanpa musuh luar, di laut atau parit
kita telah pun alah
oleh bahagian diri yang kita biarkan busuk.

negeri telah dirubahkan
untuk senang sebentar,
si rakus riang menjual tanah
kepada musuh yang menyediakan emas
dan akhirnya kita serahkan sejarah
kepada saudagar dan feringgi biadab.

di muka rakyat
di pusar semangatnya
di dasar kebanggaan bangsanya
tertanggung malu dan kekecilan.
rajanya telah lari
dimanakah tuju rakyatnya?

pelabuhan tiada berkapal
pasar sepi
istana runtuh
kampung surut ke selatan
padi tidak berambil di sawah
dusun dinaiki selaput tunggul.

di akhir sejarah ini
tidak mungkin kita menang melawan diri sendiri
kosong selat melayu
sarap zaman menunggu surutnya
tanah di air mengeruh sungai.
pergaduhan, mimpi dan kebanggaan dibawa banjir waktu.
................................................................................Muhammed Hj. Salleh.
Antologi: Sajak sajak Sejarah Melayu.

Tiada ulasan: