Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Khamis, 30 Jun 2011

SESUDAH BEBERAPA KALI MATI.


Celik dari lena ditengah malam 
tetiba terhitung pengalaman pengalaman pilu 
ketika aku tiba tiba merasakan mati itu 
begitu hampir dan sudah bahagian untukku
malah sudah tiba masanya aku dijemput pergi 
aku pun memang sudah bersedia rela dan pasrah

telah ku hitung satu satu pengalaman berlalu
sudah beberapa kali berulang ulang rupanya 
namun masa sesungguhnya belum juga tiba 
dan aku masih juga berada di sini 
masih lagi kena meneruskan 
kehidupan dan perjuangan 
masih lagi perlu menghadapi ujian 

betapa rindunya aku pada manis saat itu 
namun ujian masih jua perlu aku bergagah hadapi 
namun khidmat bakti tetap kena terus ku tabur lagi 
belum lunas rupanya kerja kerja teramanah disini.


Sabtu, 18 Jun 2011

ESOK SEMALAM


Dijauh biru laut itu;
masih jua ada aku;
bersampan berkolek;
meredah meratah gelora;
bertasbihkan hari hari lalu;
sambil masih asyik berwirid;
dikilau bayangan hari muka;
yang masih tiada jaminan pasti;
antara syurga dengan neraka.

Sabtu, 11 Jun 2011

SEGALA .


Dalam kebesarannya 
Aku menjadi tiada
Dalam tiada jua
Ku temui segala
Dan segala itu 
Sesungguhnya
Adalah 
ESA