Air jernih yang meresap keluar
dari kelopak mata seorang wira
sesungguhnya sudah tersaring ia
pada penapis mulia rasa hati
bertatangkan timbangan budi
air tulus jerneh itu kekunci sumpah janji
yang menyusur iring bersama titik titisnya
dan apabila sudah mencecah debu tanah
titik titik air jernih dari mata itu
sudah bertanda memadailah dosa
terhadap perit rasa penanggongnya
apabila menitik air mata seorang pendahagi pencak
berderinglah bunyi kersani melenting mencari pendurjana
apabila mengalir air mata seorang penyair diungkap puisinya
bergegarlah pentas tempat bersimpuh khalayak sasteranya
kerana bersama menanggung perit derita pilu dan lara rasa
apabila meresap air mata seorang sasterawan terpuja
atas khianat terjemah alih makna terhadap karyanya
banjir air jernih dari mata mata penghayat bersama
makna sempurna arif kaji bilang bistari urut bahasa
berhimpun dada dada rasa serumpun budi seungkap kata
berderap dalam baris membahu memburu dimana mana
tidaklah akan terlepas siapa jua pembawa onar durjana
sehingga tidurnya akan tersentak dikejut jaga
sehingga mandinya akan bercucur air bercuka
sehingga makannya berdetak mengigit pasir kaca
Tiada ulasan:
Catat Ulasan