Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Rabu, 24 Mac 2010

Tiada Halangan.

(mengembangkan slogan dimulakan oleh DS Idris Jusoh:
Tiada halangan melainkan peluang)

Tiada lagi sebarang halangan 
melainkan tembok itu
Tembok yang kita bina sendiri
Tembok yang kita rela izinkan
mengurung mengongkong minda kita
Runtuhkan tembok itu
kerana di belakangnya
ada deretan peluang
Pilihlah yang mana sahaja
mengukut selera pilihan hati
Pilihlah yang mana sahaja
mengukut ukuran layak diri
Pilihan ikhlas dari hati suci
adalah sebenarnya hak bagi diri
Maka pikul galaslah akan dia 
dengan tanggung jawab abadi
Tanggonglah ia penoh ikhlas hati
kerana hak itu sebenarnya tiada
melainkan tanggong jawabnya 
sejati suci.

Selasa, 2 Mac 2010

Pesan Ayah Pesaka Bonda.

Pesan Ayah Pesaka Bonda.

Assalamualaikum
Hey anak-anak Melayu
Ingat-ingat akan asal usul mu
Baka yang baik keturunan yang mulia
Ingatlah akan janji yang asal sumpah yang mula
Lahir ke sini sebagai khalifah
Hadhir di sini dengan tugas yang tegas
Jangan dok lalai jangan dok alpa
Siapa nak buat melainkan kita

Hey anak-anak Melayu
Baka yang baik keturunan yang mulia
Khalifah Allah di muka bumi
Kuasa politik di tangan kita
Kuasa ekonomi hak kita nak cari jaga
Kuasa sebar kata di tangan orang
Jangan dok hanyut lalai alpa
Jangan digadai sebuah Negara
Jangan terlepas pegangan kuasa
Hak kita
Hak yang asal
Hak yang mula
Tinggalan ayah pesaka bonda
Siapa nak jaga kalau bukan kita

Hey anak-anak Melayu
Baka ayah zuriat bonda
Jangan dok lena di selimut gebar
Jangan dok hanyut diulit khabar
Bangkitlah bangun mengatur tapak
Buka langkah mengatur tari memecah pencak
Gelanggang alaf bukan kepalang
Gelanggang alaf gelanggang sejagat

Hey anak-anak Melayu
Baka ayah zuriat bonda
Sumpah janji jangan percuma dok ucap
Ikrar bertabik jangan saja saja dok angkat
Ingat ingat amanah ninda moyang purba
Terikat bebat di ubun junjung
Semat kejat di otak ingat
Pengiring berkat menebat nekad
Sundang keramat tinggalan ayah tegap bersakai
Keris picit pesaka bonda gah mengiring

Anak Melayu baka yang wira
Sumpah dan janji jangan main mengacu cuba
Ikrar bertabik jangan percuma dok angkat tayang
Petapa purba jangan dok gerak bangkit jaga
Takut percuma diri perkasa jiwa wira tidak berlangir
Takut terlangkah hajat ibu wasiat ninda patangan moyang
Takut lupa pesan ayah bijak berpandai di gelanggang
Takut lupa pesaka bonda mengulit bahasa berbudi di laman

Anak Melayu baka yang mulia
Hajat yang satu janji yang asal
Rukun yang lima menjadi pegangan
Rukun yang enak senang mengaman
Dua puluh sifat tegap menjulang
Asal janji tetap dikota
Asal sumpah tetap di jaga
Asal kuasa masih milik kita
Asal daulat masih memegah takhta

Maka wahai Melayu anak baka
Dari keturunan baik mulia
Jangan dok tanya salah siapa
Jangan dok tanya silap siapa
Rumah yang ada jangan dibugar
Istana yang ada jangan dibakar
Takhta yang ada jangan diroboh
Takut merana anak cucu kita
Takut kita yang menanggong dosa

Maka wahai Melayu anak baka
Dari keturunan yang baik mulia
Marilah kita mendabik dada
Bertanya pada selera
Tanyalah kita pada hakikat diri
Aku yang ada bagaimana asalnya
Hadhir di sini bagaimana usulnya
Hak yang ada dari mana puncanya
Ilmu yang ada siapa yang punya
Akhir kita nak jatuh kemana.

Betapalah padahnya nanti

maafkan aku teman
aku tidak lagi pandai mencipta
mentera perayu melembuti rasa 
mengalun adunkan hati hati suci
seperti engkau harapankan 
kerana aku sendiri 
sudah hulang Melayu ku
semenjak tikar hamparan 
diruang tamu rumah ku
berganti permaidani
air sarbat minuman ku
berganti root beer berais
semenjak capal alas kaki ku
berganti kasut berjenama bailly
maka dimanalah akar umbi sendiri
tiang seri tempat gantungan cahaya
kehilangan peranan berdiri percuma
apalah lagi pilihan yang masih ada
selain membuta meredah belantara
runtuhnya kota purba di Melaka
cuba digantikan Petera Jaya
ikut menjadi momok senda
oleh rakusnya kita berebut kuasa
kemanalah tuju anak anak selepas ku
sedangkan guru sendiri pun ikut keliru
angkara rencana sudah jelas nyata dibina
kaum diperakukan berulangan disebut nyata
didalam Al Quraan yang rupanya cuma dibaca
makna yang tersirat lumat didebat takwilnya jua
ikhlaskah kita semua mencari makna bersama
atau masih juga kita kemabukan dalam leka
kerana masih lagi berharap untuk ketakhta
walau pun perpecahan sudah dipuncak bahaya
menunggu ketika untuk kita merasa padahnya betapa

Isnin, 15 Februari 2010

SEORANG PUJANGGA

Seorang pujangga
adalah seorang pejuang matang dewasa
garing salaian bicaranya bukan memerit rasa
ranggup ratah menteranya bukan hanyut kemuara
garing olah katanya bukan lukisan jiwa yang terseksa
sering pintalan lidah penanya bukan menebat dendam
lumat kisaran madahnya bukan mengintai sumbang

Matang neraca seorang pujangga dewasa
adalah timbangan sebuah lapangan kehidupan
menghitung putaran pedati arus kemanusiaan
menyukat lakaran rasa beban tanggungan
menyaring aliran jiwa diarus pengalaman
mengolah kitaran wadah dicorak saingan
menata sukatan pilu diroda pengalaman
memeta lakaran wajah jarak kehadapan
mengimbangi andaian riang bakal mendatang

Tanggungan seorang pujangga
adalah pembinaan sebuah budaya
membina kesucian sebuah perjuangan
membangun kemuliaan sebuah kehidupan
mengkat martabat hebat sebuah tamaddun
semuga terpahat kejat menjangkau kurun
menghasil jariah terusan menimbun
mengangkat

Rabu, 3 Februari 2010

Titisan Air Mata Seorang Ibu.


Bangkit
aku dari lena
yang nyaman
digegarkan
kilau cahaya 
pantulan dari titis titis air
kusangkakan hujan
tetapi rupanya pantulan cahaya itu
datangnya dari titis titis air mata
seorang ibu sedang menggarapkan
rasa hatinya sambil seorang anak
sedang nyenyak direhatan tidor
kerana ia masih belum mengerti
tentang perit rasa sebenar
perjuangan lohor ibunya
menanggung kehidupan
menyusuri masa depan
masih menjarak panjang
memang anak diusia demikian
tahunya cumalah akan mahunya

Tiba tiba prihatin hati kecil ku
dicuit pendita entah dari mana
membawa aku menoleh pandangan
kepada esok yang kelam berbalam 
dengan berbagai warna dan rupa
dalam lenggok tari gelek pencak
mengelak dari terjah serangan
beribu lembing panah dan tombak
laju mencari sasaran dianika dimensi

Tidak sanggup aku memikirkan
betapa anak sekecil itu berterusan
meningkat dewasa membina keyakinan
dicerunan lereng yang pastinya tidak pasti 
dengan kepelbagaian dasar longgar menganjal
mengikut haluan berubah ubah aliran kabus dan angin
yang sentiasa licik lolos membolos dengan tikaman berbisa
sambil diam diam menerjah mengenai kesasaran merata

Membara dan terbakar haba wira dalam hati ku
mengembali ingatan kepada zaman aku sendiri
memang licik dalam pencak yang liat dahagi
meredah keganasan gelora riak riak berolak
tercetus semacam perasaan yang membuai rasa 
terhayun labuh hingga melepasi pasir dipantai damai
melangkau sempadan bergariskan sungai bertebing bebatu pejal
sehingga menerpa rangsangan keinginan bersemangat untuk berlarian datang
menghulurkan galah menyampaikan dayung memakaikan jaket apungan
memimpin pandu kembara panjang berhitung strategi rapi
dengan pantauan dan semakan cermat mengurut belai
tojah galah kuek dayungan budi rasa berterusan
sehingga rakit kolek menongkah riak arus itu
berjaya mendarat dengan bangga dan yakin
sebagai wira bangsa di tanjung pasir
tebing landai yang lumayan subur

Namun aku adalah aku
dengan kekangan sendiri
yang perlu dikelek pikul
gelek tolak tampa helah
sampai kelereng pamah
tempat meragut segala ternakan
tempat berdusun kebun ladangan
tempat memetak sawah bendang
meriang aman seluruh warga desa
kerana demikianlah
perjuangan temurun
dalam aliran darah
nenek moyang
yang perlu
menerusnurun
sampai ke zuriat terakhir.

Isnin, 1 Februari 2010

AKU.

1
aku
adalah
pengembara
berkolek dilautan
bersayapkan dijemari 
terbang meredah kabus awan
bukit dan gunung ku daki segala
lurah dan sungai enak ku harungi ia 
cabaran hutan ceram kuredah semua
padang dan lapang ku ziarah rata
desa dan pekan kudatangi jua
bandar dan kota ku tinjau sama

maka fahamlah aku betapa kayanya
alam dan maya anugerah beramanah untuk dijaga
kerana kita umat manusia telah menerima tugas berat untuk
berusaha makmurkan alam agar nikmatnya berterusan kegenerasi muka

dalam kembara merata rata ku temui anika nika rupa; buat dipelajari difahami
menyedarkan aku betapa manusialah kejadian paling rumit lagi mulia dihebatkan bijaksana
namun kehebatan anugeral istimewa itulah jugalah rupanya menjadi faktur perusak dan pemusnah

pun begitu tetap juga ingatan ku pada pesan ninda tentang hak Allah mengenai syurga neraka
perorangan tanggungannya, serta adalah anugerah mutlak untuk manusia yang ikhlas demi ibadahnya
maka jadi tidak pedulilah aku tentang neraca orang lain kerana pertama tama neraca sendirilah perlu dijaga
demikianlah pembinaan diriku mengharungi kehidupan berterusan melilit dunia luas terbentang terbang dimaya meneliti
kehidupan sebenar manusia dalam kembara mencari peranan sendiriku temui berbagai rupa corak warna cahaya berkilau memancar
menggarap hati budi sebenar menyedarkan aku betapa ancaman kemusnahan kemanusiaan sekian menjadi bertambah parah
betapa rencana musuh musuh nyata segala ugama seperti dicatat berulang ulang dalam alquraan
mendorong pandu semakan pada niat hajat diri sehingga membuatkan aku menepuk dada rasa
bertanya pada selera bertapiskan nilai nilai murni terasuh kukuh terpasak kejat dalam diri sejati
menjadi pegangan yang sesungguhnya lusuh pudar tidak bererti sekiranya tidak jelas terbukti ia
dinyatakan melalui segala tindak tanduk laksana yang menghiasi segala segi kehidupan sebenar
maka demikianlah diri ku sebenar ketika mengunjung laman medan gelanggang tempat di mana
manusia manusia menyatakan hati budi pengalaman dan perasaannya dalam mengharungi hidup
segala yang ku tonton, nampak, faham akan menusuk padu dalam hati dan perasaan ku sendiri
lalu aku terjemahkan dalam tindakan yang usah ditanya persoalkan mengapa untuk apa relanya
aku ikhlaskan kerana keredhaan mengikat diri adalah jelas dan nyata tujuannya demi kehidupan
abadi selepas melalui lapis alam kubur yang ghaib menghadapi neraca dialam ghaibul ghaib kelak

....................................................................................................................... INSHAALLAH!!!


Ahad, 31 Januari 2010

Hak Yang Berhak.


Hai 
anak anak;
setelah berhari hari
bermalam malaman kita
mengharungi pengalaman bersama
melambung gelombang rasa dan
menterjemahkan maknanya
mengikut fahaman sendiri. 
Telah belajarlah kita berbagai pengertian
untuk bekalan meneruskan kembara yang panjang
menempoh kehidupan sebenar dalam arus satu perjuangan.
Sesungguhnya dalam tempoh singkat kita berada bersama
mengalami berbagai cetusan dan pergolakan perasaan
telah sama sama menemui berbagai persamaan 
dan perbezaan yang menuntut kita 
mengasah toleransi dan kebijaksanaan
mencari dan membina faktur pengimbang 
sehingga kita semua terhimpun menjadi 
satu pasukan yang sekata sefahaman.
kerana sesungguhnya kita tidak ada pilihan
kerana kehidupan adalah sebuah kelangsungan
seadanya dari apa jua yang sedia terbentang
namun untuk berterusan adanya ia 
milikan itu jangan cuma sendirian
kerana pesaka ini diwasiatkan 
untuk dikongsikan bersama
diagih bahagikan seadilnya mengikut keperluan nyata.
selebihnya baharulah ditebar menjadi terbuka kepada rebutan
janganlah rakus memalsu bersaing untuk mendapat lebih sendiri
kerana demikian itu adalah merampas hak daripada yang berhak.

Kehidupan Sudah Di Akhiran Zaman

Aku tidak pernah ada waktu terluang
kerana setiap masa yang ada tetap terjadual
sebagai tempoh untuk aku melayang terbang
dilangit biru maya pada meredah awan gemawan
mencari tajuk bicara mengesan teman menyulam kata
biasalah digelap pekat memandu sesat
biasalah disilau sinar disula cahaya
biasalah dihangat bahang dibakaran suria
biasalah terbabas dicelahan sepah sarap
jarang ketemu haruman setangi
kerana tempatnya cuma di bumi
jaranglah ketemu wangian melati
kerana wilayahnya cuma dipekat hutan
jarang ketemu merduan kicauan
kerana tempatnya cuma didataran
jarang ketemu azan tulus melaung seruan
kerana kehidupan sudah diakhiran zaman.

Khamis, 21 Januari 2010

Apabila seorang seniman diam berdiam.


Setelah lama memerhati seorang teman seniman meronta rasa dan diam termangu
aku menjadi keliru kerana tidak mengerti pergolakan dan perasaan hatinya
setelah berkali memerhati keadaan begitu dan apa berlaku seterusnya
baru jelas tahu ku maknanya apabila seorang seniman diam terdiam
bukan ngelamun bukan juga bermenung tetapi mengumpul tenaga
membina tapak ditari rasa mengolah indah pelangi menyeri rupa
diam seorang seniman mengatur wirid kata disulaman bahasa
menanggam harapan impian mewiridkan hajat kesampaian
nyata diakhir wirid diam itu
ada hidayah mendatang
membawa harapan
sekian dinanti sekian dicari
mesra membelai dendam geram
sekian membekam dihati 
lembut melamar kasih 
sekian dipendam
sukar barangkali 
memahami rahsia tersirat
bagaimana begitu mudah terjadi
bagaimana hikmahnya begitu terbina
melainkan sendiri terlibat hati merasa

datangnya lengkap seperti sebuah kurnia
siap terhidang di paha beralas baldu berenda
Al Rahman Al Rahim siapalah tahu kerjanya bagaimana
Demikian kelohoran hati seorang seniman mencari karyanya
bersematkan hajat menyulam tekad membawa kebaikan berguna
buat manusia sedang keliru mencari diri dalam kelam tertekan


Rabu, 20 Januari 2010

Kerinduan itu tetap ku tinggalkan dilaman seni - tak kira di mana.

Teman
janganlah engkau
tersalah menterjemahkan
kerinduan terpendam oleh
jarak masa bertingkat waktu
engkau penyimpan pustaka ilmu
engkaulah penyulam kesepian seni
engkaulah pengolah wajah wajah silam
dizaman aku masih sedang menari ditaman
kini taman itu sudah kering berpasir berbatu
dan aku tidak lagi akan selalu berkunjung kesitu
kerana olah tari kini menyilatkan pola yang berbeza
aku tidak lagi menghasilkan arca untuk tontonan visual
kerana rasa tanggung jawab tercipta sendiri difikir sendiri
namun aku masih jua tetap insan bergelar manusia berjiwa
masih rundukan kelok kelarai anyaman sulam awan berpola
demikian singgah rinduku dipagar berkunci yang jelas kenal ku
namun salam rindu tetap jua ku titipkan sebagai salam pada ilmu
buat kenalan pernah berkongsi kasih pada indahnya pesaka bonda
maka diatas keyakinan kepada keikhlasan yang lohor jujurnya
aku menjadi spontan dan selamba mengungkapkan buah rasa
diberikan nama rindu terukir pada jejala diatas jendela bahasa
janganlah engkau menjadi keliru terhadap ikhlas hati ku seperti dulu
semuga kita semua bebas dari segala persangkaan dan pertuduhan
untuk teruskan kehidupan dengan tanggung jawab masih kena dipikul
kerana kita semua adalah penanggong pesaka ini sementara hayat masih dikandung badan
sebelum diserahkan kepada generasi pelapis yang bakal bersedia untuk menerima tanggungan.

Inshaallah.

Ahad, 17 Januari 2010

Kawan dan Kekasih



Ada 
barangkali
orang berbicara
tentang makna
kawan dan kekasih
sedang aku penoh tawadhok
khusuk menilai kawan yang gagal
menyerahkan hati kasihnya
kepada seorang kawan.
Lalu ingin ku lontarkan soalan
kekasihkah itu yang tidak bersedia
merelakan keikhlasan menyerahkan
sebahagian ghairah pada hajat sendiri

demi sayang pada kekasih dikasihinya.
Maka berbalam dihadapan ku
ada teman yang selalu ku perhatikan
alun gelombang emosi dan perasaannya
sedang keliru tentang pengertian bermakna

betapa beza lainan antara kawan dan kekasih.
Lalu apalah lagi yang dapat ku katakan padanya
selain bersenyumkan bisikan pada telinganya.
Memupukkan ketenangan dan keyakinan
pada kendiri serta jatidirinya sendiri.
Kerana mana mungkin bicara hati
dada rasa seorang insan berpendirian
mepaut sandarkan pendapat pandangan
seseorang yang bukanlah dirinya sendiri.
Demikianlah bicara dapat ku ungkapkan
kepada teman sedang menggali carian
kerana gubahan kata tulus pernah datang
dan lesap menghilang dalam mencari laman

rupanya sudah sebenarnya pergi menghilang
namun wahai teman relalah mengambil pengalaman
menjadi pengajaran buat digarapkan suatu pengertian

bahawa sekali sesuatu bukan rezki menjadi hak seseorang
tetap mudah mencari laluan beralas apa pun sebab pasti jua hilang
namun insan beriman tidak perlu merintih kesalkan peritnya berpanjangan
kerana janji Tuhan bagi setiap yang dilahirkan menghirup udara bernafas dialam
sesungguhnya sudah ditentukan apa apa yang akan menjadi hak dimiliknya
maka rela dan redhalah menerima gantian bila ada ia menjelma datang
cuma gunakanlah ilmu pengajian diamalkan buat menyaring tapisan
kerana pasti kelak merasakan untung ruginya adalah diri sendirian
betapa pun ada teman yang mampu mencurahkan simpati ihsan
masih jua diri sendiri yang kena tanggong pikulkan bebanan
padahal ada lagi zuriat lapisan kemudian masih berhak
kepada kehidupan aman tenteram dan lumayan

Selasa, 12 Januari 2010

Untuk kelak diaudit di PADANG MAHSYAR.

Dibumi subur ini apa pun disemai
pasti tumbuh dan lebat berbuah
Apa pun ditugal pasti galak membuah hasil
Getah dari Brazil jadi rezki lumayan
Kelapa sawit dari Afrika membuat kita jadi kaya rara
Kerana kita ini bangsa bertuah;
kitalah yang jadi peladang di Afrika
kitalah yang jadi peladang di Agentina
Kerana bumi ini dianugerahkan kesuburan melimpah
untuk kita bina tamadun terpuji mengikut acuan kita sendiri
Maka disinilah kita pacakkan hasrat berhajat
dengan tunggak 1 MALAYSIA
membina jagat rupa nilai manusianya
menerapkan teras teras perpaduan
menjadi aspirasi bersama

Kerana dibumi ini apa pun kita tanam senang berbuah
apa pun kita tugal menjadi subur dan lumayan hasilnya
kita pun menjadi pandai menyemai benih api
sebagai tanda nyata kitalah perakus merebut kuasa
kita pun menjadi bertambah pandai menugal kebencian
agar segala hasil mencurah kebakul sendiri cuma
padahal sebenarnya kitalah yang memadah musibah
kita pun menjadi bertambah bijak menanggam cerita
agar tiada yang masih tetap menjadi milik orang lain
padahal kita sebenarnya mengundang kemusnahan
untuk mudah datang menghancurkan kita semua

Dalam selesa menghirup kemakmuran lumayan begini
kadangkala boleh buat kita jadi lupa untuk bersyukur
Enak diulit kesenangan yang senang dipermudahkan
kadangkala boleh buat kita jadi lupa mengusul diri azali
Maka lupalah kita akan dosa yang boleh melupus segala pahala

Maka di sini dibumi ini pada hari ini kami berhimpun
di atas satu gagasan luhur dihasratkan
akan berpadu sepadu
tegap aman 1 MALAYSIA.
mengolah perinsip perinsip mulia
sedia termaktub kendong pada Perlembagaan Persekutuan
serta bersama menghayati RUKUN NEGARA rukun bersama
mempastikan keadilan sosial dikongsi bina secara bersama

Semuga disini
di bumi
1 MALAYSIA ini
bersama kita hidup saling hormat menghormati
tawadhuk tunduk di atas puas rasa rendah diri semadi dihati
rela dan redha dengan segala kesederhanaannya begini
demikianlah rupa budi bahasa menyerlah pekerti
syumulan budaya bijaksana dan inivatif meninggi prestasi
mengulum sifat dan sikap sentiasa mahu yang tepat padat
mengamalkan ilmu yang syumul mengukuh diri berintergriti
sentiasa setia dipertahan diperjuang
dengan segala ketabahan tak mungkin padam

Semuga terhimpun menjadi ibadah
untuk kelak diaudit
di Padang Mahsyar.

Sabtu, 9 Januari 2010

Wajah Wajah Ancaman Bersulam.




Serlah lagi sebuah warkah sejarah
serlah menyatakan amaran dari Allah
mendedah perangai laku manusia punah
menyalahguna kelebihan istimewa anugerah
ALLAH

Mudah berbicara mencari untung kedudukan 
untuk dengan mudah mencari kemenangan
mengalahkan lawan dengan sokongan
orang orang yang mudah jadi ikutan
tanpa menghitung mengolah cari
sah dan benar hasil dan kesan
dalam lurus laras proses yang panjang
dalam teropong hari hari kemudian mendatang
bakal dipusakai anak anak pewaris akan datang

Maka ayat ayat Allah pun ikut didagangkan
malahan nama ALLAH yang tersimpul
pada rahsia suci kelohoran hati
ikut dibenar izin ditaja jaja kelongkang
serta lorong lorong gelap tidak tergambarka
Namun sudah serlah timbul gambar kesah
berduyun bondonglah tercuit hati umah

gelora parah terbakar perasaannya.
berselewang tindan meluah kata
pendirian tegas terang nyata.
Ketika itu:
ada pihak baru tiba tiba tersedar dari lena leka lama
dikejutkan keinsafan telah terlalu jauh silap 

langkah songsangan menyimpang.
terdiam mereka tidak terkata
Namun parah terkelar oleh selaran
berulang silang tak upaya tertanggongkan
rugi kehilangan pegangan pengaruh ramai ikutan.
lantas tersimpullah rumus faham mendatang 

sesuatu harus kena bijak rapi dirancang.
Khalayak sedang semarak berang dan
garang kena dipindah alihkan pandangan.
MAKA DEMIKIANLAH HASILNYA

ANGKARA MENGEJUTKAN DITANGGAM
UNTUK MEMBAWA KESAN MENGALIH PERHATIAN

RUPANYA BERTUKAR MENJADI ANCAMAN BERLAINAN
YANG PARAH KITA SEMUA KENA CERMAT BERI PERHATIAN.
demikian rupanya kerenah manusia diakhir zaman menangani perebutan kuasa 
menanggam ancaman menjadi alat memacu nama menghimpun sokongan untuk menang

Ahad, 27 Disember 2009

AJANGAN SEBUAH KEHIDUPAN



Maya kehidupan adalah sebuah ajang
dimana raja diulit rebab tunjuk lagak
sedang peran melagak lakun membawa watak
dilenggang langkah dilenggok jalanan
liut mengolah tari mengatur langkah
lenggang sendeng menggelek pencak
mencernakan diri watak dibawa
jelma jua hati dipancaran rasa
menayang gambaran iman didada

Maka jelaslah wajah diri pelaku diajang
hati didada rasa jadi jelas terbentang
betapa perit ngilu menanggong tekanan
betapa gagah ia menghadapi dugaan
serlah sudah siapa pelaku diajang
Kenallah kita tokoh dan wibawanya
melonjak julang kekaguman didada
menggilap puji pada hormat rasa

Tahniah cuma ungkap terucap
kerana jarak tetap tegap terpacak
Doa cuma dapat mengiring hasrat
semuga nyata esok lusa mu
tetap mendapat berkat
memacakkan tegap tiang empat
menanggam pasang ajang berpasak
tempat mengatur lakun yang baru
membina esok yang masih menunggu
menghias soleh masa depan masih penjang.
buat generasi penerus masih penoh harapan.

Khamis, 24 Disember 2009

Panduan Menjadi Penulis Sajak (siri 3)

 Dua hari yang lalu hamba telah menyambung catatan mengenai panduan untuk menjadi penulis sajak. Baru hari ini hamba mendapat kesempatan untuk menyambung lagi catatan itu. Catatan terdahulu menumpu kepada penguasaan bahasa yang cukup kuat. Catatan kali ini ada hubungkait yang rapat dengan catatan terdahulu dalam (siri 2) itu. Kali ini hamba memberi tumpuan kepada :




* Menguasai Perpustakaan Kata Yang Cukup Kaya.

Kekuatan menguasai bahasa masih tidak cukup untuk membina seorang penyajak menjadi penulis yang anjal dan lepas bebas dalam kerja penyampaiannya melalui tulisan berbentuk puisi bernama sajak. Ini adalah kerana sajak itu walau betapa bebas pun, ia adalah masih tetap satu bentuk puisi. 


Ia tetap terbentang dalam bentuk berbait bait. Baris baris dalam bait bait itu kena agak agak seragam alun bahasa bunyi dan panjang pendeknya. Kalau boleh diujudkan rima rima; apa lagi kalau faktur rima itu tersusun dalam kelok gelombang untuk sesuai diberi tekanan tersendiri waktu dibaca. 

Untuk itu semua seorang penulis sajak kenalah mempunyai perbendaharaan kata yang cukup kaya. Ia perlu berupaya memilih perkataan paling sesuai bukan sahaja untuk menyampaikan messagenya dengan tepat dan mendalam. Ia juga kena beri perhatian kepada bentuk rima dan lenggok iramanya sekali. 

Syarat tergaris disini nampak terlalu menakutkan ? Tidak. 

Ada cara yang tidak memerlukan tumpuan masa yang membebankan untuk melatih diri dan minda menakluk penguasaan itu. Anda cuma memerlukan perhatian bertubi pada setiap masa dan keadaan. Cubalah berriadah dengan cara yang mudah ini. Apabila membaca, mendengar dan bercakap cuba beri perhatian kepada setiap patah perkataan yang terdapat dalam ayat ayatnya. 

Pilih perkataan perkataan tertentu dan cuba dalami maksudnya. Cuba sarankan perkataan perkataan lain yang mungkin lebih sesuai atau sama sesuai atau layak menggantikan perkataan itu atau menokok kepada perkataan sedia ada itu bagi menambahkan kekuatan maksudnya. Tekanan itu juga adalah satu bentuk kekuatan yang cukup menarik. Amalkan selalu sehingga ia menjadi tabiat. 

Bila kita sudah mencapai tahap perubahan hasil dari tubi latih begini kita akan merasainya. Bila kita menulis atau bercakap kita akan terpengaruh dengan amalan itu. Kalau kita sudah sampai ketahap itu kita  akan mula merasakan keseronokannya. Seronok menggunakan ungkapan yang padat padu dan mampat. 

Selalu selalulah menulis, walau pun cuma dibuang sahaja selepas itu. Cuma selepas menulis itu berilah pengamatan mendalam. Cubalah perbaiki dan tambahkan kekuatannya. Tambahkan nilainya. Kadang kadang sambil melaksanakan proses mengukuhkan nilai itu kita akan ketemu akalan baharu lagi. 

Kadang kadang akalan baharu itu adalah satu penerokaan yang tidak pernah terfikirkan. Maknanya minda kita sedang berlatih mengkayakan kriativitinya.



Jangan takut menggunakan perkataan tersendiri atau perkataan daerah yang digunakan dalam daerah budaya yang terpisah daripada kebiasaan amalan Bahasa Malaysia yang resmi. Kalau anda buat begitu anda telah memainkan peranan untuk menambahkan perbendaharaan kata kepada Bahasa Malaysia. Gunakanlah selalu sehingga orang lain juga ikut menggunakannya dan akhirnya ia akan dikutip untuk dimasukkan dalam kamus dewan. 

Penulis sendiri pun biasa juga berbuat begitu. Berilah kesempatan kepada bahasa daerah untuk menyumbang kepada proses mengkayakan Bahasa Malaysia. Sekurangnya anda memainkan peranan mengurangkan tekanan untuk meminjam istilah dari bahasa lain untuk melengkapkan keupayaan penyampaian Bahasa Malaysia. 

Malangnya satu finomina belum berlaku di Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum ini. Alangkah mudahnya Bahasa Malaysia itu menjadi bertambah kaya kalau istilah istilah dari bahasa bahasa sukuan itu diambil untuk menambahkan perbendaharaan kata kita. Tetapi hendaklah ia berlaku melalui amalan penulisan biasa supaya prosesnya menjadi lunak dan azali. Bukan satu proses yang dipaksakan. Takut dirasai sebagai janggal dan memunah. Biarkan proses yang asli itu berlaku dengan sendirinya dalam amalan penulisan biasa yang sungguh sungguh (serius).

Akan disambung lagi dalam (siri 4)