Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Memaparkan catatan dengan label Panduan Sastra.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Panduan Sastra.. Papar semua catatan

Sabtu, 2 Julai 2011

Diskusi Sastra.

Serangkap pantun 4 kerat yang pada hamba agak menarik tercipta dilaman fb Putera Mahameru. Barangkali jauh capaian yang boleh dipelajari oleh generasi kini melalui olahfaham dan ulaskaji secara mendalam dengan meneroka lapis lapis nelai dan mutu yang tersirat dalam satu contoh ini. Atas tujuan itu barangkali juga ada ahli yang sudi menyumbangkan ilmu dan pengetahuan yang jarang disebar orang secara terbuka di laman laman maya begini. Silakan.

Putera Mahameru  

Kilat tempurung kilau menggiwang * 
Sesabut lumut berlarut jua * 
Bersepai tepung tetap di badang * 
Rambut menusuk ku ungkai jua * 

Sekarang dah jadi pantun Melayu. 
Mana ahlinya. Silalah bincangkan. 
Semuga kita semua dapat terusan 
memberi berkongsi belajar.

Terima Kasih:

Khamis, 24 Disember 2009

Panduan Menjadi Penulis Sajak (siri 3)

 Dua hari yang lalu hamba telah menyambung catatan mengenai panduan untuk menjadi penulis sajak. Baru hari ini hamba mendapat kesempatan untuk menyambung lagi catatan itu. Catatan terdahulu menumpu kepada penguasaan bahasa yang cukup kuat. Catatan kali ini ada hubungkait yang rapat dengan catatan terdahulu dalam (siri 2) itu. Kali ini hamba memberi tumpuan kepada :




* Menguasai Perpustakaan Kata Yang Cukup Kaya.

Kekuatan menguasai bahasa masih tidak cukup untuk membina seorang penyajak menjadi penulis yang anjal dan lepas bebas dalam kerja penyampaiannya melalui tulisan berbentuk puisi bernama sajak. Ini adalah kerana sajak itu walau betapa bebas pun, ia adalah masih tetap satu bentuk puisi. 


Ia tetap terbentang dalam bentuk berbait bait. Baris baris dalam bait bait itu kena agak agak seragam alun bahasa bunyi dan panjang pendeknya. Kalau boleh diujudkan rima rima; apa lagi kalau faktur rima itu tersusun dalam kelok gelombang untuk sesuai diberi tekanan tersendiri waktu dibaca. 

Untuk itu semua seorang penulis sajak kenalah mempunyai perbendaharaan kata yang cukup kaya. Ia perlu berupaya memilih perkataan paling sesuai bukan sahaja untuk menyampaikan messagenya dengan tepat dan mendalam. Ia juga kena beri perhatian kepada bentuk rima dan lenggok iramanya sekali. 

Syarat tergaris disini nampak terlalu menakutkan ? Tidak. 

Ada cara yang tidak memerlukan tumpuan masa yang membebankan untuk melatih diri dan minda menakluk penguasaan itu. Anda cuma memerlukan perhatian bertubi pada setiap masa dan keadaan. Cubalah berriadah dengan cara yang mudah ini. Apabila membaca, mendengar dan bercakap cuba beri perhatian kepada setiap patah perkataan yang terdapat dalam ayat ayatnya. 

Pilih perkataan perkataan tertentu dan cuba dalami maksudnya. Cuba sarankan perkataan perkataan lain yang mungkin lebih sesuai atau sama sesuai atau layak menggantikan perkataan itu atau menokok kepada perkataan sedia ada itu bagi menambahkan kekuatan maksudnya. Tekanan itu juga adalah satu bentuk kekuatan yang cukup menarik. Amalkan selalu sehingga ia menjadi tabiat. 

Bila kita sudah mencapai tahap perubahan hasil dari tubi latih begini kita akan merasainya. Bila kita menulis atau bercakap kita akan terpengaruh dengan amalan itu. Kalau kita sudah sampai ketahap itu kita  akan mula merasakan keseronokannya. Seronok menggunakan ungkapan yang padat padu dan mampat. 

Selalu selalulah menulis, walau pun cuma dibuang sahaja selepas itu. Cuma selepas menulis itu berilah pengamatan mendalam. Cubalah perbaiki dan tambahkan kekuatannya. Tambahkan nilainya. Kadang kadang sambil melaksanakan proses mengukuhkan nilai itu kita akan ketemu akalan baharu lagi. 

Kadang kadang akalan baharu itu adalah satu penerokaan yang tidak pernah terfikirkan. Maknanya minda kita sedang berlatih mengkayakan kriativitinya.



Jangan takut menggunakan perkataan tersendiri atau perkataan daerah yang digunakan dalam daerah budaya yang terpisah daripada kebiasaan amalan Bahasa Malaysia yang resmi. Kalau anda buat begitu anda telah memainkan peranan untuk menambahkan perbendaharaan kata kepada Bahasa Malaysia. Gunakanlah selalu sehingga orang lain juga ikut menggunakannya dan akhirnya ia akan dikutip untuk dimasukkan dalam kamus dewan. 

Penulis sendiri pun biasa juga berbuat begitu. Berilah kesempatan kepada bahasa daerah untuk menyumbang kepada proses mengkayakan Bahasa Malaysia. Sekurangnya anda memainkan peranan mengurangkan tekanan untuk meminjam istilah dari bahasa lain untuk melengkapkan keupayaan penyampaian Bahasa Malaysia. 

Malangnya satu finomina belum berlaku di Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum ini. Alangkah mudahnya Bahasa Malaysia itu menjadi bertambah kaya kalau istilah istilah dari bahasa bahasa sukuan itu diambil untuk menambahkan perbendaharaan kata kita. Tetapi hendaklah ia berlaku melalui amalan penulisan biasa supaya prosesnya menjadi lunak dan azali. Bukan satu proses yang dipaksakan. Takut dirasai sebagai janggal dan memunah. Biarkan proses yang asli itu berlaku dengan sendirinya dalam amalan penulisan biasa yang sungguh sungguh (serius).

Akan disambung lagi dalam (siri 4)

Jumaat, 18 Disember 2009

MAHU MENULIS SAJAK ? sedikit panduan disini ......... (siri 1)

Syukur Alhamdullillah hari ini hamba teringat kembali kepada satu janji yang belum terlaksana. Hamba berjanji dengan seseorang untuk menurunkan sedikit panduan untuk latihan menulis sajak. Hamba menyanggupi janji itu kerana diri hamba ini memang terasuh dengan sikap yang seboleh bolehnya jangan mengecewakan harapan orang.

Setelah membuat janji itu kira kira sebulan yang lalu telah banyak kali hamba cuba memulakan catatan. Tetapi rupanya hamba tidak mampu membohongi diri sendiri. Hamba sentiasa ditekan oleh kesedaran bahawa hamba bukan orangnya untuk menjadi guru dalam membimbing penulisan sajak. Hamba tidak pernah melalui sebarang latihan formal; tidak pula pernah hamba terasuh oleh seorang guru. Maka tidaklah pernah hamba menerima sebarang fatwa dalam usaha menulis sajak. 

Jadi bagaimanalah dapat hamba membentangkan satu panduan untuk tujuan itu; apa lagi menerbitkan fatwa fatwa tertentu untuk menjadi panduan. Menong punya menong; fikir punya fikir; maka berbagai pendekatan telah terlintas dalam fikiran hamba. Namun bila difikir secara terperinci hamba menjadi tidak cukup kuat untuk yakin sebagai membentangkan satu panduan berstruktur.

Akhirnya biarlah hamba mula dengan mencatat sejarah bagaimana sajak sebagai salah satu bentuk sastera terjadi. Sastera muncul dalam bentuk prosa dan puisi. Dalam budaya Melayu terdapat berbagai bentuk puisi yang terikat dengan desiplin tersendiri. Ada sakatan atau hukum mensyaratkan baris, bait, suku kata, sanjak dan rimanya.

Dalam tahun tahun 1940an ada sekumpulan pejuang sastera yang menamakan kumpulan mereka sebagai angkatan 40 yang tidak senang dengan ikatan ikatan itu. Di Malaysia gerakan itu bermula dengan angkatan 45 yang bermula selepas 1945. Atas maksud mahu menulis bentuk puisi yang bebas tanpa ikatan yang ketat maka lahirlah bentuk sajak.

Walau bagaimana pun gener sastra yang dipanggil sajak itu tetap ringkas, padat, simbolis, melangkolik dan melodius. Ia adalah hasil dari himpunan perkataan perkataan yang teratur dan tersusun dalam irama rasa yang menarik dan boleh menusuk kalbu. Pemilihan istilah dan susunan katanya padat dan kadang kala diasak tekankan dengan ulangan yang menubi terhadap maksud yang difokuskan. 

Namun kadang kala ia juga dibentang dalam terhadap sesuatu isu yang dibicarakan. Sajak selalunya bahasa yang mudah dengan sindiran yang cukup mendalam dalam mengupas sesuatu isu secara ringkas dan padat dari sudut yang tersendiri dengan cara yang tersendiri. 

Apa pun gambaran tergarap di atas ini satu perkara yang patut diambil sebagai kekunci berhikmah ialah: Bahawa sajak itu adalah bebas. Setiap seorang penulis adalah bebas mencari kaedahnya sendiri asal sahaja difikirkan menarik serta berkesan dalam menyampaikan apa yang hendak disampaikan.

Seterusnya sebagai panduan ringkas kepada sesiapa yang ingin menulis sajak yang menarik dan mengkagumkan? Secara spontan hamba ingin meletakkan syarat syarat berikut:
  • Penguasaan Bahasa Yang Cukup Kuat.
  • Menguasai Perpustakaan Kata Yang Cukup Kaya.
  • Pandai Melihat Permasaalahan Dari Sudut Dan Sensasi Yang Tersendiri.
  • Pintar Dengan Bahasa Kias Dan Sindiran.
  • Bijak Mencipta Dan Mengolah Lambang Lambang.
Melihatkan syarat syarat yang kabur ini hendaknya seseorang tidak seharusnya merasa takut dan gerun sehingga mudah mangalah dan dengan lemahnya terus menarik diri. Dalam posting yang berikut hamba akan hurai satu persatu lima perkara ini. Barangkali dalam huraian itu akan terbit juga sedikit penjelasan dan panduan untuk diriadahkan. Setakat ini hamba mohon untuk menangguhkan dahulu catatan ini. Maaf.

Akan bersambung di siri 2.