Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Memaparkan catatan dengan label Saki Baki. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Saki Baki. Papar semua catatan

Selasa, 3 Mei 2011

Amanah Ini


Sampai kini masih berulang alik ke hospital.
Dalam usaha masih mahu berterusan
menyambung nafas.
Aku akan tetap jua
mengendung pesaka amanah ini.
Tiadalah pusara di hujung hayat.
Aku tidak akan sekali lagi
percuma pergi
dengan tulang temulang
memutih didulangan.

Selasa, 2 Mac 2010

Pesan Ayah Pesaka Bonda.

Pesan Ayah Pesaka Bonda.

Assalamualaikum
Hey anak-anak Melayu
Ingat-ingat akan asal usul mu
Baka yang baik keturunan yang mulia
Ingatlah akan janji yang asal sumpah yang mula
Lahir ke sini sebagai khalifah
Hadhir di sini dengan tugas yang tegas
Jangan dok lalai jangan dok alpa
Siapa nak buat melainkan kita

Hey anak-anak Melayu
Baka yang baik keturunan yang mulia
Khalifah Allah di muka bumi
Kuasa politik di tangan kita
Kuasa ekonomi hak kita nak cari jaga
Kuasa sebar kata di tangan orang
Jangan dok hanyut lalai alpa
Jangan digadai sebuah Negara
Jangan terlepas pegangan kuasa
Hak kita
Hak yang asal
Hak yang mula
Tinggalan ayah pesaka bonda
Siapa nak jaga kalau bukan kita

Hey anak-anak Melayu
Baka ayah zuriat bonda
Jangan dok lena di selimut gebar
Jangan dok hanyut diulit khabar
Bangkitlah bangun mengatur tapak
Buka langkah mengatur tari memecah pencak
Gelanggang alaf bukan kepalang
Gelanggang alaf gelanggang sejagat

Hey anak-anak Melayu
Baka ayah zuriat bonda
Sumpah janji jangan percuma dok ucap
Ikrar bertabik jangan saja saja dok angkat
Ingat ingat amanah ninda moyang purba
Terikat bebat di ubun junjung
Semat kejat di otak ingat
Pengiring berkat menebat nekad
Sundang keramat tinggalan ayah tegap bersakai
Keris picit pesaka bonda gah mengiring

Anak Melayu baka yang wira
Sumpah dan janji jangan main mengacu cuba
Ikrar bertabik jangan percuma dok angkat tayang
Petapa purba jangan dok gerak bangkit jaga
Takut percuma diri perkasa jiwa wira tidak berlangir
Takut terlangkah hajat ibu wasiat ninda patangan moyang
Takut lupa pesan ayah bijak berpandai di gelanggang
Takut lupa pesaka bonda mengulit bahasa berbudi di laman

Anak Melayu baka yang mulia
Hajat yang satu janji yang asal
Rukun yang lima menjadi pegangan
Rukun yang enak senang mengaman
Dua puluh sifat tegap menjulang
Asal janji tetap dikota
Asal sumpah tetap di jaga
Asal kuasa masih milik kita
Asal daulat masih memegah takhta

Maka wahai Melayu anak baka
Dari keturunan baik mulia
Jangan dok tanya salah siapa
Jangan dok tanya silap siapa
Rumah yang ada jangan dibugar
Istana yang ada jangan dibakar
Takhta yang ada jangan diroboh
Takut merana anak cucu kita
Takut kita yang menanggong dosa

Maka wahai Melayu anak baka
Dari keturunan yang baik mulia
Marilah kita mendabik dada
Bertanya pada selera
Tanyalah kita pada hakikat diri
Aku yang ada bagaimana asalnya
Hadhir di sini bagaimana usulnya
Hak yang ada dari mana puncanya
Ilmu yang ada siapa yang punya
Akhir kita nak jatuh kemana.

Rabu, 25 November 2009

Mahligai Impian Di Atas Pusara Tua.



Dalam kembara 
mengharung pekat belentara berkabus 
tiba tiba terpandang mahligai permai 
memancar dengan deretan istana 
berkilau memancarkan gemilang cahaya 
penuh kesungguhan pada megahnya capaian keagungan  
penghuninya gagah melangkah dengan keris pada selempang
tanpa menyadari persekitaran sekelilingnya yang tandus gersang
sedang hangus dimakan api kebencian dan kemarahan berpanjangan

asapnya membuakkan bau bahan bakar menyatakan menyerlah asal datang
maka kenallah aku tentang kelahiran susunan hikayat berlapis lapisan
punca sesungguhnya didatangkan dari perancangan hasad berabad
dari kesah sesungguhnya sudah direntet berderet dalam al quraan
maka cemarlah watak watak di singgahsana kedaulatan bangsa
yang cuba diretakkan demi semarak hasrat sebuah agenda
diatas hasrat tujuan terancang sejak belum lahirnya isa
bertekad untuk tujuan akhirnya memerintah dunia
namun betapa pun rapi teliti rancangan mereka
rancangan Allah jua yang pasti jadi pada akhirnya
yang demikian kita bangsa pendokong ugama benar
tetap kekal gagah dalam nekad jihad perjuangan fatinah
tanpa soal akan ada atau tidak kesan dari sebarang tindakan
yakin percaya pada kerja tanggung jawab cuma perlu dilaksanakan
jaya tidak atau betapa kadar capai bukan sedikit pun menjadi persoalan 


Berkilau sebuah istana gemilang diatas pusara tua.

Putera Mahamiru ketika memulakan face booknya mencatatkan:
"Berkilau sebuah istana diatas pusara tua."
Catatan itu mencuit dadarasa dan otakfikir hamba maka izinkan hamba membuat ulasan hamba mengenai catatan yang ringkas itu mengikut kefahaman hamba sendiri:

Berkilau membawa maksud gemerlapan sinar memancar kemerata rata. Istana membawa  maksud sebuah kediaman yang gah. Dikagumi dan di banggakan. Pusara tua bermaksud sudah lama ia. Mungkin sudah dilupakan dan tidak terurus dan tidak lagi dapat dikesan.

Betapa kehidupan kini begitu gagah bangganya terhadap hebat pencapaian perjuangan memburu kemewah dan keghairahan terhadap gemerlap kilau pencapaian kebendaan. Lupa kita bahawa segala kesempatan dan peluang yang masih ada menjadi milik dan hak bagi kita itu adalah hasil dari pengorbanan pejuangan orang dahulu kala yang sudah kita lupakan dan kadangkala kita perlekeh dan perburukkan.

Maaf hamba ada urusan keluarga yang mendesak kini. Hamba akan kembali untuk membuat posting yang lain dalam bentuk sebuah sajak bermula dari ungkapan menarik itu. Ini barangkali menarik untuk seorang anak yang memohon untuk belajar untuk mencapai kemahiran menulis puisi. Silakan.

Selasa, 22 September 2009

PUSARA TUA ITU

Belinang cengal pusara tua itu sudah lama menjadi reput
Nisannya sudah lama bergolek kebawah cerun lurah
ditolak disendel disendol kerbau laga sedang mengamok
ganas naik minyak marahkan anak anak berbaju merah
enak seronok merayakan lumayan makmornya negeri

Nisan usang di bawah lurah itu sudah lama hanyut dipunggah arus
kerana lurah tempat ia terbuang dihumban sudah menjadi sungai
dari jeram di hulu yang tidak lagi berdaya menakung air
setelah sekian lama membekam menjeruk pilu dan malu
terhina dihina anak mukim yang mabuk berebut kuasa
sambil tamu tamu terhormat yang mulia dimuliakan 
enak enak merobah usul asal mula bermula ceritra
untuk cipta peluang mendapat untung lebih banyak 

Pusara tua itu sudah lama lupa dikenang hilang tanda tak daya dikesan cari
kerana sekitarannya sudah menjadi semak tempat bersarang biawak
pencuri telur dalam sangkak bawah rumah
tempat beradu musang pemburu ayam yang sudah lama dipotong tajinya
tempat merayap melingkar jerat sawa bunga sawa lekir tunggu peluang telan mangsa

Pusara tua itu sudah lama lenyap
hilang dari ingatan dari kenangan
tanah berlereng tempat bertapak
bermegah ia sudah dipunggah
buat menyediakan tapak
untuk mendirikan sebuah gedung istana
tempat berpesta mencipta riang
bagi para pendekar licik
lincah bicara menuturkan helah
melukiskan gambaran menggiorkan selera sukar dinapikan

Tulang temulang di pusara tua yang sudah lama dilupakan itu
adalah aku yang kini sedang rimas diusung punggah
kesana kemari oleh anai anai sedang mencari peluang
membina busut busut sementara buat dipanggil
SEBUAH KEDIAMAN.

Khamis, 3 September 2009

Tunggul Tua (1)

Tunggul tua itu
sudah lama menjadi tunggul
sudah repot dan bercendawan
menjadi tunggul ia kerana
pokoknya sudah ditebang
kayunya diperlukan
buat membina sebuah istana
untuk pendekar perkasa
yang licik berpencak
berlapis bunga tarinya.
Akar tunjangnya
Akar dahannya juga
akan ikut merepot
dam lumat menjadi tanah
namun tetap meresap ia
menjadi baja
menyuburkan
merimbunkan