Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Selasa, 31 Ogos 2010

Mencari Erti Kemerdekaan (diterkinikan)


Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuah
Merdeka yang kita terima terlalu mudah
Tiada darah yang tumpah
Tiada badan yang rebah
Tiada anak kehilangan ayah
Tiada ibu kehilangan anak

Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuah
Merdeka yang kita terima terlalu mudah
Namun suatu ketika yang sudah hampir terlupakan
tatkala mempertahankan bumi ini dari dijajah
tiada siapa pun sempat menghitung
berapa sukatan darah yang tumpah
berapa banyak badan yang rebah
berapa ramai anak kehilangan ayah
berapa ramai ibu kehilangan anak
berapa ramai isteri kehilangan suami

Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuah
Merdeka yang kita terima terlalu mudah
sehingga membuatkan kita semua sukar untuk mengerti
erti sebenar kemerdekaan kita miliki
Kita tidak pernah nampak untuk dapat melihat
betapa payahnya
betapa peritnya dan
betapa sukarnya
kemerdekaan itu diperolehi
Maka kita kadang kadang sukar 
memberi penghargaan sewajarnya
kepada nikmat yang kita ada
Kita pun tidak pernah diceritakan 
betapa susah payaknya
orang orang dahulu kala
dengan segala yang cuma sedikit yang ada
berusaha untuk mendapatkan 
sebuah kemerdekaan
Chincin dijari, 
gelang di tangan, 
rantai di leher 
dan kalung di dada
dilolos semua
buat membiaya
usaha mulia
mendapatkan
sebuah kemerdekaan
yang kini menjadi milik kita
yang kini kita lena dalam nikmatnya
yang kini kita lupa akan nilai harganya.
sehingga kini kita pun sudah pandai 
mencabar kemerdekaan yang masih ada 
dengan mencipta sengketa tanpa batas ukur 
menabur relongan api menjarak sesama kita

Padahal kita pun lupa bahawa
dalam usaha mempertahankan kemerdekaan 
yang kini masih ada 
pernahlah juga kita merasai 
darah darah menyimbah tumpah 
Masih mahukah kita mengulangi rasa
perit getir mengerikan begitu berulang semula ?

Ahad, 29 Ogos 2010

Mencari Diri

Seperti dilukis seorang teman
dimaya ini tersirat sebuah alam
bergelar akan dia alam karyawan  
membuat aku jadi membuak keinginan
mahu sekali mencari dan mengenali akan dia
dari sekadar merasai pernah hadhir kesitu
namun masih tidak ku faham jua 
rupa dan sifatnya bagaimana
cuma dapat ku terlah agak
tidak tergambar pada kanta tampak
tidak mampu dilukis pada rentang kanvas
namun tetap ingin mencari dan mengenali
kerana teringat akan pesan Al Fansuri
kenali diri mu baru akan kenali Allah
maka mencarilah aku dimana alam
yang mensemadikan diri ini
bagaimana sebenar rupanya
bagaimana sebenar bentuknya
bagaimana sebenar sifatnya
bagaimana sebenar feelnya
bagaimana urus jadinya
dan betapa pula zatnya.

Demikian barangkali kembara ini
mengalami dan mengharungi
payah digelap pekat
namun tetap kena dilajakkan jua
kerana dihujung sana ada manis yang nikmat
tidak tersifat tidak terungkap

Semuga siratan rahsianya
tidaklah serumit siratatan jala pukat
akan tetap jua membawa unjur kita
ketakhta barakah yang hak
dengan hidayahnya jua
inshaallah.

Khamis, 26 Ogos 2010

Pencarian Itu Membina Karyawan Mu

Aku 
memang 
suka mengembara 
ziarah laman ke laman 
di maya yang luas terbentang 
mengintai cari anak anak yang aku suka 
berbuat kawan kerana bakat dan minatnya 
mencari sendiri olah corak kelohoran budi hati 
melukiskan jiwa pada olah bingkai potret bahasanya 
kerana hasrat berhajat ku untuk membina tinggalan budaya 
pesaka ninda yang indah menawan mudah memadah penghayatan 
maka ketemulah hati dan jiwa berbagai rupa mengulum anika rasa 
mencubalah aku menghayati untuk faham dan kenal wajah wajah
dalam anika persekitaran gambaran rupa berwajah
mencari rumus hati budi manusia berjiwa
bergulungan membentuk dendangan bahasa 
menjalin anyaman kata melukiskan karya pujangga
namun ketemu juga dengan hati dan jiwa yang berdarah luka 
mendulangkan kepangkuan sehidang tanggung jawab untuk digalas pikul
manisnya nikmat menyaring faham hanyir nanah dari calar luka dihati jiwa sayu pilu
sekali gus mengajar aku melalui proses mencari kematangan dari perit menanggung kepahitan
namun apalah yang dapat ku pelajari dari tajuk sebuah lukisan kehidupan yang ada rangka tanpa isi
demikian rupanya pengembara dipasaran kini yang pandai menyemak sidaian pamir tanpa simpulan pasti 
apa buah yang bakal dituai kutip dari junjung dan para sedang ditegoh bina dengan silang serandangnya
maka kaburlah pilihan akan benih dan biji yang bagaimana akan dikutip untuk ditabur ketapak semaian
bagaimana pula akan diputuskan adun baja dan lumat tanah pada batas berpayung jaringan ranting 
parahnya kerja memimpin anak anak terasuh oleh terlalu sempurna lampin dan sukatan susunya 
sehingga bila dewasa segala yang sampai kehadapannya wajib sempurna dan jelas sukatnya
lantaran tidak terasuh kebiasaan mengolah reka mencari corak dan rupa bentuk sendiri 
terus dihujungnya berpesanlah aku kepada bakal bakal karyawan dalam pembikinan
binalah diri mengikut acuan dan ukuran selera sendiri tanpa gangguan luaran

Rabu, 25 Ogos 2010

Selembar Surat Terbuka.

Surat terbuka selalunya digunakan orang
untuk menyampaikan rasa hati
dari bawah kepada pihak pihak atasan
yang tidak terjangkaukan capaian kata tulisnya.
Tetapi kali ini hamba tergerak
untuk menulis selembar surat terbuka
kepada anak anak yang ramai
tersebar merata bumi tanah air tercinta
kerana harapan yang terlalu amat besarnya
terhadap kejayaan mereka menghirup nikmat harimuka.
Semuga mereka mampu selesa membina mempersiapkan hati
untuk kemudian menunggu giliran menyambut tanggung jawab
memimpin negara di atas landasan lohornya kebenaran suci
dan hak kemanusiaan mengikut sukatan acuan murni sendiri.

Maka demikian suratnya ku tuliskan:
Hai anak anak;
setelah berhari hari
bermalam malaman
minggu berganti bulan
53 tahun menjadi hitungan
Kita harungi pengalaman bersama
melambung gelombang rasa
menterjemahkan maknanya
mengikut bijak fahaman sendiri
kita temui saring dan kutip berbagai pengertian
terhimpun teradun susun mematangi pengalaman
untuk bekalan meneruskan kembara yang panjang
menempoh kehidupan sebenar sebagai satu perjuangan
Sesungguhnya dalam tempoh tempoh singkat kita bersama
mengalami berbagai cetusan dan pergolakan perasaan
kita telah sama sama menemui berbagai persamaan dan perbezaan
yang menuntut kita lebih mahir mengasah timbang rasa dalam bijaksana
mencari dan membina faktur pengimbang sehingga kita semua terhimpun
menjadi satu pasukan sekata sefahaman tak mungkin diretakkan
kerana sesungguhnya kita tidak ada pilihan
melainkan bermula dari seadanya dari apa yang ada
menerusbina kehidupan dalam sebuah kelangsungan
namun untuk berterusan ada ia sedamai adanya kini
miliklah bersama dan janganlah cuba jadikan ia milik sendirian
pesaka ini diwariskan melalui wasiat keramat
tertanggam bina dari jujur ikhlas maufakat sekata
untuk dikongsikan bersama mengikut saksamanya
agih bahagilah seadilnya mengikut keperluan nyata.

Khamis, 19 Ogos 2010

mengetok sebuah jeriji berkunci

penat 
mengatur 
tapak longlai 
aku pun mengetuk 
pintu besi sebuah jeriji 
memagari lorongan laluan 
ketaman asuh sebuah mahligai
rapat berkunci rupanya dikala itu
keliling mencari rekahan tembok 
untuk cuba melolos masuk 
membina rasa keciwa 
terduduk dicelah banir 
sudah lama tiada pokoknya 
namun tunggulnya masih jua gagah 
kerana ia adalah tunggul merbau darah 
maka bertanyalah aku pada diri sendiri 
mampukah aku terus gagah bertahan 
seperti tunggul merbau darah itu 
masih mengalir cecair merah 
bila kulitnya dilukai 
sedangkan sudah sekian lamanya 
aku mengistiharkan diri ini putih darahnya 
dan tetiba ada lambaian menggamit dari jendela 
sebuah mahligai mengejut bangun dari sebuah mimpi 
terkapai aku mencari diri melunjur kaki mencari tapak
mahu cuba berdiri mengatur langkah mencari arah tuju
akan melurukah aku untuk menggapai jendela tingkap itu

Sabtu, 14 Ogos 2010

Antara Carian Mu dan Perjuangannya.


Bawalah diri itu
dalam kembara mencari Tuhan mu
biarkan dia dengan kembaranya sendiri
dalam perjuangan mencari Tuhannya jua
kelak ketemulah kalian dipeterakna hakiki
kerana Tuhan sebenarnya sesungguhnya esa
tidaklah dua tidaklah tiga melainkan esa jua
Tuhan yang engkau cari dalam kembara mu
Tuhan yang dia kejar dalam perjuangannya
sebenarnya adalah Tuhan yang esa itu jua
Dialah yang akan menemukan kalian
di atas peterakna yang satu itu.
Inshaallah.

Khamis, 12 Ogos 2010

Dalam mencari peranan diri

Kekadang 
aku juga kebingongan
dalam usaha mencari tenteram diri 
dalam percubaan untuk membawa ketenteraman 
aku cuma tahu hidup ini cuma satu tujuan terang
menaburkan bakti memberi dan meriangkan 
namun itu cuma aku yang mungkin perasan 
kerana hakikatnya yang terjadi 
ialah ukuran orang lain 
dan aku seperti juga siapa sahaja 
selalu gagal dalam meletak paras ukur 
dari kacamata selain paras ukur diri sendiri 
aku cuma sedar apabila ada yang dekat tetiba menjadi jauh 
menegur aku supaya mencari dimana silap dan salah diri ku 
dan demikianlah juga kerja ku jadi terraba raba 
dalam kegelapan yang tidak pernah pasti 
keliru dalam seribu andaian 
salahnya itu dan ini 
semuanya tidak pasti 
sendirian kebingongan
dan bersendirianlah terbaik 
untuk aku meneruskan pencarian ini 
seperti Muhammad yang bersendirian di gua 
akhirnya dia menemui iqrak yang mengajarkan 
dan aku dalam sunyi sunyi sendiri sendiri 
menemui pasrah dan redha mengamankan 
kerana hasil sesungguhnya buat diri ku 
ialah niat terpasang dihajat hati sendiri 
itulah barangkali sesungguhnya 
ukuran nilai hakikat yang hakiki 
maka tersimpullah nekad 
merumuskan ajar 
buat diri yang teraba raba mencari 
ketuklah pintu yang masih ada cahaya disebaliknya 
usahlah didekati sebarang pintu bermangga kunci 
selagi niat itu masih suci 
barakah pahala barangkali 
masih tetap pasti 
inshaallah.

Sabtu, 7 Ogos 2010

DIANCAM BIMBANG



Rupanya rumus dari segala 
perit tertanggung
bila pun masa 
apa jua suasana
bisa diukir 
dalam gemulung 
awan berjela
tersimpul jelas
terkurang pasti 
menggarap paras 
masih kebawah daripada 
peri azabnya ibu melahirkan jua 
nyata rupanya pada hitungan sedar
pasti mengerti akan betapa derita
ibu dengan sejuta harapan
meneran kelahiran itu

Dan bagaimana pula
perihal perit diancam bimbang
ibu pertiwi mengaturkan masa depan  
tetap jadi pasti selamat sejahtera
buat seluruh warga
bakal menyusul
usia ke usia
membilang zuriat
zaman ke zaman.

Isnin, 2 Ogos 2010

Menyambung Baka Penerus Zuriat


Tunggul tua itu 
sudah lama ia menjadi tunggul 
teras sahaja masih bertahan kerasnya 
bubalnya sudah lama mereput dan runtuh 
menjadi debu membajai tanaman dan tumbuhan
namun tetap jua setia ia tegak berdiri pada tapaknya
disitulah tempat ia menugal akar menegakkan batang 
mendirikan pokok bercabang berdahan 
mengembang cabang memecah ranting 
menyubur dedaun menghulur pucuk 
mengembang kelopak bunga 
mengeram beneh
mematang biji buah
buat menyambung zuriat
masih tetap setia begitu jua ia 
kerana demikian adalah amanah 
tidak mungkin dibiarkan lalai alpa 
menyambung baka penerus zuriat
tetap jua ia tegap tegak begitu di situ
sidik memikul amanah tabligh fatonah

Ahad, 25 Julai 2010

Kehidupan di hujung hayat ini.

Alam dan kehidupan adalah lautan
luas terbentang menjadi cabaran
bagi insan sedang berenang berkolek
gigih ikhlas mengharunginya
dengan sekadar kadar yang ada.
Siapa pun tidak mungkin terlepas
dari melalui dan mengalami.
Neraca pengukur jatidiri
menyukat tahap kendiri sejati
mengesan kepekatan pegangan
pada kepercayaan dan kejituan iman.
Demikian jua hamba dalam lautan serupa
adalah yang kurang adalah tak terupaya
Namun hati tetap menegap atas ikhlas
dilurus laras lurah diliku berkelok
timbang imbang dilarik larat
kepastian iman tenang mengaman
Maka berpesanlah hamba pada teman teman
usah bersusah memikirkan bagaimana
hati dan perasaan bergolak digelora
kerana jikapun ada serupa dikata
ia cuma adalah lumrah kehidupan
namun ditapi ayak di badang saring
akan terisihlah segala sekam atahan
terungkailah segala kusut talian
terlerailah segala buku bekuan
Diri ini pun masih tetap bertahan
hidup berkelok disimpang liku laluan
masih bertumpu cuma untuk satu tujuan
membina memberi kebahagian senang aman
kepada insan terdesak terhimpit dan memerlukan
kerana akan diri ini cukuplah sudah
dengan segala limpah hidayah anugerah
tenang aman puas dan cukuplah sudah
seadanya sekadar kadar yang ada
Kurang dan tidak memadai kini
cuma masa dan kesempatan menyumbang
memberi membina membangun menjamin
apa yang ada pada umat sakalian
akan tetap selamat berterusan
dengan kadar bertambahan
lumayan berpadanan
untuk terus menjadi nikmat
anak cucu generasi akan datang
menjamin membela mempertahankan
selamat berkembang tanpa sebarang gangguan
sebarang musuh dan segala rupa petualang
luaran mahupun dalaman
INSHAALLAH.

Sabtu, 24 Julai 2010

Semulajadi wajah seorang seniman dalam pembikinan

Nyatanya ketulusan hati itu
jelasnya pertimbangan rasa
betapa terangnya ukur saring
tentunya lahir dari ikhlas yang jelas
pastilah terbit dari saksamanya budi
hebatnya penghayatan sinar ilmu
perakuan diri jadi jitu begitu
pencariannya tentu bertitik digaris pasti
walau sukar dicari pengukur bersukat
walau payah diungkap bahasa berbudi
namun demikianlah nilaian diri
kemulian yang sukar dicari
demikianlah kagumnya hati ini
Namun tetap jua ingin digagahi
menyemai kata nasihat suci
bahawa tanpa desak paksa menyedari
paras letak pada hak karya diri sendiri
pada ukur sukat hati budi murni suci
perlu jua dilihat sebagai olak penghalang
hakikat potret sebuah perjuangan seorang insan
yang mencari pastinya dalam proses menghasilkan
sebuah arca sebagai tugu sebuah kemenangan
tak mungkin lagi sesiapa mampu persoalkan
maka kagumnya aku dapat menumpang
merasakan hebatnya keyakinan seorang pejuang
serlah sudah wajah seorang seniman
pada usia masih lagi pada tahap permulaan.
Engkaulah wajah asli seorang seniman dalam pembikinan

Selasa, 20 Julai 2010

Ku Nampak Setia Kasih Jua Pada Gelembong Buih Itu.

Buih buih digeledak ombak
mengembong mengilau warna pelangi
bersinar tanpa ketentuan satu warna
pandanglah pada cahaya pilihan hati
seperti Maimun yang patuh menanti
dalam setia menyimpan perawannya
hanya untuk Rosli Dobinya
sampai ke ujung usia.
Demikian rupanya makna
terpahat rapat dalam kata kata
sebuah kasih berbebat setia.
Maka demikianlah ku berikan makna
pada setia kasih akan pertiwi ini
betapa pun rapuh ia dibuih ombak
dilambungan ganas gelombang
tetap juga ku jaga ia
seperti Maimun
menjaga daranya

Khamis, 8 Julai 2010

Kitarkan segala gundah menjadi riang

Teman yang sedang terbakar dihangat rasa 
bagaimana kalau lahar dari ledakan merapi 
mematang masak hati membuakkan santan 
meresapkan lemak melazatkan kecap rasa 
mengharumkan bau ramuan rerempahan
menjadi hidangan resipi istimewa 
tidakkah akan berubah pandangan rasa 
menerbitkan poterit baru yang menawan 
nilai sebuah kehidupan seperti diimpikan
indah dicari tidak akan bergolek datang 
namun akan datang juga ia 
jika diolah cipta digubah hias
gundah yang usang tentulah bisa dikitar semula 
menjadi manik hiasan bunga bunga dijambangan ria 
kiaskan lambangnya menjadi lawak menghias gelak tawaan
semuga keriangan jua menyudahi hujungan pengalaman
dan dipeti peti simpanan gundah gemercing sorak kepuasan
kitar gunakanlah segala gundah mencengkam menjadi riang
kitarkan segala gundah menjadi riang.

Sabtu, 3 Julai 2010

WAJAHNYA dan KANVAS KINI.


Selalulah aku melihat wajahnya mengimbas di angin lalu 
berbalam dalam kabus kata mengolah daya budi berbahasa 
wajah tanpa potret berfoto tidak pernah terlukis warna dikanvas 
namun dengus nafasnya mendesis genderang telinga mengalun rasa hati 
sepi resahnyanya mengundang renangan gelora pusaran ombak tak berolak 
berus memang sudah ditangan namun akrilik pewarna masih perlu diadun bancuh 
sementara kanvas masih kering tetap perlukan emulsi dan seimbang direntang regang 
dihujung terowong sana barulah akan bertanya getaran rasa mahu sebenarnya bagaimana
maka lukislah semahu mahunya akan senyum yang dicari serta jeling yang diharapkan 
kalau sudah sampai masa ketika potret itu akan dilukis membentuk gambaran 
lukislah semahu hati pilihan rasa selamanya dipendam simpan 
kelak bagaimana hasilnya kenalah rela dan redha terima 
janganlah dirintih tangis mengulum kesal yang walang 
kerana jadi yang terjadi bukan percuma mendatang 
menggolek atau melayang semuanya terancang 
antara sedar yang awas dengan mimpi yang alpa 
sebenarnya pilihan insan mengolah akalnya bagaimana 
dihujung sebarang kembara tiada siapa akan menanggong beban 
melainkan dirilah yang sesungguhnya memang merancang menerima tanggongan.

Jumaat, 2 Julai 2010

Mengolah tari dilaman budi.

Laman redup dibayangan pokok
memanglah tempat aku mengatur tapak
membina kekuda mengalun tari
mengatur pola berbunga
menitih kata memupuk budi
disemaian bahasa
mencari murni diri
dalam keindahan
manisan rasa

Tidaklah pandai aku mengolah pencak
mengipas angin melambai ribut
menggoyang reranting pokok
mengoyak cabang dahan
Namun kalau condong batang pepohon
menggegar akar menggoyang tunjang
kaburlah aku dari mengerti
temali kesah turutan hikayat
Kalau tumbangnya menimpa laman
didesir angin ngauman ribut
barangkali sempat bertabah aku 
menyambut sanggah menahan sagang
Kalau tumbangnya tanpa angin berselang ribut
terpakulah aku diashik mengalun tari
mengolah kata mencari budi.