Kelahiran Ini

Kelahiran ini bermula dari sebidang dada subur yang kosong.
Tugallah benih pilihan sendiri dan siramlah ia dengan kemanisan rasa terpancar dari kilau minda dan emosi sendiri.
Teroka cari ruang sendiri, tanggamlah rupa bentuk dihajat, olahlah reka corak sepuas mahu.
Maka demikianlah berbahasa seseorang insan dengan daya budi sendiri.
Demikian itulah dirinya dan itulah jiwanya.

Sabtu, 29 Ogos 2009

Dari Puncak Mahamiru

Akulah petapa baru tiba dari puncak Mahamiru
Turun menjelajah seluruh pelusuk desa
Lorong liku segala rona kota ku lalui semua
Ku datangi rata khalayak anak anak masih muda muda

Membawa pesan para mujahid dahulu kala
Memikul amanah keramat moyang bangsa
Menyampaikan ungkapan wasiat penerus zuriat
Menerusnurunkan harap hajat amanah berkat

Maka wahai anak anak masih muda muda
Ingatlah akan tanggongan kalian di hari kini
Sedarlah akan amanah terpikul buat hari muka
Kalianlah penerima pesaka moyang bangsa
Kalianlah penanggong amanah pembela
Kalianlah penerus tali arus perjuangan zuriat keramat

Kerana wahai anak anak masih muda muda
Bumi ini menjadi keramat atas ikhlasnya ia diasas
Bumi ini masih lumayan atas ikhlasnya ia dibela
Bumi ini akan terusan aman
selagi masih ada penerusnurunan
amanah perjuangan moyang
ikhlas dari diri mu sendiri
Bumi ini akan terus makmor
selagi masih ada penanggong
amanah keramat bangsa
ikhlas dari diri mu sendiri
Bumi ini akan terus berkat keramat
selagi masih ada usaha mulia
berhajat kepada berkat keramat
tersirat di hujung hakikat

Maka wahai anak anak masih muda muda
Ketahuilah bahawa kami di sini tidak mungkin selamanya
Ketahuilah bahawa esok kalianlah kena berdiri gah sendiri
Kalianlah kelak yang kena memikul
amanah keramat wasiat moyang bangsa
Kalianlah kelak yang kena memanjangkan penerusnurunan
amanah keramat wasiat moyang bangsa

Maka wahai anak anak masih muda muda
Persiapkanlah diri kalian dengan ilmu penoh di dada
Persiapkanlah diri kalian dengan iman sebati dalam diri
Bersedialah hadapi cabaran penoh rona di hari muka
Kerana dunia mu tiada lagi sempadan negara negara

Wahai anak anak masih muda muda
Kenalilah siapa sebenar musuh mu
Kenalilah siapa sebenar pembela mu
Kenalilah siapa sebenar penggoda mu
Kenalilah siapa sebenar rakan taulan mu

Jangan nanti tersalah mengutip kesah
Jangan nanti tersalah selak pandang
Jangan nanti tersalah olah simpul
Jangan nanti tersalah anggap faham
Sehingga tersalah pula arah tuju laluan jalan
Sehingga tersalah pula tala terjah langkah juang
Sehingga menjadi keliru antara malik dengan ridhuan.

Catitan: Penyair Dari Gunung = = Menjelang Genapnya 52 Tahun Kemerdekaan Bumi ini.

Jumaat, 28 Ogos 2009

Saudara

Kalau benar kita pernah bersama
dalam satu balang rasa yang serupa
di atas hirup hembus nafas yang senada seirama
tak mungkin akan tersakat belat melingkung pisah antara kita

Namun takdir tersurat tak mungkin dapat ditolak
tatkala kita berkampong didesa balang berlainan
lengkongan kaca memburai tampak membezakan pandangan
maka berbeza dan tak serupalah telus tampak antara kita

Udara yang kita sedut
kalau pun larutnya seakan rupa
tetap ditapis saring oleh peparu
yang pastinya bukanlah sama
kerana kita bukanlah kembar siam
yang lekat tercantum pada dada

Maka terimalah segala beza yang akan ada
terimalah dengan redha dan rela

Semuga tiada sengketa
yang mampu menjadi benteng
pemisah jarak antara kita

Demikian barangkali hakikat
yang harus kita bebat ikat
pada teras dada rasa
pada umbi pokok hati
bersauh didasar lubuk budi
dalam mendirikan
menara iman yang kamil
pada urusan salam
antara saudara
dalam sahabat perjuangan

Semuga sumpah terlafaz niat terucap
tetap bertali sampai kehujung hahihat.

Khamis, 27 Ogos 2009

Sajak sajak Sejarah Melayu.

Apabila Sastrawan Negara Dato' Prof. Dr. Mohammed Hj. Salleh membaca buku Sejarah Melayu; ceriera demi ceritera beliau merasai kesan yang mendalam sehingga membuatkan beliau terus menghasilkan sajak sajak tersendiri bagi setiap menggambarkan kesan dirasai setelah membaca ceritera berkenaan. Tersentuh setelah membaca

ceritera yang ketiga puluh empat

"Maka Melaka pun alahlah,
dinaiki oleh feringgi dari ujung balai,
tiba-tiba lalu ke dalam."
.................................................................................................................beliau terus menulis



telah lama alah melaka ini
feringgi hanya pemecah terakhir
pada negeri yang diretakkan
oleh biaperi dan orang besar-besarnya.
bukit istana diusung ke parit oleh zalimnya
yang tak tertebus pada tujuh keturunan.

musuh kita ialah kita sendiri.
undang-undang dilenturkan untuk pilihan raja,
itulah peraturannya.
tanpa musuh luar, di laut atau parit
kita telah pun alah
oleh bahagian diri yang kita biarkan busuk.

negeri telah dirubahkan
untuk senang sebentar,
si rakus riang menjual tanah
kepada musuh yang menyediakan emas
dan akhirnya kita serahkan sejarah
kepada saudagar dan feringgi biadab.

di muka rakyat
di pusar semangatnya
di dasar kebanggaan bangsanya
tertanggung malu dan kekecilan.
rajanya telah lari
dimanakah tuju rakyatnya?

pelabuhan tiada berkapal
pasar sepi
istana runtuh
kampung surut ke selatan
padi tidak berambil di sawah
dusun dinaiki selaput tunggul.

di akhir sejarah ini
tidak mungkin kita menang melawan diri sendiri
kosong selat melayu
sarap zaman menunggu surutnya
tanah di air mengeruh sungai.
pergaduhan, mimpi dan kebanggaan dibawa banjir waktu.
................................................................................Muhammed Hj. Salleh.
Antologi: Sajak sajak Sejarah Melayu.

Mencari Erti Kemerdekaan.

Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuah
Merdeka yang kita terima terlalu mudah
Tiada darah yang tumpah
Tiada badan yang rebah
Tiada anak kehilangan ayah
Tiada ibu kehilangan anak

Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuah
Merdeka yang kita terima terlalu mudah
Namun suatu ketika yang sudah hampir terlupakan
tatkala mempertahankan bumi ini dari dijajah
tiada siapa pun sempat menghitung
berapa sukatan darah yang tumpah
berapa banyak badan yang rebah
berapa ramai anak kehilangan ayah
berapa ramai ibu kehilangan anak
berapa ramai isteri kehilangan suami

Kita ini bertuah dilahirkan di bumi bertuah
Merdrka yang kita terima terlalu mudah
sehingga membuatkan kita semua sukar untuk mengerti
erti sebenar kemerdekaan kita miliki
Kita tidak pernah nampak untuk dapat melihat
betapa payahnya
betapa peritnya dan
betapa sukarnya
kemerdekaan itu diperolehi
Maka kita kadang kadang sukar memberi penghargaan sewajarnya
kepada nikmat yang kita ada
Kita pun tidak pernah diceritakan betapa susahpayaknya
orang orang dahulu kala
dengan segala yang cuma sedikit yang ada
berusaha untuk mendapatkan sebuah kemerdekaan
Chincin dijari, gelang di tangan, rantai di leher
dan kalung di dada
dilolos semua
buat membiaya
usaha mulia
mendapatkan
sebuah kemerdekaan
yang kini menjadi milik kita
yang kini kita lena dalam nikmatnya
yang kini kita lupa akan nilai harganya.

Nukilan: Penyair Dari Gunung @ Tok Janggut Keramat = Pada 31hb Ogos 2001.

Rabu, 26 Ogos 2009

KEMERDEKAAN KINI


teman
maafkan aku
aku tidak lagi pandai
mencipta mentera melayu
seperti yang engkau harapkan
kerana aku sendiri sudah ikut
hilang melayuku
dengarkanlah
bagaimana
semuanya
terjadi.

Maka
apabila
jatuh Melaka
ketangan Peringgi;
mesjid, istana serta pusara
penanda kehadhiran para aulia
nenek moyang kita telah dirobohkan
batu batunya digunakan untuk membina
sebuah kota buat mengurung diri mereka dari
ulangan percubaan menebus hak dan maruah kita.
kitapun terpasung dalam perangkap perangkap minda
terpesong, tertipu dan terkurung serta tertekan oleh
rasa kecil dan tewas mengalah selama 446 tahun
sambil dinafikan segala hak dan sebarang
peluang untuk bangun dan bersama
bersaing membina upaya diri
agar layak bersama maju
memajukan negara.

demikian lipatan sejarah
terbentang nyata dibelakang kita
sehingga kini setelah 52 tahun merdeka
kita masih lagi alpa dan rela menjajah diri sendiri.

ramai antara kita menjadi jelojoh dalam gila berebut kuasa
sehinggakan kuliah di masjid surau ikut kita guna untuk menabur
ceritera fitnah sumpah cerca terhadap sesama kita sambil enak membaca
keratan hadis dan ayat ayat dari al Quraan sambil dilalaimabukkan musuh musuh
yang enak mersorak dan mengipas dari belakang sehigga rela kita menyesatkan umat

demikian rupanya kerenah manusia dengan amanah memakmorkan muka bumi diakhir zaman
makmornya kehidupan membuat kita jadi alpa hingga rela kita menggugat kemakmoran
bebasnya hidup membuatkan kita jadi mabuk dan rela memggugat kebebasan
masih akan mampu terus merdekakah anak cucu kita
siapa agaknya masih rela berkorban menjaganya.

Nukilan: Tok Janggut Keramat